KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, 26 Februari 2013

Manifesto PR: Sejuta peluang kerja, gaji minima RM1,100 antara ditawar


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat hari ini mengemukakan beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat dalam manifesto mereka berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Manifesto ini dibacakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pagi ni.

Berikut antara yang diumumkan:

1-Mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan mengurangkan kebergantungan buruh asing secara berperingkat.

2-Memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan.

3-Melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran.

4- Membina 5 universiti dab 25 sekolah vokasional

5- Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat- kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.

6- Henti operasi Lynas, kaji semula RAPID dan kaji undang-undang pembalakan.

7- Memperuntukkan RM500 juta untuk Tabung Usahawan Kecil Prajurit, kenaikan caruman LTAT dari 15% ke 20%, dividen RM2000 setahun kepada bekas prajurit tidak berpencen.

8- Memberi permit terus kepada pemandu teksi

9- Pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya, tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.

10- Memecah monopoli dengan mewujudkan Suruhanjaya Anti Monopoli, Suruhanjaya Kontrak Awam untuk menilai perjanjian awam seperti IPP dan konsesi berat sebelah, tender terbuka, membubar 1MDB, melupuskan pegangan kerajaan dalam GLC. - HarakahDaily

Isnin, 25 Februari 2013

500 profesional muda berkumpul bincang bantu PAS


(Antara peserta dan pemimpin yang berkumpul)

MARANG: Hampir 500 profesional muda berkumpul di Qurrata Inn Riverside Resort bagi membincangkan sumbangan mereka kepada Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 ini.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS itu turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
(Ustaz Hadi yang memberikan uacapan penting untuk golongan profesional ini)

Tuan Guru Abdul Hadi telah memberikan amanat dan panduan kepada mereka bagi mempastikan perjuangan Islam di negara ini terus diterima rakyat.

Program yang di namakan Xpresi Profesional Muda 2.0 hari ini berlangsung dengan jayanya.

Ia disertai oleh para jurutera, doktor, akauntan, peguam dan pelbagai profesion lagi yang bersedia memberikan komitmen untuk membantu rakyat.

Turut berucap adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (gambar kanan).

Kejayaan mengumpul mereka membuktikan komitmen golongan profesional untuk mempastikan agenda pembangunan Terengganu selepas pilihan raya umum berjalan dengan baik.

Antara program besar yang dicadangkan PAS jika menang PRU ini adalah membina lebuhraya pesisir pantai dari Kemaman ke Besut.

Lebuhraya ini bakal mempunyai lima pusat hentian pelancongan yang akan dijadikan pusat pertumbuhan baru untuk negeri Terengganu.

Ia juga disasarkan bakal menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu. - HarakahDaily

Ahad, 24 Februari 2013

PAS kini sedia mengatasi Umno - Raja Nazrin


KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Perak, Tuanku Raja Nazrin Shah bertitah, PAS kini berada dalam satu tahap keyakinan diri yang amat tinggi akan kekuatan politiknya.

PAS kini mempercayai pengaruh parti tersebut tidak lagi terbatas di kalangan Melayu tetapi yakin bahawa perjuangan mereka semakin difahami oleh bukan Melayu.

"PAS kini  berada dalam psyche pemikiran bahawa kekuatan dari segi gerakan politiknya telah mengatasi UMNO, malah menganggap bahawa secara relatif, kekuatan politik UMNO semakin rapuh kerana UMNO telah terlalu lama selesa bergantung pada jentera dan sumber kerajaan.

"Suara PAS menyentuh isu urus tadbir negara secara telus, memerangi rasuah, sistem kehakiman yang bebas lagi adil,  penguatkuasaan undang-undang secara saksama, membasmi kemiskinan, menangani keruntuhan moral dan jenayah, masalah kos sara hidup yang tinggi, adalah isu-isu popular yang memberikan kelebihan retorik untuk digunakan oleh PAS sebagai senjata ofensif menyerang lawan," titah Raza Nazrin.

Baginda bertitah demikian dalam Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Februari lepas bertajuk “Perpaduan ummah; harapan, realiti dan cabaran". Harakahdaily diberikan ucapan penuh baginda. Ia akan disiarkan selepas ini.


PAS, titah baginda, telah melalui pahit maung  perjuangan, era jatuh dan bangun.
"Bermula dari sebuah organisasi, terdiri dari kumpulan ulama di dalam UMNO, kemudiannya keluar dari UMNO, memilih untuk mewujudkan entiti politik sendiri," titahnya.

PAS telah melakukan pelbagai anjakan untuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruh.

"Dari organisasi yang amat daif, menumpang ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama UMNO, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden, di dokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari," titahnya.

Bagi menyahut cabaran ummah, baginda membuat  lima cadangan.

