KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 23 Disember 2013

BN GUNA KELEMAHAN PENGUNDI MELAYU UNTUK TERUS MENGEKAL KUASA

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

(23 Disember 2013)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana kerajaan Barisan Nasional  menggunakan kelemahan pengundi Melayu untuk membolehkan mereka terus berkuasa dan menguasai negara. Strategi dan taktik ini sudah sebati dengan jiwa mereka dengan menjadikan kelemahan pengundi Melayu luar bandar serta masyarakat felda sebagai senjata dan sasaran mereka.

BN memahami bahawa politik masyarakat Melayu yang mudah lupa dan sejuk hanya dengan insentif dan janji yang ditawarkan menjelang 6 bulan sebelum pilihanraya umum. Selama 4 tahun lamanya rakyat menderita dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang begitu tinggi, namun menjadi lupa hanya dengan kehadiran gula-gula pilihanraya beberapa bulan menjelang pru. Jika hari ini rakyat cukup sengsara dengan kenaikan harga gula, tarif elektrik, kadar tol, memperkenalkan cukai GST dan lain-lain lagi DPPM yakin beberapa bulan menjelang Pru kerajaan BN akan bersikap lunak dengan beberapa pendekatan politik termasuk menurunkan beberapa harga barangan dengan tujuan membeli jiwa rakyat.

Selain itu, BN memahami bahawa masyarakat Melayu mudah dipengaruhi melalui ancaman isu perkauman dan masa depan orang Melayu. Oleh itu, seringkali propaganda murahan ditaburkan bahawa kuasa orang Melayu semakin terancam dan masa depan orang Melayu tidak menentu tanpa pemerintahan Umno-BN. Bagi Umno, hanya mereka mampu selamatkan bangsa dan negara ini manakala parti lain  terutama pembangkang bakal memusnahkan negara.

Mereka juga tampil mengubat luka orang Melayu yang begitu terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup dengan bantuan seperti Brim sedangkan Brim diketahui tidak mampu menampung bebanan hidup yang ditanggung rakyat.

DPPM bertekad menjadikan halangan ini sebagai suatu cabaran bagi menghadapi pru ke 14.  Masyarakat Malaysia terutama orang Melayu di luar bandar termasuk felda perlu disedarkan bahawa BN  tidak berjuang membela nasib rakyat. BN hanya hadir tatkala pru bagi meraih simpati dan sokongan rakyat dan melupai mereka selepas pru berlangsung.

Rakyat juga perlu disedarkan bahawa isu perkauman adalah sekadar retorik dan propaganda kosong yang dimainkan untuk menakut-nakutkan masyarakat. Politik perkauman sudah ditinggalkan oleh masyarakat bermaklumat dan rakyat mahukan politik perpaduan yang bersih  dan amanah lebih dari politik perkauman.

DPPM percaya pendidikan politik yang berterusan mampu memecahkan dakyah songsang ini. Pakatan Rakyat wajib menerobos masuk kampung ke kampung dan felda dan mengubah persepsi terhadap PR.

DPPM juga bertegas menjadikan pendidikan politik agenda penting dan pelan bertindak bagi mengubah landskap politik negara menjelang pru ke 14. Pendidikan politik berterusan mampu mengubah mentaliti dan menyelamatkan masyarakat Melayu dari terus tertipu dan terpedaya oleh politik Umno.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sabtu, 14 Disember 2013

Catatan Syahir Sulaiman, Exco Pemuda PAS mengenai pertemuan dengan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat

“Ambo sangat tenang” – Syahir Sulaiman

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. Maka masuklah di kalangan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Al- Fajr: 27-30).

Cuaca pada hari itu cerah, walaupun Kelantan masih di dalam musim tengkujuh. Pada petang Khamis 12.12.13, saya berkesempatan bersama-sama Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS; Ustaz Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda; dan Ir Khairil Nizam Khiruddin, Naib Ketua Pemuda; menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka sebelum menziarahi pemilik rumah kampung yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut. Kala azan Asar dilaungkan, terlihat kelibat pemilik rumah tersebut yang berjalan berseorangan dengan langkah perlahan menjejaki masjid untuk menunaikan solat bersama. Usai solat yang dipimpin Ustaz Fadhli Shaari, jemaah mengambil kesempatan bersalaman dengan sosok tua itu, yang walaupun dalam uzur, tetap kemas menghulur salam dan menguntum senyuman.

