KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Ahad, 18 Mei 2014

Jangan Gopoh Untuk Melihat Kejayaan Tarbiah.


Ustaz Idris Hj Ahmad
15/5/14

Kena sabar sebagai orang yang buat kerja tarbiah. Tidak ada jalan pintas untuk melihat hasil tarbiah. Benar seperti pepatah Arab "Sabar ikut seperti Nabi Ayub A.S, panjang umur perjuangan ikut Nabi Nuh A.S".

Ada yang berjaya, ada yang gugur di pertengahan jalan. Paling malang gugur bersama dengan musuh. Golongan inilah yang paling merbahaya kerana mereka memahami selok belok di dalam jamaah. Mereka mengetahui strategi jamaah, lebih lebih lagi jika mereka di ranking yang tertinggi di dalam parti. Tetapi InsyaAllah, jamaah tetap akan terpelihara. Mereka yang kianat pula tidak bahagia di dunia lagi, di akhirat Allah yang tentukan.

Kita jangan gopoh untuk melihat kejayaan tarbiah. tarbiah ialah bina manusia, bukan bina bangunan. Bina bangunan mudah kerana ia kaku, tidak berfikir dan bergerak, berlainan dengan manusia ia boleh bergerak dan berfikir sepanjang masa. Benarlah kata Saidina Umar " Didiklah anak kamu sesuai dengan zaman nya, bukan zaman kamu". Begitulah juga di dalam nizam tarbiah Pas yang bersifat anjal dan teguh (tawabit dan mutagayyirat). Sebab itu Pas sentiasa evergreen dalam semua keadaan. Strategi yang diatur tidak pernah membelakangkan Syariat.

Perkara asas iaitu mengenai akidah, syariat dan akhlak . Ini merupakan perkara abjadiat (maratib) di dalam sistem tarbiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. Tidak betul di dalam sistem tarbiah, jika daripada awal orang mengenali Pas terus diperkenalkan Tahaluf Siasi, sedangkan perkara asas ia tidak faham dalam diri dia. Jika ini berlaku ia merupakan satu penyelewingan di dalam sistem tarbiah. Mereka ini akan membuat masalah di dalam parti, kerana mereka tidak faham mengenai asas keperluan di dalam sebuah jamaah. Orang seperti ini bahaya kerana mudah kecewa bila ia hanya memikirkan perjuangan ini dari sudut politik semata-semata, bukan sebagai satu tanggungjawab. Ia akan gugur di pertengahan jalan kerana nafasnya tidak panjang.

Menguruskan tarbiah di era langit terbuka bukan suatu perkara yang mudah. Kadang -kadang manhaj yang Pas berikan diketepikan begitu sahaja. Malahan ada yang menolak unsur-unsur asas di dalam tarbiah seperti wala' dan thiqah. Paling bahaya ada yang menganggap wala' adalah candu yang wajib dihindari. Pada mereka Pas tidak maju, jika masih didoktrin dengan konsep ini. Begitu juga dengan anggapan bahawa tidak perlu berjuang bersama jamaah. Mereka menggunakan logik untuk menolak hujah bahawa wajib bersama dengan jamaah.

Hadis Nabi SAW "Wajib atas kamu berjamaah, jamaah adalah rahmat, berpecah merupakan mala petaka". Ini semua hujah tidak dipakai oleh golongan ini.

Mereka mendakwa pemikiran akan terkongkong dan tidak bebas apabila bersama jamaah. Pada hal mereka yang menganggap tidak perlu berjamaah, sebenarnya tetap juga berjamaah, iaitu "jamaah yang tidak mahu berjamaah". Semuanya menjadi cabaran dan memerlukan kepada kebijaksanaan dalam menguruskan tarbiah.

Walau bagaimana cabaran untuk melihat hasil tarbiah sukar dan payah. Namun usaha mesti diteruskan, walau pun setinggi mana ombak yang menghalang perjalanan. Tidak ada kamus kecewa dan putus asa bagi rijal dakwah dan rijal tabiah. Allah marah mereka yang bersikap putus asa di dalam amal, lebih-lebih lagi di dalam amal Islami.

Kita mesti yakin rahmat Allah bersama dengan daya usaha yang kita curahkan. Kejayaan atau kegagalan bukan urusan kita. Allah tidak persoal tentang kejayaan atau kegagalan, yang ditanya ialah usaha dan kerja buat kita. Allah membantu usaha baik kita. Yakinlah usaha baik ini akan memperolehi kejayaan. Buktinya masyarakat sudah boleh menerima Syariat Allah. Walau pun suatu ketika dahulu isu ini dianggap dagang. Alhamdulillah semuanya masyarakat sudah mula berbicara mengenai syariat Allah. Kata-kata nista dan keji tidak lagi kedengaran, cuma ada suara-suara sumbang dari kalangan mereka yang istiqamah tidak mahu menerima syariat Allah. Golongan ini kita serahkan kepada Allah untuk memberi hidayah.