Pertama: Tidak salah untuk bangsa berada dalam pelbagai kabilah asalkan bangsa mencapai kata sepakat, bersatu pendirian, mempertahan, melindungi dan mengurus perkara-perkara menyentuh hak, maruah serta martabat bangsa Melayu dan Agama Islam, yang sama sekali tidak harus dikompromikan. Bagi usaha meraih sokongan politik bukan lesen membolehkan status bangsa digadaikan, titah baginda.

Kedua: Ummah wajib disedarkan bahawa mereka sudah terlalu lama selesa sebagai penduduk majoriti, sudah terlalu lama selesa bersandarkan kekuatan politik, sudah terlalu lama selesa dinaungi kerajaan; hingga ummah tidak lagi memiliki pertubuhan yang bebas lagi berkecuali, secara berani lagi tegas lantang menyuarakan tuntutan ummah.

Ketiga: Badan Kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan hendaklah mengamalkan budaya profesionalisme yang tidak partisan, menyempurnakan tugas secara amanah, adil dan saksama, berpaksikan undang-undang dan peraturan; tegas menegakkan kebenaran – cekal menentang kemungkaran, tidak bersekongkol merestui berlakunya penyelewengan terutama dalam mengurus khazanah, sumber kekayaan dan sumber kewangan negara.

Keempat: meningkatkan kegiatan keilmuan dan menambah komponen pengetahuan di kalangan ummah terutama dari segi penghayatan dan amal, agar ummah memiliki iman yang kukuh, yakin berpegang bahawa rezeki, jawatan, pangkat dan kuasa datangnya dari ILAHI, lantas tidak gentar menyuarakan nasihat yang betul dan tidak goyah menyampaikan fakta yang benar, meskipun berhadapan dengan jeneral yang bengis atau menteri yang berkuasa.

Kelima: Memahami dan mendalami konsep federalisme berasaskan Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Sifat kesetiaan kepada Raja hendaklah dicerminkan melalui sifat kesetiaan menyempurnakan tugas kepada Kerajaan yang telah diperkenankan penubuhannya, kata baginda. - HarakahDaily

Sabtu, 23 Februari 2013

Penerima BR1M haiwan: Apa komen Ustaz Azhar

KUALA TERENGGANU: Serangan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan timbalannya terhadap Mursyidul Am PAS dijawab oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (gambar).

Beliau berkata,  Tuan Guru Nik Aziz bukan kata penerima BR1M itu seperti haiwan tetapi menjadikan penerimanya seperti haiwan.

"Sebenarnya apa yang kita dengar dalam video clip bukan Tok Guru kata kepada penerima BR1M seperti haiwan, cuma Tok Guru kata orang yang memberikan BR1M tulah cuba menjadikan orang yang menerima seperti haiwan.

"Umpama bagi makan, lepas tu sembelih.

"Maknanya jahatnya orang nak bagi bantuan bila perlu sahaja, bila jauh dengan pilihanraya tak hulur pun bantuan," kata Ustaz Azhar dalam kuliahnya di Masjid Pengadang Baru dekat sini.

Beliau ditanya, "apa komen ustaz mengenai Tuan Guru Nik Aziz kata orang yang ambil BR1M ni seperti haiwan?"

Ini ekoran tuduhan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa Tuan Guru Nik Aziz menganggap penerima BR1M ini haiwan.

Bagi Ustaz Azhar, ini semua punca mencari pembalahan, "Ni buah cari baloh."

Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua pihak berhati-hati dengan sebarang laporan media.

"Jadi lening (sekarang ini) kene hati-hati lah banyak putar belit dan spin berita nak nak musim mengundi ni.

"Yang  tak pernah nampak muka pun dan kerap masuk kampung dah. Tujuan ape? Nak tolong ke untuk kepentingan tertentu? 

"Jadi kene bijoklah, jangan percaya tanpa selidik," tegas penceramah bebas dari Terengganu yang sangat terkenal itu.

Baru-baru ini, Tuan Guru Nik Aziz berkata,
"Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. 

"Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami. Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu, mana datang.

"Jadi kalau kita beri barang kepada orang, beri RM10, RM50 (orang akan datang ambil). 
"Ini bukan cara Islam, (cara) Islam ialah beri ilmu kepada manusia," kata Tuan Guru Nik Aziz.


Analogi haiwan


Sementara itu, para pengguna laman sosial mula menyebarkan analogi mengenai kenyataan kedua-dua pemimpin Umno itu ketika mereka mengulas isu ini.

Berikut adalah analogi itu:

Seorang atok memarahi dua orang cucunya, Ali dan Abu yang suka bergaduh..

Atok: Korang ni macam anjing dengan kucing.. pantang jumpa asyik nak bergaduh..

Ali: Sampai hati atok cakap kami haiwan....