Selesai solat, kami dijemput anakanda beliau, YB Ustaz Nik Abduh, Ahli Parlimen Pasir Mas yang setia menggalas legasi kepimpinan ayahandanya. Pertemuan berlangsung di ruang tamu rumah kayu yang serba sederhana. Beliau duduk di tengah dan kami melingkunginya, umpama cucu-cucu duduk berteleku di hadapan datuk untuk mendengar sayembara pengalaman dan bibit nasihat. Bermula dengan bertanya khabar, maka berlangsunglah dialog antara sang murabbi tua dengan pemuda yang dahaga.

Di awal bicara beliau menyebut, “Ana tenang sekarang walaupun uzur”. Satu lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui badan beliau. Menyentuh isu semasa yang berlegar di sosok tubuh orang nombor dua dalam PAS, beliau menyebut, “Nasionalis Melayu bersifat pura-pura, lebih daripada Syiah. Mulut sebut nak Islam tapi kerja lawan Islam. ISA digunakan bila tak dapat berhujah. Pertembungan kebenaran dengan kezaliman ini berlaku sejak zaman Nabi, sejak zaman Nabi Ibrahim lawan Namrud, dan Nabi kita Muhammad SAW lawan Abu Jahal. Bila tak boleh berhujah, digunakan kekerasan”.

Pesanan khusus untuk pemuda, “Kena kuat taqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana? Kena ikut Nabi. Allah hantar Nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk sampaikan perintah pada kita”. Beliau sebut, Kelantan dah laksana taqwa sejak dulu. “Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat”. Pesan tok guru, “Pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan taqwa, samada dengan menulis, ceramah, program, pandai-pandailah”.

Ditanya bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, “Istiqamah ni 24 jam, tak boleh sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu, berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang Umno. Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar, jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih”.

“Apa keutamaan pemuda?", celah seorang daripada kami. Tok guru jawab, “Tenaga ilmu, buat perancangan. Dalam banyak perkara yang ambo rancang masa jadi MB dulu, satu sahaja yang tak sempat buat. Ambo nak anjur kempen menghayati peristiwa ‘Wa Iz’ yang disebut dalam Quran. Ini semua peringatan peristiwa ‘Apabila’ yang Allah sebut untuk ingatkan kita. Contoh peristiwa ketika Allah berkata pada Malaikat mahu mencipta khalifah di muka bumi. Mungkin Ustaz Fadhli boleh buat lepas ni. Nak buat macam mana, antum fikirlah”.

Dengan rakan non-Muslim, beliau sebut, “Cina India sekarang makin rapat dengan Islam. Ini peluang dakwah. Umno berkawan dengan Cina lama, tapi Cina tak kenal Islam. PAS berkawan dengan DAP, kita rapat, dan kita boleh cerita Islam pada mereka. Ambo cadang Pemuda buat forum, tajuk ‘Jika Islam tak betul, kami (Melayu) tinggal Islam, tapi jika Islam betul, kenapa you (DAP, Umno) nak tolak Islam’. Kena jemput berdepan, terangkan tentang Islam. Satu kejayaan bila mereka sokong  Islam walaupun belum memeluk Islam”.

Ditanya apakah aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar, beliau menjawab, “Ambo banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka menulis. Bila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan kalam”. Tok guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling kerap dibaca, “Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang beri ambo makan minum”.

Tok guru turut berpesan, “Banyak-banyak ingat Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya kita sebut ‘Allah’. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir, sebutlah apapun, asal hati ingat Allah… Ambo sangat tenang loni”.

“Ambo setakat ni je la, nak rehat”, sambil mengusap dada, ungkap beliau mengakhiri pertemuan. Kala bersalaman selepas bergambar sambil berkenalan dengan kami yang perlbagai profesion, tok guru sebut, “Zaman ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan PAS di sini. Kami panggil dia, ‘Deraman Intelektual’. Sekarang ni ramai dah orang bijak masuk PAS”.

Tenang hati mendengar bicara hikmah pada pemuda dari murabbi kami, YB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ya Allah, engkau berilah kami kekuatan dan ketenangan. – 13 Disember, 2013.

*Syahir Sulaiman adalah Exco Pemuda PAS Malaysia.

Khamis, 12 Disember 2013

Pemuda PAS bentuk jawatankuasa sesi 2013-2015

DEC 12, 2013  SUMBER: HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah berjaya membuat beberapa pelantikan baharu jawatankuasa DPPM bagi sesi 2013-2015.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, hasil dari mesyuarat DPPM semalam, beberapa portfolio penting berjaya diisi.

Mohd Nasaie Ismail dilantik sebagai Setiausaha DPPM, Ustaz Yussaine Yahya (Bendahari), Ustaz Zaharuddin Mohamad (Ketua Penerangan) manakala Pengarah Pilihanraya adalah Mohd Sany Hamzan.