Ahad, 27 April 2014

Matlamat Tarbiah Parti Islam Semalaysia


Oleh Hj. Idris Hj Ahmad
24/4/14

Sebagai sebuah jamaah Islam, tarbiah menjadi asas kepada perjuangan Pas. Inilah kelainan daripada parti politik yang lain. Walau pun luaran masyarakat lebih kenali Pas sebagai parti politik sahaja, sedangkan Pas merentasi perenggan parti politik di dalam perjuangannya. Hasilnya Pas mampu berada dipersada politik negara sehingga menjangkau usia 63 tahun. Dalam masa yang sama parti yang seangkatan dengannya telah berkubur dimamah usia.

1. Membina Peribadi Muslim

Orang yang menyertai Pas sudah pasti ia tahu sebab apa ia sertai Pas. Sudah tentu kerana dasar Pas ialah Islam. Menjadi tugas Pas untuk mentarbiah ahlinya supaya memahami Islam dan menghayati Islam. Sebelumnya mereka memahami Islam dalam konteks ritual sahaja, yakni hubungan dengan Allah semata-mata maka menjadi tanggungjawab kepada Pas memberi kefahaman Islam yang syumul. Islam yang merangkumi Din Wa Daulah. Tarbiah Pas mesti memastikan ahlinya menutup aurat mengikut syariat, bukan adat. Tarbiah Pas memastikan ahlinya bermuamalat dengan amalan Islam, menjauhkan amalan riba ketika membeli kenderaan, rumah dan sebagainya. Pas berusaha untuk memastikan setiap ahlinya me njadi Insan Rabbani, sebagai mana yang Allah telah jelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud,

"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta`ala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya." Al Imran:79)

Antara aspek tarbiah yang penting ialah membina akidah yang soheh. Tanpa perkara ini semua amalan dianggap sebagai lagha dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Sekiranya akidah rosak maka tidak ada nilai ibadah yang lain. Sebenarnya lonjakan yang menjadi motivasi untuk terus bekerja berpunca daripada kekuatan akidah yang sebenar. Sebab itu pemahaman akidah yang soheh menjadi perkara awal di dalam nizam tarbiah Pas. Kita tidak boleh cerita tahaluf siasi dahulu sebelum seorang itu memahami aspek akidah, jika tidak ia akan menjadi kecelaruan di dalam aspek tarbiah kita.

2. Membina Usrah Muslimah (Keluarga Islam)

Setelah membina fardu Muslim, tarbiah mesti menjurus kepada pembinaan keluarga Islam. Kerana ia adalah batu bata kepada pembinaan daulah Islamiah. Bagaimana kita hendak membina negara jika institusi keluarga rosak. Tarbiah keluarga, Ia bermula daripada pemilihan jodoh sehinggalah kepada kerukunan dalam rumah tangga. Ada orang yang hebat di dalam parti tetapi ia gagal mentarbiah ahli keluarganya sendiri, sehingga kehebatannya terlidung dan cacat di pandangan ahli dan juga orang ramai. Apabila keluarganya lemah dari segi penghayatan Islam orang akan memikirkan apa yang boleh diharap untuk membawa agenda yang lebih besar di dalam sebuah negara. Apabila beliau gagal membentuk qudwah yang baik di dalam rumah tangga beliau, bagaimana beliau hendak meyakinkan ahli yang lain kepada perjuangan Pas. Beliau sendiri gagal untuk hendak pastikan anak isteri bersama berjuang, bagaimana ia hendak mengajak anak isteri orang lain untuk turun berjuang.

3. Membina Masyarakat Muslim.

Manusia ialah makhluk bersosial dan berhajat antara satu sama lain. Mereka tidak boleh hidup bersendirian tanpa kawan dan berpasangan. Pas mentarbiah ahlinya supaya ahlinya sentiasa evergreen di dalam semua keadaan. Watak kita diperhati oleh kawan dan lawan. Tingkahlaku kita di dalam masyarakat sentiasa menjadi fokus kepada orang ramai. Biarlah kehadiran kita dinanti, pemergian kita diingati. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW "Jadilah kamu sebagai orang yang menarik perhatian di kalangan manusia". Kerana masyarakat merupakan medan sebenar untuk kita mengembangkan pengaruh dan fikrah perjuangan. Kita jangan menjadi pemusnah di dalam jamaah. Diharapkan tingkahlaku kita akan menjadi aset, bukan bebanan jamaah. Kita mahu masyarakat yang diduduki oleh ahli Pas memaparkan akhlak Islam yang menjadi contoh dan daya tarikan kepada orang awam yang menjadi mad'u kita. Biarlah sejuk mata memandang apabila orang luar masuk di kampung yang majoritinya orang Pas. Wanitanya tidak kira muda atau tua memakai pakaian yang menutup aurat. Suraunya hidup dengan solat berjamaah, masjidnya diimarah dengan majlis ilmu. Semangat gotong royong antara masyarakat, berusaha mencegah kemungkaran dan kebatilan. Walau pun daulah belum lagi tertegak, tetapi masyarakat telah berjaya mewujudkan biah solehah ( persekitaran yang baik) yang akan menjadi batu bata kepada kewujudan daulah Islamiah.