Abu: Ali! Itu peribahasa la samdol!  - HarakahDaily

Jumaat, 22 Februari 2013

Bubar Parlimen: Hari ini atau bila pun apa bezanya?


Hari ini telah dispekulasikan sebagai hari pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Ramai telah menghubungi saya sama ada berita itu benar atau tidak. Jawapan saya standard, “say
a tidak tahu, tanya Najib atau Rosmah”. Siapa kita untuk mengetahui perkara penting itu. Terpenting bagi kita ialah dengan memberikan perimbangan serta berfikir sejenak sebelum memangkah semasa dalam bilik mengundi itu nanti.

Bagi saya sama ada pembubaran itu dilakukan pada hari ini tidak penting. Yang penting kita sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk negara kita. Kita jangan tertipu dengan dakyah karut yang kita ikuti selama ini. Di negara ini kita boleh mengundi sesiapa sahaja dan tidak seperti apa yang didakyahkan yang negara kita ini hanya selamat jika UMNO memerintah. Sememangnya pimpinan UMNO sedang mendagu dan merayu supaya diberikan peluang sepenggal lagi seperti yang diminta oleh Najib di Kuching semalam.

Najib merayu untuk BN di berikan sepenggal lagi seolah BN telah memerintah hanya sepenggal yang lalu. Beliau terus merayu agar diberikan sepenggal lagi walaupun telah di beri peluang sejak merdeka dahulu memerintah negara ini. Sepatutnya yang merayu untuk meminta sepenggal itu adalah pihak pembangkang bukannya pihak kerajaan. Tetapi tidak mengapalah, kerana rakyat ramai yang membuat keputusan sama ada untuk memberikan BN sepenggal lagi walaupun telah berpenggal-penggal mentadbir kita.

Sebenarnya Najib masih belum berkeyakinan untuk membubarkan Parlimen, tetapi oleh kerana penggal Parlimen sudah sampai ke penghujung nya maka beliau akan terpaksa membubarkannya juga atau dibiarkan sahaja penggal ini terbubar dengan sendirinya pada 28hb April nanti. Itu tidak ada apa-apa salahnya jika Najib memilih untuk berbuat demikian.

Tidak ada sebab untuk Najib tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen itu sedangkan jika beliau membubarkan Parlimen pada hari ini Najib tetap mencatat rekod seorang Perdana Menteri yang tidak dipilih oleh rakyat. Persepsi itu tidak dapat di hilangkan jika Najib membubarkan Parlimen hari ini atau besok. Sudah alang-alang tunggu sahaja sampai penghujung bulan April nanti.

Tindakan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak juga menjadi kesalahan kerana sebagai sebuah negara Persekutuan, Dewan Legislatif Negeri itu adalah hak negeri untuk menentukan tarikh pilihanraya bagi kawasan-kawasan Undangan Negerinya. Jangan kita persoalkan tindakan itu kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Selangor dan Persekutuan kita. UMNO tidak payah sibuk dengan urusan kerajaan Negeri Selangor kerana UMNO sudah ditolak oleh rakyat Selangor.

Kerja dan tugas UMNO yang penting sekali sekarang ialah untuk menentukan yang mereka melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang negara. UMNO sendiri mempunyai masalah besar. Biarkan PAS, DAP serta PKR dengan urusan mereka kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan perancangan untuk melakukan perbezaan dengan BN jika mereka diberi peluang untuk mentadbir Putrajaya selepas PRU  ini.

Tidak salah untuk UMNO bertahan, tetapi untuk bertahan UMNO sendiri tidak berkeyakinan. Ramai di antara pemimpin mereka menzahirkan perasaan mereka kepada saya sehari dua ini. UMNO mempunyai banyak ‘factions’ dan mempunyai ‘warlords’ mereka termasuk Dr Mahathir sendiri. UMNO sedang menghadapi tekanan dari rakyat dan dalam pada menguruskan tekanan rakyat itu, parti itu sendiri wujud tekan menekan sesama sendiri.

Puak Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan jika boleh mereka mahukan Najib berhenti untuk memberikan Muhyiddin peluang menerajui PRU ke13 ini. Serba salah puak Mahathir ini nampaknya. Begitu juga puak Muhyiddin. Kalau hendak berkeras untuk menekan Najib, pilihanraya sudah hampir dan akan menjejaskan keputusannya nanti. Tidak berkeras pun tidak boleh kerana UMNO sedang dalam keadaan telur di hujung tanduk.

Satu isu yang terbesar akan mereka (UMNO) hadapi ialah masalah calon pilihanraya untuk UMNO dan BN. Jika Najib biarkan Muhyiddin menentukan calon UMNO ia serupa lah memberikan parang tajam kepada Muhyiddin untuk Timbalannya itu gunakan untuk memenggal politik Najib seperti yang di kehendaki oleh Mahathir. Setakat yang saya tahu sudah berbelas Ketua Bahagian yang dulunya adalah pengikut totok Najib dengan senyap-senyap telah berpihak kepada Muhyiddin.