Jawatan Penolong-penolong Setiausaha DPPM serta pelantikan beberapa jawatankuasa tambahan dan pembentukan lajnah serta jabatan pula akan dilantik selepas Pelan Strategik DPPM.

Berikut adalah senarai penuh Jawatankuasa DPPM bagi sesi 2013-2015:

Pengerusi tetap: Ustaz Kamal Ashaari
Timbalan Pengerusi tetap: Dr Ustaz Riduan Mohd Nor
Ketua Pemuda: Suhaizan Kaiat
Timbalan Ketua Pemuda: Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi
Naib Ketua Pemuda: Ir Muhd Khairil Nizam Khiruddin
Setiausaha: Mohd Nasaie Ismail
Bendahari: Ustaz Yussaine Yahya
Ketua Penerangan: Ustaz Zaharuddin Mohamad
Pengarah Pilihanraya: Mohd Sany Hamzan

Ahli jawatankuasa DPPM yang dipilih dalam Muktamar DPPM:

1. Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joffre
2. Mohd Fadli Ghani
3. Ustaz Mohd Fadhli Shaari
4. YB Ustaz Ahmad Yahya
5. Mohd Shahir Che Sulaiman
6. Mohd Faizul Salleh
7. Ustaz Afnan Hamimi bin Taib Azzamudden
8. YB Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan
9. Nurul Islam Mohd Yusoff
10. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus
 
Ketua Pemuda PAS negeri-negeri:-
 
Perlis: Ustaz Yussaine Yahya
Kedah: Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Pulau Pinang: Ustaz Mohd Yusni Mat Piah
Perak: Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss
Selangor: Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim
Wilayah Persekutuan: Ir Muhd Khairil Nizam Khiruddin
Negeri Sembilan: Ustaz Nor Azman Mohamad
Melaka: Jauhar Mohd Dawi
Johor: Mohd Faizul Saleh
Pahang: Ustaz Nazri Ahmad
Terengganu: Ustaz Kamaruzaman Abdullah
Kelantan: Ustaz Mohd Fadli Shaari
Sabah: Lahirul Latigu
Sarawak: Mohd Arifiriazul Paijo 

Isnin, 2 Disember 2013

AHLI JAWATANKUASA BARU PAS PUSAT SESI 2013-2015

Makluman Pelantikan Jawatan Dalam Kepimpinan PAS Pusat Untuk Sesi 2013-2015

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang pertama selepas Muktamar Agung Tahunan PAS ke 59 yang baru sahaja berakhir pada minggu yang lalu telah diadakan pada hari ini, Ahad 1 Disember 2013 di Pejabat Agung PAS Pusat.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh saya selaku Presiden Parti, dan dihadiri oleh Timbalan Presiden, semua Naib Presiden, dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Mesyuarat telah berbincang dan membuat keputusan jawatan lantikan mengikut perincian berikut :

1. Setiausaha Agung PAS - Dato’ Hj Mustafa Ali
2. Bendahari - YAB Dato Ahmad Yaakob
3. Ketua Penerangan - YB Dato’ Mahfuz Omar
4. Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat – YB Dr Mohd Hatta Ramli

Persuruhjaya PAS Negeri/ Wilayah
1. Kelantan - YAB Dato Ahmad Yaakob
2. Terengganu - YB Ustaz Saiful Bahri Mamat
3. Pahang – Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
4. Johor - YB Tn. Hj Aminulhuda Hassan
5. Melaka – Sdr Adly Zahari
6. Negeri Sembilan - Sdr Mohd Taufek Abdul Ghani
7. Selangor - YB Iskandar Abdul Samad
8. Perak - Tn Hj Razman b. Zakaria
9. Kedah - YB Dato’ Mahfuz Omar
10. Perlis - YB Mohd Shukri bin Ramli
11. W Persekutuan – Tn. Hj Mohammad Noor Mohammad
12. Sabah - Sdr Mohd Aminuddin Aling
13. Sarawak – Tn. Haji Adam Ahid

Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik adalah terdiri dari :
1. YB Dato’ Mohd Amar bin Abdullah
2. Dato’ Abu Bakar Chik
3. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagos
4. Tn. Hj. Mohd Hussin
5. Tn. Haji Asmuni Awi
6. Zulkiflee Mohd Omar
7. Dr Muhaimin Sulam

Adalah juga dimaklumkan bahawa pelantikan ke jawatan Penolong Setiausaha Agung PAS dan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang akan dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan pada 17 Disember 2013 nanti.

Pihak kepimpinan PAS mendoakan agar semua kepimpinan yang diberikan amanah ini dapat melaksanakannya dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...