4. Membina Daulah Islamiah.

Walau pun bukan senang, usaha ke arah itu perlu dilakukan dengan baik dan teratur. Inilah matlamat tarbiah Pas yang terakhir. Pas mengambil pendekatan muwajahah silmiah iaitu melalui demokrasi. Platform inilah yang digunakan sejak 13 kali pilihanraya berlangsung di negara ini. Jatuh bangun Pas di pentas demokrasi memang hebat sehingga menjadi perhatian pengkaji sains politik tentang keunikan Pas. Walau pun berbagai tektik dan strategi untuk mematikan perjuangan Pas, namun semuanya gagal, malahan Pas tetap segar dan menarik sokongan orang ramai. Islam yang syumul tidak boleh ditegakkan jika tidak mempunyai daulah. Rasulullah SAW tidak akan berhijrah dan meninggalkan kampung halaman baginda di Makkah jika Islam yang baginda bawa ialah solat, puasa, zakat dan haji. Di Makkah baginda hanya boleh berdakwah, jika ada pelanggaran hukum baginda tidak boleh buat apa-apa. Kecantikan Islam hanya terdapat di dalam tulisan yang disusun indah di dalam maktabah sahaja. Ianya tidak boleh dipraktikkan sepenuhnya. Keadilan syariat Allah tidak dapat dibuktikan jika tidak ada daulah yang mendokongnya. Keadilan Islam tidak boleh dilihat dan dihayati di dalam krangka sekular. Malahan kadang-kadang menimbulkan fitnah kepada keindahan Islam.
Firman Allah yang bermaksud
"(Iaitu orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang munkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan". ( al-Haj, 22:41)

Rabu, 19 Mac 2014

PASTI Jengka 14 dalam Pembinaan

Pembinaan Pasti  Jengka 14, di bawah kawasan Kuala Krau  insyaAllah awal tahun depan sesi kelas akan bermula..doakan..

Sebarang sumbangan untuk pembangunan PASTI boleh diberikan melalui akaun Tabung Kebajikan Pemuda Prihatin PAS Kawasan Kuala Krau


Posted via Blogaway

Ahad, 16 Mac 2014

Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber


Idris Haji Ahmad
13/3/14

Kejayaan satu usrah bergantung kepada kewibawaan naqib yang memenuhi ciri-ciri seorang naqib. Kegagalan usrah berpunca daripada naqib yang tidak memenuhi kriteria naqib. Naqib tidak boleh ditangkap muat begitu sahaja, walaupun dia seorang ustaz, belum tentu dia mampu meletakkan dirinya seorang naqib yang berjaya.

Ciri-Ciri Naqib

1. Berilmu.
Naqib mesti mempunyai ilmu, jika naqib kosong kepala macam mana beliau hendak menjelaskan kepada anak buah usrahnya. Sebagaimana pepatah Arab menyebut " Orang yang fakir macam mana beliau hendak memberi". Mereka yang ada ilmu akan menarik minat ahli usrahnya. Jika naqib tidak memiliki ilmu dan pengetahuan yang luas bagaimana ia hendak meyakinkan orang lain untuk memahami perjuangan. Naqib mesti bersedia untuk menimba pengetahuan tanpa jemu-jemu. Tidak ada istilah pencen untuk seorang naqib mendapat ilmu. Bukan sahaja mereka menguasai ilmu agama, malahan juga ilmu dunia, isu semasa dan isu-isu orgnisasi. Usrah sentiasa segar jika naqib memiliki mutiara-mutiara yang berharga untuk dibawa balik setelah menghadiri usrah. Mahu tidak mahu, naqib mesti memaksa dirinya untuk membaca dan membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan usrah.

2. Yakin Dengan Perjuangan

Naqib mesti yakin dengan perjuangan Pas yang berteraskan Islam. Landasan ini akan dipegang samaada sewaktu kalah atau menang. Beliau mesti yakin inilah akidah perjuangan yang tidak pernah luntur daripada batang tubuh perjuangan Pas. Islam membawa rahmat kepada semua. Beliau tidak boleh menjadi orang yang musta'jilun ( gopoh) untuk cepat menang sehingga mengenepikan soal prinsip perjuangan. Keyakinan ini yang ditanam di dalam diri ahli usrahnya.