Tidak tahu lah kita sama ada Najib maklum tentang perkara ini tetapi yang pastinya mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib. Mereka ingin bergantung kepada dahan yang baru tetapi tidak tahulah kita sama ada mereka terasa bahawa dahan yang baru ini pun akan tumbang bersama pokok besarnya (UMNO) dalam pilihanraya nanti. Bagi UMNO, parti ini sudah sampai ke persimpangan.

UMNO tidak mempunyai jalan selain dari mengakui kesulitan mereka dalam pilihanraya kali ini. Itu pun tidak mengapa kerana dalam demokrasi sememangnya UMNO boleh di jatuhkan seperti yang dialami oleh mana-mana parti di dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi UMNO tidak rela menghadapi kekalahan kerana masing-masing ‘warlords’ dalam UMNO itu mempuyai rekod buruk masing-masing yang mereka takutkan jika parti itu tidak berkuasa lagi.

Mahathir tersangat takut jika Pakatan Rakyat menang dan Anwar menjadi Perdana Menteri. Mahathir bukan sedikit masalah yang beliau lakukan terhadap diri beliau sendiri semasa memegang kuasa dahulu. Itulah yang menyebabkan beliau bermatian menegakkan benang basah UMNO hari ini. Najib pun begitu. Beliau takut jika Pakatan menang dan terpaksa menghadapi Anwar jika Pakatan menang.

Jika UMNO menang dengan tipis sekali pun, Najib terpaksa menghadapi hari akhir kepimpinan beliau dan ini juga menakutkan beliau sendiri. Apakah Muhyiddin mampu untuk tidak mengambil tindakan terhadap Najib jika beliau mengambil alih kuasa? Najib tahu dalam UMNO tiada siapa yang mempunyai ‘allegiance’ terhadap pemimpin yang mereka sokong sebelumnya. Najib akan menangis keseorangan. Itu sudah banyak berlaku dalam UMNO kerana setiap pemimpin dalam UMNO itu adalah pimpinan yang lemah dan mereka hanya diikuti oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Semua mereka itu akan mengikut dan bersama-sama mengutuk pimpinan yang telah pergi yang pernah mereka dukung dahulu.

UMNO sudah tidak ada lagi pemimpin yang ‘magnanimous’ seperti dahulu. Dendam mendendam sudah menjadi amalan mereka. Kata perpatah Melayu, ‘mati ayam mati tungau’ Berhenti sahaja Najib maka Najib akan terpaksa menghadapi zaman gelap beliau sampai akhir hayat.

Najib sekarang memang tidak boleh bertahan lagi. Hanya jika beliau ada sedikit kemampuan untuk berfikir sahaja boleh menyelamatkan beliau dari menghadapi zaman gelap beliau nanti.

Najib tahu Mahathir tidak akan membela beliau dan Muhyiddin jauh sekali untuk melakukannya. Apa tah lagi jika UMNO yang sekarang mempunyai kecenderungan untuk tewas dalam pilihanraya kali ini bersama parti komponennya MCA dan MIC yang sudah pasti akan tewas kali ini. - HarakahDaily

Selasa, 19 Februari 2013

BUKAN HARAM UNDI PAS BAHKAN WAJIB

Pengenalan

Menurut sistem politik Islam/siasah syar`iyyah, sumber rujukan tertinggi dalam negara ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber tersebut menggariskan prinsip pentadbiran yang menjadi teras kepada tercapainya keadilan dan ketelusan pentadbiran negara. Sebaliknya tanpa al-Quran dan al-Sunnah, maka pentadbiran yang dijalankan akan menjadi pentadbiran yang cacat dan lemah, kerana dipergunakan oleh golongan pemimpin untuk mengaut keuntungan diri serta menindas pihak lain. 

Dalam ayat al-Quran di atas, Allah Taala menetapkan dua prinsip politik Islam yang sangat utuh iaitu; Menunaikan amanah/tanggungjawab dan melaksanakan keadilan. Bertolak dari situ, kerajaan Kelantan, di bawah kepimpinan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, dengan beraninya telah menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran sejak tahun 1990 lagi bagi memandu kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan diri di atas penderitaan rakyat. Pihak kerajaan telah mengisytiharkan dasar keislaman secara terbuka, melalui slogan “Membangun Bersama Islam”. Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dalam sistem politik dan pentadbiran di Malaysia

Peranan al-Quran dan al-Sunnah dalam Pentadbiran Kelantan

Menteri Besar Kelantan mengakui bahawa banyak sekali pengajaran yang terdapat dalam al-Quran yang dilaksanakan melalui program pembangunan Islam, dakwah dan pembangunan insan di Kelantan. Contohnya, mengajak orang Islam menghayati solat iaitu Kerajaan Negeri menganjurkan program Bulan Sembahyang. Begitu juga Kerajaan Negeri meluluskan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan.

