KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sabtu, 30 November 2013

PAS, Tiada Beza Dulu & Sekarang


PERJUANGAN memakan masa yang lama, ia tidak dinamakan perjuangan tanpa perjalanan yang panjang dan sebuah pengorbanan yang mahal harganya. Perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kekal di persada perjuangan menyaksikan ramai pemimpin PAS yang datang dan pergi, tidak ketinggalan yang pergi ‘meninggalkan’ perjuangan atau yang istiqamah hingga di titik akhir nafasnya. Patah tumbuh, hilang berganti, begitulah pewaris PAS meneruskan galas-ganti amanah menetapkan garis perjuangan supaya tetap di paksinya. PAS tidak pernah kemarau dengan pelapis yang senantiasa memenuhi ruang legar kepimpinan yang cukup untuk semua kerana setiap individu dalam parti dalam setiap posisinya ada peranan masing-masing, yang utama ialah mencurahkan kebaktian untuk parti. Walau apapun yang diperkatakan orang tentang PAS dan sejarah panjangnya, muqaddimah ini adalah hakikat yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pihak khususnya pejuang-pejuang PAS.

NAMA YANG TERUKIR

Walaupun dalam PAS senarai nama yang tidak diukir lebih ramai dari yang diukir, pun demikian nama yang terukir bukan atas permintaanya tetapi di atas penghargaan dan amanah yang dipikulnya sebagai pengemudi bahtera perjuangan lantas diberikan penghormatan. Kepimpinan PAS terbentuk melalui daya juang yang tinggi dilatari suasana tekanan pesaingnya Umno yang selalunya memiliki kelebihan dari sudut kelicikan dan kuasa. Keupayaan pimpinan PAS menongkah arus dalam suasana demokrasi yang terhimpit wajib mendapat satu 'tabik spring'! Tokoh-tokoh PAS boleh dibahagi kepada mereka yang memimpin pada zaman sebelum kepimpinan ulama dan selepas kepimpinan ulama. Kepimpinan Ulama adalah kemunculan PAS pasca Dato’ Asri yang memimpin PAS dari tahun 1971-1982. Sebelum Dato’ Asri, Dr Burhanudin al Helmy telah membawa PAS ke persada kerana namanya yang besar itu sehingga PAS berjaya menguasai Terengganu dan kemudian Kelantan, seterusnya melebarkan sayapnya ke utara dan tengah tanah air.

KEPIMPINAN ULAMA

Keluar daripada konflik bukanlah satu usaha yang mudah apabila Allah SWT menguji bahtera perjuangan PAS dengan kocakan dalaman. Hikmahnya ialah Allah SWT mengkehendaki PAS terus maju dan ini terbukti dengan gagasan baru kepimpinan PAS yang menggelarkan dirinya sebagai 'Kepimpinan Ulama'.
Tokoh pertama yang menggalas tanggung jawab ini sebagai Presiden ialah Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Namanya tidak tertonjol pada awalnya dan beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Yusof Rawa setia dengan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dari tahun 1959. Namanya muncul untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1981 dan semasa Dato’ Asri meletakkan jawatan, Pak Yusof Rawa memangku dan kemudian diamanahkan sebagai Yang DiPertua PAS Pusat tahun berikutnya. Gelaran itu kemudiannya ditukar kepada Presiden dan itulah yang diamanahkan kepadanya sehingga tahun 1987. Pak Yusof Rawa turut mencatat sejarah dalam PAS apabila menjadi Mursyidul ‘Am yang pertama pada tahun 1987. Jawatan Mursyidul ‘Am diwujudkan selaras dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama dalam perlembagaan baru parti. Jawatan tertinggi dalam PAS itu diamanahkan kepada Pak Yusof Rawa sehingga tahun 1989 dan kemudiannya beliau meletakkan jawatan kerana keuzuran.