3.Pernah Ikut Tarbiah

Hendak menjadi naqib usrah ia perlu juga mengikuti usrah baru ia boleh membawa usrah. Jika beliau tidak memahami usrah bagaimana beliau hendak membawa usrah kepada ahli usrah. Usrah mempunyai seni yang tersendiri, ia bukan ceramah umum, ia bukan kuliah maghrib. Tetapi ia adalah majlis meyakinkan fikrah perjuangan, membina peribadi ahli Pas, dan meniupkan semangat perjuangan. Lebih banyak muhasabah diri dan muhasabah dalaman, kurang mengkritik orang lain. Naqib yang biasa mengikuti program usrah sahaja yang mampu membawa usrah. Barulah akan lahir satu natijah kemanisan berusrah di kalangan ahli usrah. Program usrah dinanti-nanti kerana ia majlis yang menyeronokkan, bukan yang membosankan. Kenapa majlis usrah seronok? Jawabnya kerana naqib berpengalaman dan naqib berpengalaman di dalam usrah.

4.Suri Teladan Yang Baik

Naqib akan menjadi qudwah hasanah kepada anak buahnya. Izzahnya mesti dijaga di pandangan mata ahli. Jangan hilang thiqah ahli kepada naqib, apabila mereka melihat akhlak naqib tidak menepati piawai seorang yang berakhlak mulia. Naqib mesti bercakap serupa dengan perbuatan. Istilah, lihat apa yang saya cakap, bukan siapa yang bercakap tidak boleh digunakan oleh seorang naqib kepada ahli usrah. Peribadi naqib, isteri naqib, anak naqib, keluarga naqib semuanya menjadi perhatian di kalangan ahli usrah. Kesan yang mendalam akan dirasai oleh ahli usrah apabila memerhati peribadi naqib yang membuat apa yang dia cakap. Jika naqib sendiri tidak berjihad, macam mana ahli usrah hendak berjihad. Jika naqib kedekut macam mana ahli usrah hendak bersifat pemurah. Jika anak isterinya sendiri tidak terlibat dengan Pas macam mana orang lain bersemangat dengan Pas. Jika ahli keluarga naqib tidak menutup aurat macam mana anak buah hendak hormat dengan naqib. Semuanya tepat sepert kata-kata hukama' "Lisanul Hal lebih berkesan daripada kata-kata". Ahli psikollogi berkata manusia lebih senang memahami bahasa mata daripada bahasa lidah.

5. Mesti Terlibat Dengan Pas

Usrah bukan hanya memindah ilmu kepada pendengarnya, tetapi ia hendak membina fikrah ahli dan pembinaan parti. Macam mana naqib hendak membina parti jika beliau sendiri tidak melibatkan diri dengn Pas. Beliau sendiri tidak memahami struktur perjalanan parti. Jika ini berlaku untuk jangka panjang ia akan bertentangan dengan fikrah perjuangan parti. Lama kelamaan ia akan mewujudkan jamaah dalam jamaah. Naqib akan membawa fikrah peribadi, bukan fikrah jamaah. Segala keputusan parti tidak selari dengan apa yang beliau sampaikan dalam usrah. Misalnya dia tidak memahami Tahaluf Siasi yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura, tetapi beliau membuat pendekatan yang tersendiri, akhirnya menimbulkan masalah kepada parti.

6. Kesungguhan

Pepatah Arab bermaksud "Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat ". Kunci kejayaan segala amalan ialah sifat kesungguhan di kalangan naqib. Tanpa kesungguhan, usrah tidak akan berjaya. Biasalah, kadang-kadang kita sebagai naqib datang anak buah tidak datang. Kerana usrah di dalam Pas perlu ada kesungguhan. Tempatnya jauh, pendalaman terutama ahli Pas di kampung-kampung. Orang yang mempunyai kesungguhan sahaja yang boleh melaksanakan usrah.

7. Sabar

Di dalam perjuangan perlu kesabaran, begitu juga sebagai naqib perlu ada kesabaran. Bukan senang untuk memahamkan akidah perjuangan kepada ahli usrah. Penekanan kepada ahli usrah mengenai akidah perjuangan perlu kepada kesabaran. Penekanan diberi kepada ahli usrah ialah perkara sam'iyat, dosa dan pahala bukan perkara yang dapat dilihat. Perlu ada kesabaran untuk meyakinkan ahli usrah.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Ahad, 9 Mac 2014