Dalam perkara-perkara yang tidak dinyatakan al-Quran dan al-Sunnah secara langsung, maka kerajaan Kelantan menggunakan kaedah ijtihad untuk menyelesaikan perkara tersebut. Banyak pembaharuan yang dilakukan berlandasakan kaedah ijtihad ini seperti mengadakan papan tanda berunsurkan Islam, menambah cuti bersalin kepada 60 hari dan sebagainya.

Di antara petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang dilaksanakan dalam pentadbiran Kelantan ialah:

Pertama: Menghidupkan Prinsip Kedaulatan Syariah, Prinsip Syura, Prinsip Amanah/Mas’uliah, Prinsip Keadilan.

i: Prinsip kedaulatan Syariah Islamiyyah

Kerajaan Kelantan menjadikan Syariah Islamiyyah sebagai landasan utama dalam urusan pentadbiran, berpandukan Firman Allah, maksudnya: 

“... dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah : ayat 44)

Dasar ini dikira sebagai asas akidah atau kepercayaan (usul i`tiqadiyyah ) bagi kerajaan. Dengan itu kerajaan menolak teori dan kaedah yang bercanggah dengan Islam. 

ii: Prinsip Syura

Kerajaan Kelantan menetapkan sesuatu keputusan melalui perbincangan berbagai pihak yang memiliki kepakaran, tanpa melanggar prinsip Islam, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah Taala, bermaksud:

“...dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran : ayat 159)

Prinsip Syura ini amat penting kerana dapat mengelakkan daripada pemerintahan secara kuku besi. Sebaliknya syura dapat melahirkan sikap tanggungjawab bersama yang tinggi, kerana masing-masing mengetahui bahawa keputusan yang diambil itu adalah keputusan bersama. Semangat dan roh syura merupakan perkara pokok dalam kegiatan pentadbiran Kelantan..

iii:Prinsip menunaikan amanah/mas’uliyyah

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan bukanlah suatu anugerah untuk mengaut keuntungan diri sendiri. Sebaliknya kepimpinan merupakan amanah dan mas’uliyah yang berat terhadap Allah dan masyarakat sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Pemimpin akan menghadapi soal jawab di akhirat dan sentiasa terdedah kepada kritikan orang ramai di dunia, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. 

Prinsip ini menekankan supaya pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tanpa menyeleweng, kerana segala perbuatan mereka akan disoal oleh rakyat dan disoal oleh Allah di akhirat. Menurut Ibn Taymiyyah, prinsip amanah ini amat penting kerana dapat menjamin pihak berkuasa benar-benar menjalankan siasah yang adil, berpegang kepada sistem dan peraturan, etika dan nilai yang mulia. Dengan itu dapat menghindarkan daripada kegiatan rasuah, penyelewengan, kronisme dan sebagainya. 

iv: Prinsip menegakkan keadilan

Kerajaan Kelantan mendokong dasar keadilan sejagat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik berpandukan Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Oleh itu, kerajaan Kelantan menentang keras sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas rakyat. 

Dasar keadilan kerajaan Kelantan sangat menekankan jaminan perlindungan hak-hak warganegara yang beragama Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek kehidupan. Menurut Ibn Khaldun, kezaliman akan mendedahkan negara kepada kemusnahan. 

Kedua: Merealisasikan Konsep Kepimpinan Ulama

Kepimpinan Ulama telah diangkat menjadi peneraju kepada Kerajaan Kelantan. MB Kelantan menyatakan bahawa beliau adalah pemikul amanah Allah untuk melaksanakan segala perintah-Nya dalam Negeri Kelantan. Beliau berpegang kepada peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:

”Sesiapa yang menjadi pemimpin masyarakat Islam, kemudian dia meninggal dunia dalam keadaan mengkhianati mereka itu, maka diharamkan syurga baginya.” (Hadis Imam al-Bukhari)

Beliau faham bahawa seorang pemimpin dikira melakukan ibadat sewaktu mentadbir negeri mengikut panduan Islam. MB menegaskan bahawa, beliau tidak boleh mengubah atau lari daripada dasar Islam, kerana dasar yang bercanggah dengan Islam akan membawa kerosakan

Kepimpinan Ulama di Kelantan sangat menekankan ciri-ciri dan kelayakan yang tinggi dari segi ketakwaan, ketinggian akhlak, kemampuan ilmu dan kemahiran mengurus.