PAS BANGKIT SEMULA

Kepimpinan Ulama menandai kesungguhan kepimpinan parti untuk membentuk platform baru kepada parti. Apabila ide kepimpinan ulama diketengahkan pada awal 80-an, permasalahan umat Islam pada waktu itu menjadi fenomena dunia. Kejatuhan Soviet dan kekalahan yang memalukan kuasa komunis terbesar itu di tangan para Mujahidin di Afghanistan mengisyaratkan kebangkitan kuasa Islam yang tidak boleh dipandang ringan. PAS mendefinisikan dirinya semula dalam suasana tersebut dan kerana itu kelantangan suaranya kepada jati diri umat pada persada alamiyah (antarabangsa) turut menyuntik semangat kebangkitan Islam di Malaysia. PAS juga harus membina kekuatan dari arah dalam dengan membentuk program perkaderannya yang kini dikenali sebagai 'tarbiah'. Ahli disuntik dengan kekuatan dalaman dan mereka mesti melahirkan ciri-ciri muslim yang memilik sahsiah Islamiah lewat usrah, tamrin, mukhayyam dan ceramah. Pada waktu yang sama PAS perlu mendapat semula sokongan rakyat setelah kejatuhan Kelantan yang merupakan kubu tradisinya. Ini bermakna PAS perlu mengekalkan pengundi tegarnya dan sambil menggamit pengundi baru melalui sikap politik yang diambilnya menentang BN melalui pendedahan salah laku pentadbiran kerajaan diselitkan dengan ketegasannya terhadap ideal Islam dalam pentadbiran. Semasa PAS mendefinasikan semula kewujudannya, Pak Yusof Rawa menggalas tugas selaku arkiteknya, malah seorang jurnalis terkenal M.G.G Pillay menggelar Pak Yusof Rawa sebagai ‘arkitek’ yang bertanggungjawab membina semula PAS dalam era Kepimpinan Ulama. Pak Yusof Rawa banyak tertumpu membina kekuatan baru PAS dari kalangan profesional muda yang baru kembali ke tanah air dari UK, US dan universiti tempatan manakala figurnya yang berlatarbelakangkan pengajian Islam amat disenangi oleh para ustaz yang mendapat pendidikan formal Islam dari dalam dan luar negara khusunya Al-Azhar.

MEMPROMOSI PAS

Tidak mudah kerja-kerja perhubungan awam dilakukan dalam suasana politik baru yang dilalui oleh PAS dalam era kebangkitannya. Tembok penghalang utama adalah tanggapan sinikal yang tersemat dalam persepsi masyarakat khususnya bukan Melayu yang menganggap PAS sebagai untuk orang Melayu sahaja.
Kesedaran yang tinggi di kalangan kepimpinan waktu itu terhadap fahaman bahawa Islam sebagai agama merahmati semua kaum mendorong kepimpinan PAS waktu itu menggapai sokongan masyarakat Cina khususnya melalui dialog dan ceramah untuk kelompok bukan Melayu. Kesungguhan usaha ini memungkinkan terbentuknya CCC atau Chinese Consultative Council, malah calon-calon bukan melayu turut bertanding atas tiket PAS dalam persefahaman lewat CCC. Sememangnya dilema antara mengekalkan pengundi Melayu sebagai asas dan mempromosi PAS kepada segmen pengundi bukan Melayu adalah umpama melakukan aksi berjalan atas tali yang halus. Keseimbangan mengekalkan momentum untuk berjalan adalah keunikan kepimpinan dalam suasana Malaysia yang multi-kaum dan kepimpinan ulama yang awal telah mengambil risiko tersebut. Namun hasilnya berbaloi dalam bentuk jangka panjang apabila suasana politik hari ini menyediakan platform yang selesa untuk menerima kelompok bukan Melayu sebagai sebahagian dari identiti PAS dengan terasasnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Kepimpinan di bawah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini tidak mungkin melakarkan sejarah penting ini jika tidak diterokai lebih awal lagi oleh dua pemimpin awal kepimpinan ulamak iaitu Pak Yusof Rawa dan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor.

PAS HARI INI DAN SETERUSNYA

Generasi PAS hari ini tidak mungkin menuai hasil tanpa penat jerih yang dirintis oleh generasi awal PAS.  Dari Tuan Haji Ahmad Fuad kepada Dr Abbas Alias kemudian dikemudi oleh Dr Burhanudin dan diambil alih oleh Dato’ Asri Muda adalah bintang-bintang gemerlapan PAS. Pada waktu orang melihat PAS akan berakhir setelah era Dato’ Asri, muncul pula Tuan Guru Haji Yusof Rawa lalu Dato’ Fadzil Noor memikul amanah dan kini PAS terus kukuh di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Pada setiap era, gandingan mantap pasukan kepimpinan sentiasa memastikan PAS terus mara ke hadapan.  Hari ini PAS menyambut tahun ke-59 Muktamar Agung dalam suasana yang semakin mencabar. Seperti semalam, ia berjaya melalui ombak dan badai laut politik yang bergelora. Dan seperti kata-kata semalam oleh pemimpin kita yang bijaksana; bahawa pemimpin datang dan pergi namun perjuangan akan tetap diteruskan dengan kepimpinan yang akan melakar masa depan parti yang gilang gemilang. Di atas nama Islam, Insyaallah parti ini akan terus mekar mengharum membimbing umat ke medan siasah. Betapa generasi hari ini harus mengambil pesanan daripada lagu PAS yang dikarang sendiri oleh Dato’ Asri:

“Bergeraklah ke medan jasa, 
kalah menang bukan alasannya, 
sucikanlah niat di hati, 
hingga nyata benarnya janji Rabbi...”

Jumaat, 29 November 2013

SEBAB APA KITA BERSAMA PAS

Apabila kita mengisi borang Pas, sudah tentu kita ketahui sebab apa kita menjadi ahli Pas. Kita masuk Pas tidak dipaksa oleh sesipa. Semuanya atas kerelaan sendiri. Bukan semua orang berani mendekati Pas, lebih-lebih lagi hendak masuk Pas. Sudah pasti kita tahu risiko bersama dengan Pas, kerana Pas bukan parti kerajaan tetapi parti pembngkang yang sentiasa mencabar kekuasaan BN di negara ini. Ada di kalangan mereka yang ditukar tempat kerja, tidak naik pangkat walaupun mempunyai merit kelayakan. Semuanya tidak menghalang mereka terus istiqamah bersama Pas

Sudah mesti nawaitu kita bersama dengan Pas ialah untuk melihat Islam dihayati di negara ini. Penyertaan kita di dalam Pas bukan kerana mana-mana individu. Kita sertai Pas kerana dasar Pas ialah Islam. Sebagaimana tercatat di dalam Perlembagaan Pas Fasa 3 "Islam sebagai dasar Pas". Kita bukan taksub kepada mana-mana pemimpin. Inilah tarbiah kita kepada ahli yang menyertai Pas. Supaya mereka faham sebab penyertaan mereka di dalam Pas. 

Di dalam Islam Allah menurunkan Surah Al Alaq sebagai ayat yang pertama"Bacalah nama tuhanMu yang menjadikan kamu". Ayat ini memberi erti di dalam Islam memerlukan kefahaman bukan ikutan semata-mata. Masuk Islam bukan kerana ikutan tetapi mesti atas kefahaman. Islam tidak iktiraf kemasukan secara paksa, tetapi mesti atas kerelaan. 

Menjadi hikmah kenapa Imam Al-Shahid Hassan Al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah kepada anggota Ikhwan Muslimin yang pertama. Kenapa beliau tidak meletakkan ikhlas sebagai rukun pertama di dalam baiah ikhwan?. Menunjukkan kefahaman adalah asas yang penting sebelum mereka bersama dengan Ikhwan. Keikhlasan tidak akan terjelma jika tidak ada kefahaman lebih awal.

Pas juga mengambil pendekatan yang sama untuk memastikan supaya ahli yang menyertai Pas, ialah faham terlebih dahulu. Supaya ahli tidak kehilangan arah ketika mereka bersama dengan Pas. Sebab itu ahli Pas tahan diuji samaada ketika menang atau kalah. Walau pun ada pemimpin lari, ahlinya tidak. Mereka tetap istiqamah. Mereka faham bahawa pemimpin boleh datang dan boleh pergi, tetapi parti mesti diteruskan.

Jika ada di kalangan ahli Pas tetapi tidak faham disiplin parti, maka mereka perlu diluruskan kefahaman mereka. Setelah ditegur dan diluruskan tetapi masih bersikap degil. Maka mereka ini layaklah dilebel sebagai ahli Umno, tetapi memegang kad keahlian Pas. Jika benar sebagai ahli Pas yang tulin mereka tidak berkelakuan demikian.

