KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sabtu, 13 Oktober 2012

Warga estet dakwa kehidupan terpinggir

KUALA LIPIS: “55 tahun merdeka nasib warga estet tidak terbela, janji BN gagal ditepati”, demikian bunyi ayat yang
 terpampang pada banner semasa menyambut kedatangan konvoi ‘PAS Cakna ke kawasan Parlimen Lipis’ di Ladang Benta dekat sini baru-baru ini.

Rombongan PAS Pahang itu hadir bagi mendengar sendiri keluhan masyarakat berketurunan India pekerja estet yang mendakwa tiada pihak yang menitikberatkan kebajikan mereka selama ini.

Seorang penduduk, R Krishnan, 62 menceritakan, majoriti warga estet khususnya buruh ladang masih tercicir daripada menikmati peluang kehidupan lebih baik dan selesa berbanding pekerja sektor lain.

“Kami menyumbangkan tenaga untuk kemajuan ladang dan ekonomi negara. Namun peluang kami untuk memiliki rumah sendiri masih samar-samar begitu juga dengan pendidikan lebih terjamin,” katanya.

Jelasnya, banyak kali pihak kerajaan turun berjanji untuk membela nasib mereka yang mencurahkan bakti kepada pendapatan pertanian negara sepanjang hayat, namun semuanya sekadar tinggal janji.

Estet Benta dikatakan antara ladang getah terawal di negeri Pahang yang dibuka oleh saudagar Inggeris manakala pekerja-pekerjanya dibawa dari India oleh penjajah Inggeris ketika itu.

Menurut penduduk, setelah ratusan tahun berlalu dan 55 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang diperolehi penduduk manakala anak-anak yang berjaya menghuni di luar.

Seorang lagi penduduk, M Rajma, 55, berkata kebanyakan penduduk masih mendiami rumah bersaiz kecil dan tidak selesa yang disediakan oleh pengurusan estet.

Lebih menyedihkan katanya, mereka terpaksa mencari rumah lain jika ketua keluarga berhenti daripada menjadi pekerja ladang.

“Kami menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan untuk membeli rumah sendiri kerana ketiadaan jaminan daripada majikan. Kami juga tiada apa-apa boleh dicagarkan.

“Kami sukar untuk menyertai mana-mana skim perumahan mampu milik tajaan kerajaan walaupun keluhan kami sudah disuarakan sejak sekian lama,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mencanangkan kemajuan rakyat di serata negara namun nasib kami yang berada di negeri Perdana Menteri sendiri jauh terpinggir daripada arus kemajuan.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuia konvoi berkenaan, turut menerima memorandum (gambar di atas) berhubung nasib warga estet yang memerlukan pembelaan dan perumahan lebih baik itu.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Pakatan Rakyat (PR) mengambil serius mengenai aduan berhubung nasib pekerja ladang swasta itu yang seolah-olah tidak pernah dibela.

“Sekiranya PR berjaya mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang, kita akan menyediakan perancangan khusus bagi membela nasib mereka,” ujarnya. Via - HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...