Tanpa kelayakan tersebut, pemimpin tidak mampu melaksanakan tugasnya untuk mendaulatkan Islam dan membangunkan negara. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yakin bahawa pemimpin yang bersih jiwa dan hartanya sahaja akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mampu menjaga kepentingan rakyat jelata. Sebaliknya para pemimpin yang kotor hati dan hartanya akan sentiasa tenggelam dalam gelombang keduniaan yang merasuk jiwa dan akhirnya rakyat menjadi mangsa dan korban kerakusan serta kezaliman mereka itu. 

Para pemimpin kerajaan dijaga daripada perlakuan buruk seperti rasuah. Beliau yakin dengan janji Allah untuk mengangkat tinggi kedudukan orang berilmu dan yang beriman.

Ketiga : Mencetuskan Pembaharuan Yang Hebat

Antara pembaharuan yang berjaya dilakukan ialah :

i. Menyelamatkan wang rakyat daripada unsur riba dengan memindahkan simpanan tetap Kerajaan Negeri daripada bank yang mengamalkan sistem konvensional (Bank Bumiputra Malaysia Berhad) ke Bank Islam Malaysia Berhad. Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) mulai tahun 1992 dan mengarahkan semua pajak gadai yang beroperasi menggunakan kaedah riba ditukar kepada sistem Islam mulai tahun 1993. Sistem ini kemudiannya ditiru oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia dan Bank Rakyat. 

Menjadi satu kesalahan besar menurut al-Quran dan al-Sunnah apabila kerajaan membiarkan rakyat bergelomang dengan gejala riba dan maksiat. 

ii. Menguatkuasakan etika berpakaian menutup aurat kepada kakitangan kerajaan sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran. Malah Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan papan iklan yang memperagakan wanita yang mendedahkan aurat.

iii. Mengharamkan terus perjudian pada 1 Januari 1992 berpandukan nas al-Quran dan hadith Nabi yang jelas mengharamkan judi. Firman Allah Taala, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah : ayat 90)

MB Kelantan menyatakan bahawa pengharaman judi ini adalah selaras dengan prinsip semua agama kerana terdapat unsur-unsur tipu muslihat 

iv. Menghidupkan amalan Solat Sebagai Instrumen Siasah dan pentadbiran

Sebenarnya kedudukan solat sebagai instrumen penting dalam kehidupan telah ditegaskan oleh al-Quran melalui ayat berikut, maksudnya:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah : ayat 45)

Allah SWT menjadikan solat sebagai mekanisme yang hebat untuk membantu manusia menyelesaikan berbagai persoalan hidup. Manusia perlu menggunakan solat untuk melicinkan hidup mereka.

Atas dasar itu, kerajaan Kelantan menjadikan solat hajat beramai-ramai sebagai cara menghadapi masalah yang besar, contohnya dalam krisis Pergau 1992. Melalui solat hajat beramai-ramai, pihak kerajaan pusat bersedia menyelesaikannya, malah jumlah pampasan yang diberikan adalah melebihi daripada jumlah yang dituntut. Apabila Umno mencadangkan perkataan Islam dibuang daripada parti politik, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah menganjurkan solat hajat peringkat negeri pada 8 Disember 1994. Semasa krisis dengan S46 juga solat hajat telah diadakan pada bulan Mei 1996 di padang SMU(A) Maahad Muhammadi. 

v. Menghapuskan kegiatan pelacuran bagi menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran. 

vi. Menggubal undang-undang Islam yang diberi nama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

vii. Menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa riba untuk kakitangan kerajaan negeri kerana riba adalah haram, walaupun kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM123,000 setahun. 

Kelebihan Pentadbiran Al-Quran dan Al-Sunnah Kepada Masyarakat

Antara kelebihannya ialah:

Pertama: Mengawal kerajaan daripada dipengaruhi perkara negatif.

Penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran dapat mengawal daripada berlakunya gejala penyelewengan, rasuah, pecah amanah dan khianat. Oleh itu, didapati dalam tempoh 20 tahun kerajaan Kelantan telah mencatatkan rekod bersih tanpa kes rasuah yang didakwa di mahkamah yang melibatkan para pemimpin Kerajaan.