Jika matlamat kita menyertai Pas mempunyai agenda peribadi, mereka ini tidak tahan lama bersama dengan Pas. Nafas mereka pendik dan semput tidak mampu untuk berada di landasan perjuangan yang panjang. Jika matlamat kita untuk mendapat habuan dunia, pun agak sukar. Kerana Pas sebagai parti pembangkang bukan parti kerajaan di peringkat pusat. Budaya di dalam Pas bukan projek diberi kepada mereka yang tidak layak. Atau dalam erti kata yang lain diberi kepada kroni. Kalau masuk Pas tujuan untuk bertanding, ini pun tidak akan tercapai. Kerana kerusi yang Pas bertanding, tetap terhad. Misalnya jika di dalam satu kawasan mempunyai 3000 ahli, mungkin yang dipilih oleh parti tiga orang sahaja untuk bertanding.

Begitu juga jika matlamat kita menyertai Pas untuk menjawat jawatan di dalam kerajaan yang memerintah. Ini juga merupakah sikap yang salah. Perlu diingat jawatan di dalam kerajaan begitu terhad. Bukan semua ahli diberikan jawatan. Oleh itu kita akan merasa kecewa jika nawaitu kita tidak tercapai. InsyaAllah marilah sama-sama kita mendidik diri supaya perbetulkan niat kita bersama dengan Pas.

Idris hj Ahmad
23/11/13

Ahad, 17 November 2013

UBAH dan KEKAL - Ustaz Nasrudin Tantawi

1. Sikap yang perlu kita ambil dalam satu - satu pilihan yang kita buat samaada untuk ubah atau kekal mestilah jelas bersandarkan piawaian dan skima yang ditetapkan oleh syara'

a] maksiat dan mungkar WAJIB diubah. Tidak boleh kekalkan kerana ia dimurkai oleh Allah swt dan sabit nas dari Sunnah an Nabawiyah supaya kita menentang mungkar dan maksiat.

b] soleh dan adil WAJIB dikekal. Tidak boleh ubah kerana ia telah dimuktamadkan oleh Allah swt dan sabit dari Sunnah an nabawiyah supaya kita menjadi soleh dan berlaku adil.

c] adapun perkara yang melibatkan kedua - duanya  soleh dan adil. Baik dan bagus, maka HARUS untuk ubah atau kekal. Namun AFDHAL memilih yang terbaik dari keduanya.

d] adapun perkara yang melibatkan kedua - duanya jahat dan zalim. Buruk dan tidak baik, maka WAJIB tolak keduanya. Namun jika tiada pilihan malah terpaksa memilih salah satunya, maka PILIHlah yang paling minima mudharatnya.

2. Asasnya, kita mesti bijak memilih. Berdasarkan neraca Islam. Perkara ini banyak dibahas dalam Feqh Al Awlawiyat dan juga Feqh al Muwaazanat.

3. Jangan memilih untuk UBAH atau KEKAL itu berasaskan sentimen dan mengikut rasa tanpa pedoman atau mengikut pandangan orang tanpa pencerahan melalui suluhan cahaya Islam.

4. Justeru ilmu dan maklumat yang betul dan tepat adalah antara alat perkakas yang sangat utama dalam membantu kita buat pilihan yang betul dan tepat pula.

5. Sementara dalam hal memilih pemimpin Gerakan Islam, maka :

- iman yang mantap,
- akhlak yang soleh dan
- fikrah Islam yang syumul

menjadi priority kepada neraca pilihan kita sebelum kita menimbang asas - asas lain yang menjadi nilai tambah atau pakej  istemewa pada seseorang pemimpin seperti:

a] menilai track recordnya dalam jamaah seperti komitmen terhadap kehadhiran mesyuarat,

b] performancenya terhadap tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan kepadanya,

c] penglibatan dan keaktifannya dalam menggerakkan potfolio atau lajnah yang digalas,

atau mana - mana nilai keunikan lain yang mampu membantu seseorang pemimpin agar layak dipilih untuk memimpin Gerakan Islam dan ummah ini.

6. Tentu sahaja nilai negatif perlu dielakkan tanpa kompromi agar pemimpin yang kita pilih adalah terbaik dan hebat pada nilai manusia dan agama.

Contoh sikap yang tidak wajar ada pada seseorang pemimpin Gerakan Islam ini antara lainnya ialah :

a - seseorang yang hanya pandai bercakap dan banyak kritik sana sini tapi diri sendiri gagal membuktikan keupayaan bertindak.

b - individu yang rasa dirinya sahaja hebat, menafikan kehebatan dan kebaikan orang lain.

c - individu yang suka buat provokasi dan saraf samaada untuk memburukan pihak saingannya atau saraf memburukkan diri sendiri untuk menarik simpati ramai bagi melindungi kelemahan diri sendiri.

d - membuat fitnah dan spekulasi negatif .