Satu Usrah Satu Cawangan


Idris Hj Ahmad
6/3/14

Usrah merupakan satu nizam yang penting di dalam tarbiah Pas. Selain daripada usrah, ialah tamrin, liqa' al-Fikri, Majlis Ilmu, Daurah Tadribiah, Nadwah, Rehlah, Mukhayam, Qiamullail, Riadah. Kesemua program ini mesti digarap oleh semua ahli Pas supaya tidaklah mereka menyertai Pas hanya dari segi isi borang sahaja, sedangkan pemikiran dan tingkah laku tidak berubah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah apabila menjadi ahli Pas, dia perlu berubah dalam semua perkara, walau pun memakan masa yang lama.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Usrah mesti diwujudkan di dalam setiap cawangan untuk memastikan Pas dapat memenuhi ciri-ciri Gerakan Islam dan Gerakan Politik. Ini adalah satu kelainan dengan jamaah lain kerana Pas juga merupakan gerakan politik, dua perkara ini mesti diseimbangkan.

Setiap cawangan Pas mesti menjalankan aktiviti Usrah, ia boleh dilakukan rumah ahli Pas secara bergilir. Buat permulaan laksanakan sebulan sekali. Kenapa buat di rumah ahli tidak di markaz?. Jawapannya supaya program usrah dan ziarah boleh disekalikan. Maklumlah semua di kalangan ahli Pas sentiasa sibuk, tidak ada masa untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain. Apabila usrah dibuat di rumah setiap ahli, maka secara tidak langsung program ziarah berjalan secara serentak. Tujuannya supaya kita dapat memerhati suasana rumah ahli Pas. Kadang-kadang ahli Pas yang kita temui di markaz tidak sama dengan hakikat yang sebenar. Ada di kalangan ahli Pas yang cukup dhaif, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang kental. Wajahnya tidak menunjukkan beliau seorang yang susah, sentiasa ceria dalam hidup. Tidak pernah ponteng program parti. Tidak pernah mengeluh apabila di beri arahana. Dengan kehadiran ahli Pas ke rumahnya, terutama pemimpin, wakil rakyat Pas, secara tidak langsung akan menyentuh kalbu kita apabila melihat rumah ahli Pas yang dhaif tetapi istiqamah di dalam perjuangan.

Kebaikan usrah buat di rumah, kita juga dapat memerhatikan rumah tangga ahli Pas, samaada menepati dengan rumah tangga Islam atau tidak. Kita boleh perhatikan anak isterinya menutup aurat atu tidak. Setengahnya kita berjumpa di luar rumah lain dengan keadaan beliau berada di rumah. Kita mungkin terkejut apabila melihat isteri dan anaknya tidak menutup aurat, sedangkan suaminya berjubah dan berserban. Semuanya tidak akan kita ketahui melainkan apabila kita ziarah rumah sahabat secawangan.

Perlu kita sedar bahawa kekuatan Pas terletak di cawangan, bukan di kawasan, negeri atau pusat. Hebat macam mana sekali pun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak ada makna, jika di peringkat akar umbinya lemah. Dua Tuan Guru tidak tahu secara ditil kekuatan atau kelemahan Pas, begitu juga kekuatan atau kelemahan parti lawan. Maklumat ini hanya boleh disampai oleh cawangan kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan tertinggi tidak boleh merancang strategi jika tidak mempunyai maklumat yang disampai oleh ahli peringkat cawangan. Apabila usrah berjalan di peringkat cawangan maklumat ini senang diperolehi, contohnya cula setiap lokaliti hanya akan diketahui oleh ahli cawangan.

Kita boleh lihat cawangan yang aktif mengadakan usrah, ahlinya hidup damai dan bersatu padu. Masalah dalaman dapat dikurangkan, kerana sering bertemu. Anasir-anasir yang tidak baik untuk meruntuhkan jamaah dapat dihindarkan. Motivasi ahlinya tinggi kerana sering diberi semangat di dalam usrah. Inilah sebenarnya matlamat usrah, selain daripada membina peribadi dan fikrah. Menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri. Biasalah, manusia yang hidup di dalam kelalaian mesti hidup di dalam suasana nasihat menasihati antara satu sama lain, maka usrah adalah salah satu caranya.

Saya yakin apabila usrah berjalan di peringkat cawangan, masalah kewangan akan dapat diatasi. Idea supaya setiap ahli Pas infaq setiap bulan seorang seringgit masih belum menjadi kenyataan. Kalau projek ini berjalan maka Pas akan dapat mengumpul hampir satu juta sebulan. Kenapa? Jawapannya ialah bagaimana mekanisme hendak dibuat. Jika hendak buat arahan potongan secara bulanan melalui bank agak tidak praktikal, kerana kos pengurusan tinggi. Lebih-lebih lagi bukan semua ahli Pas mempunyai akaun bank. Sudah tentulah usrah merupakan salah satu caranya.