Kedua: Meningkatkan sokongan masyarakat 

Berpandukan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, kerajaan berjaya memperkenalkan banyak produk pentadbiran Islam yang dapat memenuhi cita rasa masyarakat, terutamanya produk keislaman dan kebajikan. Masyarakat sentiasa menanti-nanti program keislaman tanpa jemu-jemu, Mereka senang hati kepada kerajaan dan percaya kepada keberkatan dalam amalan politik Islam seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT, bermaksud: 

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Araf : 96) 

Ketiga: Mengubah Persepsi buruk terhadap Islam dalam pentadbiran

Apabila Tuan Guru Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar, beliau dengan tegas menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran. Yang terjadi selepas itu ialah tidak ada huru hara yang berlaku, tiada kegagalan ekonomi, tiada penyelewengan, tiada perbalahan kaum dan agama, sebaliknya wujudnya keharmonian, perkembangan ekonomi dengan penglibatan golongan pelabur yang sanggup menjalankan aktiviti perniagaan besar. Tambahan pula banyaknya peningkatan aktiviti dakwah dan kebajikan masyarakat dari semasa ke semasa. Hal ini telah membuka pandangan positif masyarakat terhadap kemampuan Islam dalam pentadbiran yang bergantung sepenuhnya kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad.

Keempat: Membentuk Pemikiran positif terhadap ulama sebagai peneraju Kerajaan

Umno dari awal lagi telah memperlekeh kepimpinan ulama kerana dianggap tidak tahu mengurus pentadbiran. Mereka berkata kerajaan Nik Aziz akan jatuh dalam masa tiga bulan atau tidak sampai setahun. Namun begitu segala tuduhan itu tidak benar, sebaliknya kepimpinan Nik Aziz telah bertahan sekian lama dengan rekod pembaharuan dan bersih. Akhirnya membuka mata masyarakat bahawa ulama sebenarnya golongan yang berwibawa dalam pentadbiran kerajaan

Penutup
Al-Quran dan al-Sunnah telah berjaya membawa berbagai kebaikan kepada masyarakat apabila kedua-dua sumber itu dijadikan rujukan utama dalam kerajaan. Namun, harus diingat bahawa penghayatan al-Quran dan al-Sunnah itu hendaklah diterajui oleh golongan ulama yang bertakwa dan tidak menjadi hamba abdi kepada dunia. Inilah intipati sistem pemerintahan yang bernaung di bawah bayangan al-Quran dan al-Sunnah seperti yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. 

Beliau telah berjaya merubah landskap politik tanah air. Melalui penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran menjadikan aktiviti kerajaan terpimpin dan selamat daripada penyelewengan, mendapat sokongan padu masyarakat, mengubah persepsi buruk terhadap Islam sama ada daripada orang Islam sendiri atau bukan Islam, mencetus sikap baru terhadap kebaikan Islam dalam pemerintahan, memperkasakan amalan Islam dalam perbankan dan skim gadaian Islam, menyuburkan minat golongan bukan Islam untuk mengenali Ajaran Islam.

Shukeri bin Mohamad berasal dari Kg Kuala Nipah, Bachok, Kelantan. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah. -  Shahril Azman Al-Hafiz

Isnin, 18 Februari 2013

Peneroka kena ingat sejarah Felda Sendayan dan FGV


PENEROKA KENA INGAT SEJARAH FELDA SENDAYAN DAN FGV.

FGV............
Hasil kerja Pengurusan baru Felda yang menjanjikan peneroka dan cucu cicitnya akan jadi senang dan kaya raya dan sesetengah perwakilan KPF yang bersalaman dengan Pengerusi baru felda menyebut "peneroka akan jadi jutawan segera"


Peneroka harus ingat dengan sejarah ini ....Peneroka Felda Sendayan. - HarakahDaily

Mahasiswa diserang: NGO gerak kekuatan fokus Pekan


TEMERLOH: PAS Pahang mengecam keras tindakan tidak bertamadun kira-kira 100 orang samseng 
yang mengepung 30 mahasiswa di tengah bandar Pekan semalam kerana jelas melanggar undang-undang, kebebasan bersuara dan keluhuran Perlembagaan negara ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebagai warganegara Malaysia, mahasiswa mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia untuk bebas bergerak termasuk terlibat sama dalam politik negara.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, PAS turut kesal dengan pihak polis yang hadir dalam insiden tersebut tetapi gagal bertindak sebaliknya hanya bertindak seperti pemerhati.

“Serentak dengan itu PAS mendesak Ketua Polis Negeri Pahang melakukan siasatan dalaman serta mengambil tindakan tata tertib atau tindakan yang sesuai kerana sepatutnya peranan polis memastikan undang-undang dipatuhi buaknnya membiarkan pelanggaran undang-undnag berlaku.

“Mahasiswa turun untuk mengedar risalah ke seluruh parlimen Pekan tetapi akibat tindakan agresif kumpulan samseng mahasiswa terpaksa dihantar balik ke Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, mahasiswa yang sepatutnya disambut sebagai tetamu telah mengalami peristiwa pahit ketika berada di parlimen Najib iaitu pada hari pertama lagi ketika berada di Dewan Undangan Negeri Pulau Manis telah cedera dibelasah samseng dan  dimaki hamun serta diusir oleh wakil rakyat BN sendiri iaitu Adun Pulau Manis,  Khairuddin Mahmud bersama penyokong-penyokong Umno.