Sekian. Selamat Berjuang

Nasrudin bin Hassan.
Bakal Mantan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Jumaat, 15 November 2013

MAZLAN, ANAK & FELDA

Saudara Mazlan Aliman

Di sebalik kegembiraan mendapat anugerah kemenangan dari Allah, tidak ramai yang tahu ujian dan keperitan yang saya alami selama ini. Meskipun saya dan rakan2 berjuang puluhan tahun untuk mendapat hak dan mempertahankan kepentingan para peneroka, penghinaan dan cercaan yang diterima dari peneroka dan anak peneroka sendiri bukan kepalang.

Tokoh seperti Allahyarham Hj Suhaimi Said yang mula menggerakkan usaha mendapatkan HakMilik peneroka secara individu di awal 80an. Felda mahu beri HakMilik secara kelompok ditentang habis2an oleh beliau dan pejuang peneroka seperti arwah Pak Su Sukarno, Salleh Ahmad dan lain2. Alhamdulillah, perjuangan mereka berhasil, hingga Kerajaan akur memberi HakMilik secara individu. Hj Suhaimi ditahan di bawah ISA kerana dituduh menghasut atas usahanya itu. Sebahagian besar anak peneroka hari ini tidak mengetahui cerita ini. Sesetengahnya menjadi pengampu tidak tentu pasal.

Sewaktu peneroka Felda Cahaya Baru begitu ghairah menjual tanah mereka di bawah Cahaya Baru Development Berhad yang diketuai pimpinan Umno Cawangan, saya bersama Lawyer arwah Razak Ahmad, Hassan Karim,Salleh Ahmad(SU PSRM) berulang kali mengingatkan jangan dijual tanah tersebut. Pertahankan ia, ini aset orang melayu. Saya diludah dan nyaris ditampar dalam satu majlis di sana. Dihalau dari Felda Cahaya Baru kerana menghalang orang melayu yang sudah tidak sabar2 untuk bergelar Orang Kaya Baru/Jutawan Segera. Saya sedang mengumpul bahan dan akan menyiapkan sebuah buku mengenai Cahaya Baru sebagai suatu koleksi sejarah.

Berapa kerat peneroka dan anak peneroka yang pertahankan Felda Labu Johnson dan Sendayan dikala Isa Samad yang waktu itu Menteri Besar NS 'melelongnya'?
Mana pergi pejuang UMNO yang sepatutnya jadi benteng orang melayu?

Ketika Suhaimi Said ditahan buat kali ke 2 dibawah ISA atas isu hasutan kpd peneroka, saya dan arwah Malik Yusof(bekas ADUN Tahan) antara yang disenaraikan untuk ditahan sama. Walhal, isu utama pada waktu itu membela peneroka dari penipuan atas pendapatan. Di tahun2 90an, pendapatan peneroka sgt rendah, manakala potongannya terlalu tinggi. Kami menganjurkan siri2 bantahan di Felda2 seluruh negara. Bayangkan deritanya peneroka, ada paysheet mereka balance 25 sen!

Cabaran terbesar sewaktu Isa Samad menjadi Pengerusi Felda. Penyenaraian FGVH, cubaan rampasan kuasa keatas KPF, pembuangan Dato' Zulkifli Abd Wahab, petisejukkan beberapa pegawai kanan Felda dan pengambilalihan ekuiti KPF dari Felda Holding; saya melalui ujian terhebat apabila Isa Samad memperalat seluruh jentera Felda menyerang saya bertalu2. Fitnah bertali arus. Majalah pro Felda,diterbitkan, risalah dikeluarkan yang kesemuanya dibuat dengan satu tujuan, aibkan Mazlan Aliman.

Bagaimana ada usaha memporakperandakan adik beradik saya. Diheret seorang ahli keluarga saya ke sana ke mari dengan tujuan untuk memalu dan menjatuhkan nama baik saya. Hancur luluh perasaan ibu saya dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Beberapa kali ibu saya menangis dan menasihatkan saya agar terus tabah dengan ujian yang saya lalui.