Sebenarnya ahli Pas bukan kedekut hendak memberi kepada Pas. Kalau kedekut maka sudah pasti tidak ada markaz yang didirikan oleh ahli Pas dengan wang sendiri. Cuma mekanismanya yang tidak ada untuk pungut. Jika hendak suruh bendahari pergi memungut ke setiap rumah juga tidak praktikal. Kadang- kadang bendahari pergi ke rumah ahli, tetapi ahli tidak ada di rumah. Tetapi jika usrah berjalan, insyaAllah perkara ini dapat diatasi. Setiap ahli Pas akan bawa wang sewaktu mereka hadir ke usrah dan diberi kepada bendahari cawangan. Jika mereka terlupa mereka akan gandakan untuk bulan berikutnya. Jika usrah berjalan, idea untuk memungut sejuta sebulan menjadi kenyataan dengan setiap ahli infaq satu ringgit sebulan.

Lajnah ekonomi juga dapat menambahkan pendapatan cawangan. Contohnya setiap ahli diwajibkan membeli satu tiub ubat gigi dan satu kotak sabun basuh Hilal setiap bulan. Ini adalah barang keperluan yang mesti diguna oleh setiap ahli Pas. Jika hasil jualan dua barang ini memberi keuntungan seringgit, maka berapa banyak wang tabung cawangan akan diperolehi. Diandaikan ada 30 orang ahli Pas, maka cawangan akan memperolehi RM30 sebulan, setahun RM360, lima tahun RM1800. Apabila pilihanraya tidak timbul lagi masalah kewangan di setiap lokaliti dan Unit Peti Undi. Jom buat usrah sekarang.

Jika usrah berjalan soal menambah ahli akan dapat dilakukan. Misalnya setiap ahli Pas diarahkan mencari setahun seorang ahli baru. Ertinya setiap bulan sebelum memulakan usrah, naqib akan meminta borang keahlian daripada siapa yang membawa. Bulan hadapan akan diminta lagi. Secara tidak langsung ahli Pas akan berlumba-lumba untuk mencari ahli baru sebagaimana diarahkan oleh naqib. Begitu juga dengan daftar pemilih. Naqib akan pastikan nama anak-anak ahli yang cukup umur 21 tahun akan dimonitor di dalam usrah supaya mereka mendaftar anak dengan SPR.

Paling penting ialah kebajikan ahli akan terjamin. Perlu diingat politik orang kampung, politik masyarakat. Jika Pas boleh pastikan kenduri, sakit , meninggal mereka terbela maka mereka akan berani untuk mendekati Pas. Sebab itu kita lihat di tempat yang kuat Umno, Pas mendapat undi secara senyap kerana takut di pulau oleh Umno jika diketahui secara terang. InsyaAllah dengan usrah ada di cawangan soal kebajikan akan terpelihara. Apabila ada berita seorang ahli sakit, meninggal dan hendak buat kenduri terus dimaklum di dalam majlis usrah. Semua ahli akan mengambil perhatian dan tindakan untuk membantu. Inilah pentingnya usrah di dalam jamaah kita.

Timbul persoalan, bagaimana jika tidak ada naqib di dalam cawangan tersebut, atau naqib tidak datang apa yang perlu dilakukan?. Program usrah mesti diteruskan. Ketiadaan naqib jangan menjadi alasan untuk tidak ada usrah. Ahli boleh membaca Yasin, tahlil kemudian buat tazkirah. Bahan tazkirah boleh baca terus daripada penulisan Tuan Guru di dalam Harakah atau mana- mana buku yang difikir sesuai. Kemudian bincang program yang akan dilaksanakan di cawangan atau kawasan. Hebahkan kepada semua ahli jika ada majlis kenduri yang memerlukan pertolongan daripada ahli cawangan. Atau makluman mengenai ahli yang sakit untuk diziarahi samaada di hospital atau di rumah.

Makanan biarlah disediakan oleh cawangan, bukannya oleh tuan rumah. Pengalaman yang saya perhatikan usrah di cawangan mati, apabila tuan rumah tidak sanggup menyediakan jamuan. Tetapi apabila cawangan sendiri yang menyediakan jamuan, insyaAllah semuanya sanggup untuk menyediakan rumahnya sebagai tempat usrah. InsyaAllah jika usrah dijalankan di peringkat cawangan Pas akan kukuh samaada dari segi pembinaan fikrah, peribadi dan jamaah. Jom kita buat usrah di cawangan masing-masing. Setelah buat mesti ada kelainanya. Cuba dulu baru tahu.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Isnin, 24 Februari 2014

Perjuangan Pas Bukan Untuk  Taksub Individu.