Pada hari kedua ketika berada di Dun Chini pula, mahasiswa menghadapi dugaan lebih hebat apabila diancam dengan parang oleh samseng Umno dalam dua insiden.

Semalam mahasiswa yang menamakan kumpulan mereka ‘Gerakan Mahasiswa 13’ itu menghadapi kemuncak dugaan berhadapan samseng-samseng Umno apabila dikepung, diserang, dicederakan dan diusir pulang ke Kuala Lumpur serta merta.

Tuan Ibrahim berkata, semua tindakan itu mencerminkan ketakutan Umno khususnya di kawasan Perdana Menteri bagi menghadapi kebangkitan rakyat untuk menolak BN.

“Tindakan terdesak ini tunjukkan  kepada kita melalui penolakan secara paksa, kalau di Pulau Pinang secara perkataan jelas. Di Pekan walau tidak ada perkatan ‘no’ tetapi tindakan samseng-samseng itu merupakan bantahan secara senyap oleh orang Pekan, sebab itu Umno tak bagi maklumat disebarkan, dia takut maklumat sampai kepada rakyat.

“PAS hairan kenapa takut sangat sedangkan media elektronik setiap saat berkempen untuk Umno BN. Walaupun penambahan undi luar biasa iaitu menjangkau 18,000 pengundi baru di Pekan termasuk warga Myanmar, Kemboja, kem tentera dan Orang Asli.

“Tetapi pelik, dengan budak-budak pelajar 30 orang pun Umno rasa terancam dan cemas sangat,” katanya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berharap mahasiswa supaya teruskan perjuangan.

Katanya dengan insiden semalam PAS mendapat maklumat banyak NGO menggerakkan semua kekuatan akan fokus menuju ke Pekan. - HarakahDaily

Khamis, 7 Februari 2013

‘Ahli PAS’ pijak gambar Guan Eng, cukuplah


TEMERLOH: PAS Pahang menafikan laporan lidah Umno Utusan Malaysia hari ini mengenai penglibatan ahlinya dalam demonstrasi di pekarangan Masjid As-Syakirin, Maran.

“Perlakuan yang dilakukan oleh remaja upahan membawa bendera PAS dan memijak gambar Lim Guan Eng dan bendera DAP jelas suatu tindakan terdesak Umno dalam menghadapi PRU13,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Kata beliau, saban hari, pelbagai pembohongan yang dilakukan oleh mereka dengan liputan media Umno ternyata satu sandiwara provokasi bagi mencetuskan kebencian antara kaum menjelang PRU13.

PAS Kawasan Maran, kata Tuan Ibrahim, telahpun membuat laporan polis pada pagi ini.

“Kita harap pihak polis bertindak, kerana bukti bergambar mereka yang terlibat dapat membantu penyiasatan. Kita akan mengikuti secara dekat kes ini, dan mengharapkan siasatan segera dijalankan,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat itu.
PAS Pahang, katanya akan mengadakan perbincangan dengan pihak guaman bagi meneliti kes itu untuk melaksanakan tindakan perundangan ke atas beberapa individu yang terlibat kerana melakukan pembohongan, mencemar nama baik parti dan tindakan provokasi.

“Untuk Umno, cukuplah main isu-isu provokasi. Ramai lagi rakyat Pahang ini yang merana tiada air paip, jalan sempit berbahaya dan tidak berlampu pada waktu malam dan pelbagai masalah tanah yang perlu diberikan perhatian,” katanya lagi. - HarakahDaily

Selasa, 5 Februari 2013

Menantu SU PAS Pahang meninggal kemalangan



TEMERLOH: Menantu Setiausaha PAS Pahang Roslan Zainal, iaitu Hajrah Mustafa, 24, isteri kepada anak keduanya, Muhammad Syahid meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Hajrah dan suami koma selepas terlibat kemalangan kereta berhampiran R&R Benta, Kuala Lipis kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Kedua-duanya kritikal dan koma selepas kereta jenis Toyota Avanza dinaiki mereka, terbabas lalu melanggar kereta lain dipercayai akibat jalan licin kerana hujan lebat sepanjang hari.

Turut menziarahi di hospital ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jenazah allahyarham yang berasal dari Tawau, Sabah, dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berchang selepas Zohor hari ini.

Sementara itu, Muhammad Syahid masih tidak sedarkan diri dan berada di Wad ICU Hoshas, Temerloh


Menurut sumber, pagi semalam, Syahid dan isterinya yang mendirikan rumah tangga pada 1 Disember lalu sempat menghantar adiknya ke Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, Lipis.

Beliau selepas itu bertolak ke Kuala Lumpur untuk urusan mengambil sijil diplomanya di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis). - Harakahdaily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...