Apa yang Isa Samad dan Faizoull Ahmad tidak buat pada saya. Ratusan kain banner yang dinaikkan merata Felda mengutuk saya, menyekat saya dari memasuki Felda, Siri penerangan di Balairaya kepada peneroka semata2 memfitnah saya dan ditaburkan berbagai bahan bercetak yang kesemuanya mencerca dan menghina saya.

Insan yang paling rapat adalah ibu dan isteri saya. Isteri saya berdoa setiap hari di Tanah Suci Mekah waktu mengerjakan Fardu Haji bersama mertua saya tahun 2012 lalu agar saya sabar melalui liku2 perjuangan. Ibu saya sentiasa bermunajat kepada Allah tanpa henti. Waktu saya dilokap di Lembah Klau, dia cukup sedih. Kesihatannya terganggu. Bagaimana perasaan seorang ibu apabila anaknya di tangkap dan dilokap, membaca berita palsu melalui majalah Felda dan pro Felda seperti Suara Felda(diterbitkan setiap bulan) yang mencemuh anaknya?

Allah Maha Kaya. Apabila saya beroleh kemenangan berganda di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 Oktober dan Mahkamah Tinggi KL Pada 11 November lalu, tentulah Ibu dan Isteri saya yang paling gembira. Ibu peluk erat saya dengan linangan airmata. Inilah antara detik yang cukup membahagiakan saya. InsyaAllah, cuti sekolah bulan Mac 2014, saya akan bawa ibu dan isteri saya menunaikan Umrah, bagi menunaikan hajat ini bersama insan yang paling saya kasihi...

Saya kerap membaca Firman Allah, ' Barangsiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu'.
Saya amat yakin dengan pertolongan Allah. Alhamdulillah, ia sentiasa saya rasa dan nikmati bersama ahli keluarga saya.

Perjuangan untuk rakyat mesti diteruskan. Semangat kian membara. InsyaAllah, warga Felda akan bersatu menentang pengkhianat sebenar yang menghisap darah para peneroka.

Tidak mustahil, Ngo ANAK akan berpadu tenaga dengan Majlis Belia Felda untuk bekerjasama demi kehidupan yang lebih baik khususnya buat Generasi Baru Felda. Ia telah saya nyatakan kepada YB Anuar Manaf dan Wan Zawawi di Mahkamah tempohari. Doakan kami untuk realisasikan hasrat murni ini...

dari fb Mazlan Aliman


Posted via Blogaway

Isnin, 11 November 2013

Pegawai Jabatan Agama Dibunuh Kejam. Malaysia Masih Aman ?

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan takziah buat keluarga Allahyarham Tuan Haji Ahmad Rafli Abdul Malek yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan melahirkan rasa sedih dan kesal dengan kejadian tembak bunuh yang kejam ini. Kejadian dahsyat yang berlaku di kediaman Allahyarham, merupakan satu lagi bukti bahawa insiden jenayah berat khususnya yang melibatkan senjata api semakin tidak terkawal dan telah menjadi lebih menggerunkan. Untuk makluman, Allahyarham adalah abang kepada seorang petugas di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dengan rentetan kes jenayah tembak dan culik sejak kebelakangan ini, maka apakah Malaysia kita ini masih aman?

Pemuda PAS tegas mengutuk insiden bunuh ini sebagai satu tindakan keji tidak berperikemanusiaan dan mendesak agar YAB Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kepimpinan tertinggi PDRM tidak berdiam diri dan memberi respon segera terhadap kejadian ini.

Kedamaian dan keamanan awam telah terancam. Hakikatnya, tidak ada mana-mana individu atau keluarga yang kini boleh terlepas dari jangkauan perilaku jenayah. Apa sahaja statistik dan indeks jenayah yang diangkat pemerintah untuk melukis gambaran-gambaran indah mengenai kesentosaan suasana cumalah angka kosong yang jauh dari realiti.

Cukuplah dengan sandiwara ini! Rakyat telah jemu dan kini Rakyat sedang hidup dalam kebimbangan.

Saya merasakan sudah tiba masanya untuk Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja campurtangan di dalam perkara ini di atas kesedaran bahawa keresahan rakyat sedang memuncak.

Kesimpulan pemerintah dan PDRM mengenai situasi jenayah di dalam negara sudah menjadi bahan politik semata-mata dan tidak boleh dipercayai lagi. Maka suatu penilaian jujur diperlukan yang hanya boleh dicapai menerusi campurtangan Majlis Raja-Raja.