Idris Hj Ahmad
20/2/14

Apabila Rasulullah wafat, Saidina Umar Alkhattab bangkit menyatakan dengan marah siapa yang kata baginda wafat maka akan dikenakan hukuman. Maka Saidina Abu Bakar Assidiq bangun dengan ungkapannya yang masyhur "Siapa yang menyembah Nabi Muhammad SAW sesungguhnya Nabi Muhammad sudah wafat, siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati". Ini dalil hendak menunjukkan bahawa ajaran  Islam mengajar penganutnya hanya menyembah Allah tuhan yang esa bukannya menyembah makhluk. Ajaran baginda SAW hanya menyeru manusia menyembah Allah, bukan menyembah baginda. Baginda sebagai manusia biasa, cuma baginda mempunyai sifat maksum dan dianugerahkan wahyu oleh Allah SWT.

Maka asas inilah juga Pas sebagai sebuah Jamaah  Islam yang bergerak dijaluran dakwah dan politik,  menyeru manusia supaya kenal Allah dan mengabdikan sepenuhnya kepada Allah bukan kepada manusia. Pas bertugas menyeru manusia supaya menghayati Islam sepenuhnya. Pas tidak ajak manusia supaya taksub kepada mana-mana individu di dalam parti. Ketaatan kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah dan Rasul. Mereka akan keseorangan dan menjadi kera sumbang apabila mereka meninggal dan mengkianat parti. Ahli Pas hanya wala' kepada mereka apabila pemimpin wala' dengan Allah dan Rasul.

Firman Allah SWT bermaksud
"sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' ( tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya ( maka percayalah dia), kerana sesungguhnya golongan ( yang berpegang kepada agama) Allah, utulah yang tetap menang". ( Al-Maidah 55-56).

Sebab itu Pas pernah kehilangan Yang Dipertua Pas pertama Ustaz Haji Ahmad Fuad, apabila beliau mengikut Dato' Onn Jaafar. Pas tetap bergerak dipaksi perjuangannya. Bekas Setiausaha Agung Pas Ustaz Osman Abdullah keluar parti untuk menyertai Umno, beliau pernah manjadi ahli Parlimen Tanah Merah pada tahun 1959. Seorang yang hebat dan petah berpidato. Pernah mendapat didikan Parti Masyumi Indonesia yang dipimpin oleh Pak Mohd Nasir. Ustaz Osman juga pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat. Apabila beliau keluar parti tidak dapat mempengaruhi orang lain. Pas tetap utuh dan bergerak terus memacu perjuangannya tanpa memaling kekiri atau kanan. Pas pernah kehilangan Panglima Jihad Ustaz Hassan Adli, apabila beliau tidak bersama dengan keputusan pimpinan Pas yang membuat keputusan meletak jawatan dalam kabinet dan semua agensi kerajaan setelah Pas menentang Akta darurat di Kelantan pada tahun 1977.

 Pas juga pernah kehilangan Dato Asri Hj Muda bekas Yang Dipertua Pas Pusat. Seorang pidato yang mempunyai suara serak basah, dengan penggunaan bahasa sasterawan yang tinggi. Seorang yang diasuh sebagai pejuang kemerdekaan bersama dengan hizbul Muslimin, akhirnya mengakhiri hidupnya dengan Umno. Sebuah parti yang ditentang sejak beliau remaja. Kehebatan beliau ketika memimpin Pas, sehingga orang menganggap bahwa Pas akan mati tanpa Asri. Sehingga musuh-musuh Pas menamakan Pas ialah "Parti Asri Sekeluarga".Namun apabila ketiadaan beliau Pas bangkit dengan gagah dengan wujudnya kepimpinan Ulama yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Selepas ketiadaan beliau, Pas bergerak maju selari dengan Gerakan Islam Seluruh dunia. Dahulunya Pas sebagai parti yang dianggotai majoritinya pak lebai kampung sekarang tanzim Pas wujud diseluruh dunia. Penyertaan dari kalangan cerdik pandai berbondong-bondong ke dalam Pas. Sebelum adanya kepimpinan Ulamak, perjuangan Pas tidak mempunyai watak dan syaksiah yang berbeza dengan Umno. Persoalan tarbiah tidak diberi keutamaan. Mungkin kerana tidak ada orang yang menggerakkanya secara sistematik.

Pas pernah ditinggal oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, tokoh pemikir Pas yang hebat. Beliau pernah menduduki kerusi Naib Presiden Pas dan Ahli majlis Syura Pas. Ustaz Nakhaei juga terkenal sebagai penulis yang hebat, banyak menulis buku-buku tarbiah. Penulisannya sentiasa hidup dan segar. Idea-idea beliau juga bernas dilontarkan ke dalam Pas. Hebat macam mana sekali pun, apabila beliau mengambil keputusan keluar parti sedikit pun tidak memberi kesan kepada Pas. Beliau hebat kerana bersama dengan Pas. Ahli Pas hanya akan ikut selagi ia berada bersama Pas. Jika beliau meninggalkan perjuangan, maka ibarat hidup sebatang kara.