Selagimana situasi jenayah ini tidak diperjelaskan secara jujur, maka selama itulah kita akan terus terperangkap di dalam polemik debat tidak berkesudahan dan penyelesaian yang jitu tidak dapat dicapai.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Ahad, 10 November 2013

Himpunan Bulanan Pemuda Kuala Krau

HIMPUNAN BULANAN PEMUDA PAS KAWASAN KUALA KRAU
PADA 15 NOV 2013, DI MARKAS BAITUS SALAM JENGKA 16
7.00 HINGGA 10.00 MALAM

KULIAH MAGHRIB OLEH USTAZ HAZMI DIBOK AL HAFIZ
NAIB KETUA, DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG

Sabtu, 9 November 2013

Astro dan Monopoli

Kerajaan yang ada hari ini hendaklah menjadi kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat. Rakyat sekarang sedang berdepan dengan bebanan kenaikan harga barang ekoran dari penarikan subsidi oleh pihak kerajaan.

Penarikan subsidi minyak petrol dan minyak disel, penarikan subsidi keperluan harian seperti minyak masak, gula, tepung dan sebagainya, semuanya membebankan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Tiba-tiba satu lagi beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat iaitu kenaikan caj tambahan Astro RM2 bagi pakej keluarga dan RM6 bagi pakej sukan bermula 24 November ini.

Astro tidak sepatutnya menambah beban pengguna dengan menaikkan caj untuk beberapa pakej yang disiarkannya memandangkan syarikat tersebut telah meraih keuntungan besar saban tahun BUKANNYA RUGI. Berita Harian pernah menyiarkan pendapatan ASTRO sebanyak RM4.3b bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Januari 2013.

Kekayaan ASTRO adalah akibat monopoli, hanya satu2nya syarikat penyiaran televisyen berbayar dibenarkan dan tiada syarikat lain dibenarkan sekalipun sudah ada beberapa syarikat lain cuba memohon.

Pemancar2 stesyen percuma tidak ditingkatkan sehingga bukan sahaja kawasan pendalaman, kawasan bandar dan pinggir bandar mengalami nasib yang sama, sehingga menyebabkan pengguna  tiada pilihan kecuali terpaksa melanggan ASTRO.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas anda jika anda bersaing dengan ASTRO dengan menceroboh langit siaran atas nama undang-undang.

Menceroboh dengan maksud, apabila anda beli receiver dan LNB (parabola) utk aksess MEASAT satelite untuk dapatkan siaran, maka anda boleh didenda RM10000 dan penjara jika sabit kesalahan. Ada berani?

Oleh itu monopoli Astro harus ditamatkan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seharusnya meluluskan lesen khidmat televisyen berbayar kepada syarikat lain bagi mewujudkan persaingan sihat di antara penyedia perkhidmatan seperti yang berlaku di antara pembekal perkhidmatan komunikasi selain memberikan lebih pilihan kepada pengguna.

# DAH UNTUNG RM4.3 BILION SETAHUN NAK UNTUNG BANYAK MANA LAGI???

Ustaz Shahril Azman Abdul Halim Al Hafiz
Ketua Penerangan, PAS Kawasan Kuala Krau

Jumaat, 8 November 2013

KELEBIHAN HARI ASYURA - 10 MUHARRAM

Insya Allah, 10 Muharram 1435H jatuh pada hari Khamis minggu hadapan, 14 November 2013 dimana kita disunatkan berpuasa.

Kita juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharram (Rabu, 13 November 2013) yang dipanggil Puasa Tasu’a supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Selasa, 5 November 2013

Al Fatihah kepada arwah Hj Suhaimi Said

Haji Suhaimi Said - Ahli MPP Parti Keadilan Rakyat yang juga bekas calon PKR Dun Jenderak dalam PRU 13 yang lalu telah kembali ke rahmahtullah sebentar tadi di HOSHAS Temerloh

Jenazahnya akan dibawa ke rumahnya di Batu 4, Jalan Maran Temerloh Pahang. Menurut anak bongsunya, jenazahnya akan dikebumikan esok

Al Fatihah kepada arwah dan Takziah kepada keluarga Allahyarham

SALAM MAAL HIJRAH 1435 KEPADA SEMUA RAKAN


Semoga dengan kehadiran tahun baru ini kita semua mendapat rahmat dan keberkatan drp Allah.

1. Syukur alhamdulillah Allah memberi kemenangan kpd yb us Azam dlm prk sg limau.

Kemenangan adalah anugerah dan amanah drp Allah swt.oleh itu jalankanlah amanah dgn sebaiknya.kembalikan kpd yg berhak.berlaku adillah tanpa mengira fahaman politik.

Kemenangan ini juga membawa maksud tidak semua pengundi boleh disogok dengan kebendaan semata2. Mudah2an kita boleh membebaskan fahaman sempit jahiliah hanya umnobn sahaja yg boleh memberi rezeki kepada cahaya islam yg tunduk dan patuh hanya kpd Allah swt.



2. Waktu ini kita menyaksikan juga bagaimana presiden muhammad mursi sedang dibicarakan di mahkamah toghut kerajaan rampasan kuasa jenderal fattah as sisi.kita dihidangkan dgn kezaliman, ketamakan kuasa yg dicatur oleh rejim yahudi, dan disokong oleh negara2 yg sealiran dengan mereka. Bagi menghalangnya kebangkitan cahaya islam ini.kita juga dihidangkan dengan kezaliman pemimpin terhadap rakyatnya spt di syria dan lain2 negara ummat islam.

Sudah tiba masanya kita bukan menjadi golongan pemerhati dan penyokong semata2.tetapi waktu ini islam mengharapkn kita melibatkan diri dalam perjuangan suci ini.bertindaklah atas kemampuan masing2 supaya ada jawapan kelak sebagai mana bantuan yg diberi oleh burung pipit ketika mana melihat nabi Allah Ibrahim dibakar oleh namrud.


Selamat menyambut tahun baru hijrah. Tingkatkan usaha tingkatkan keazaman berdoalah kpd Allah mudah mudahan diberi kemenangan. Amiin

Muhammad Syafie Bin Md Esa
Ketua, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau
1 Muharram 1435H

Isnin, 4 November 2013

MUHARAM 1435H TIBA

بسم الله الرحن الرحيم

Muharam tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan... Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

• Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharam, dan ganjaran orang memperingatkan tentang Muharam?

Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharam.
Antaranya, hijrah Rasulullah s.a.w. dikatakan berlaku pada 1 Muharam, doa awal tahun, dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

HIJRAH

Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat-sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabiulawal (lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri). Bukan bulan Muharam.

Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharam detik permulaan.... perpindahan nabi dan umat Islam..."

Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.

Muharam adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka Khalifah Umar al-Khattab r.a. memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah s.a.w. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiulawal, bukan dalam 1 Muharam.

DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)

Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmu ku, dan semakin baik amalan ku."

Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu tiga kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. Tiada dalam kitab-kitab hadis muktabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil. Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

CATATAN AMALAN

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijah, dan dibuka pada awal Muharam tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadis Nabi s.a.w. Hadis-hadis yang sahih / thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang).
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis).
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban (tetapi bukan Nisfu Syaaban - Hadis palsu juga banyak berkisar tentang nisfu Syaaban).

Hadis-hadis sahih / thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut:

1. Amalan diangkat / dibentangkan dua kali setiap hari:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yang menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu (walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya): “Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?” Jawab para malaikat: “Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat." (Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar) - Hadis Sahih - Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, “Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai." (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) - Hadis Sahih.

3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban (bukan Nisfu Syaaban)

عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?” Jawab Rasulullah s.a.w., "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekalian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa." (Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) - Hadis Hasan.

BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?

Tentang hadis anjuran supaya memperingatkan bulan Muharam, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadis itu.
Agak pelik bila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.

• "Barang siapa yg memperingatkan bulan Syaaban...."
• "Barang siapa yg memperingatkan bulan Zulhijah...."
• "Barang siapa yang memperingatkan bulan Rejab..."

Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadis palsu, dan jika kita biasa dengan hadis-hadis yang sahih, hadis ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadis itu). Sebarkanlah penjelasan tentangnya.

KESIMPULAN

Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadis sahih:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ "

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripada ku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas nama ku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka." (Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)

والله اعلم .

AAM 29 Zulhijah 1434, Madinah

(NOTA: Tulisan di atas telah disalin ke dalam MSWord dan dibuat pembetulan ejaan menggunakan Dewan Eja Pro, dengan beberapa pengecualian. Jika ada kesilapan dalam teks hadis Arab sila rujuk ke tulisan asal di Pages FB Dr Abu Anas Madani
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...