Tan Sri Samad Idris bekas Menteri, pernah membayangkan
“Faktor fanatik kepada perjuangan Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan Pas, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Inilah bukti kejayaan tarbiah Pas. Ia tarbiah ahlinya supaya wala' kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Mereka ditarbiah, pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Mereka tidak akan ikut pemimpin yang meninggalkan parti. Mereka sudah diberi kefahaman awal supaya jangan taksub kepada pemimpin. Perjuangan yang menyeru supaya taksub kepada individu ia adalah satu penyelewingan dalam dakwah. Nabi Muhammad SAW tidak ajar pengikutnya supaya sembah  kepada baginda, sebaliknya baginda menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Posted via Blogaway

Ahad, 9 Februari 2014

Gembiranya Bersama Pas

Idris Hj Ahmad
6/2/14

Selain daripada nikmat Iman dan Islam yang merupakan anugerah Allah kepada hambanya, maka nikmat berjamaah adalah yang ketiga. Banyak manusia leka dan lalai tidak sedar bahawa berjamaah juga merupakan tuntutan di dalam Islam. Bukan semua orang dapat menikmati kelazatan berjamaah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud " Wajib atas kamu berjamaah" Maksud hadis yang lain " Berjamaah itu rahmat, berpecah merupakan musibah"

Gembiranya bersama Pas kerana dasar yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas, perkara 3 Dasar Pas ialah Islam. Dasar yang tidak pernah dimamah usia, sentiasa relevan dalam semua keadaan, samaada waktu senang atau waktu susah, waktu menang atau waktu kalah. Dasar inilah yang menyebabkan Pas sentiasa segar di dalam mana- mana keadaan. Dasar ini menyebabkan pendokongnya merasa perlu beramal dengan Islam dalam semua keadaan. Mungkin sebelum menyertai Pas, peribadinya tidak berapa elok dari segi penghayatan Islam. Keadaanya sudah berubah apabila ia bersama dengan Pas. Perasaan malu datang dengan sendiri kerana panji yang dia pegang ialah Islam. Jika sebelumnya aurat tidak terjaga apabila bersama dengan Pas, secara automatik ia merasa malu jika masih mendedahkan aurat. Berapa ramai di kalangan pimpinan dan ahli Pas telah berhenti merokok. Walau pun mereka ini berada ditahap perokok yang tegar. Mereka berhenti merokok bukan kerana kesihatan, tetapi kerana merasa malu jika masih merokok. Jika ada masih merokok mereka akan menyorok, ertinya tidak merokok di hadapan orang ramai.

Bersama Pas masa tidak terbuang dan sentiasa terisi dengan program yang bermanfaat. Perkara ini amat terasa, terutama bagi mereka yang pernah berada di dua zaman. Satu semasa sebelum bersama Pas, kedua selepas daripada menyertai Pas. Ertinya tidak ada kerehatan. Jika mereka yang bekerja di siang hari, malam ke kuliah di surau kemudian ke program parti . Sehingga ada yang menjawab kita akan berehat di syurga nanti, itulah kerehatan yang sebenar bagi seorang hamba sebagai mana yang pernah dinyatakan oleh Imam Shafie. Maklumlah hari cuti am merupakan hari Pas. Sentiasa ruang dan masa disi dengan program yang membangunkan masyarakat. Malahan dianggap oleh ahli Pas sebagai satu hiburan hati dan satu kepuasan apabila dapat menyumbang kepada perjuangan Pas. Mereka gelisah dan tidak tenang hati jika tidak ada program. Inilah nikmat berjuang.

Bersama dengan Pas memberi ruang untuk mendekati ulamak muttaqin yang sentiasa berjihad di jalan Allah. Mereka tidak peduli keredaan manusia, yang dituntut ialah keredaan Allah. Mereka merupakan tonggak kejayaan Pas untuk menarik sokogan rakyat di peringkat akar umbi. Banyak ijtihad politik seperti tahaluf siasi tidak akan berjaya tanpa restu daripada ulamak. Ulamak cuba menggali khazanah ilmu di zaman silam dengan dipadankan dengan situasi semasa. Daripada sejarah awal penubuhan Pas mempunyai kaitan dengan institusi ulamak dan pondok. Tan Sri Sanusi Jonid bekas Setiausaha Agung Umno pernah mengungkapkan 3 P ( Padi, Pondok dan Pas). Walaupun pondok bukan dikendalikan oleh Pas secara ulangsung. Namun pengajian yang diajar mempunyai persamaan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas. Ulamak inilah yang banyak membantu Pas. Tokoh- tokoh ulama awal yang menggerakkan Pas di peringkat awal seperti Tuan Guru Haji Husin Rahimi Bunut Payung, Tuan Guru Haji Abd Ghani Kubang Bemban Pasir Emas, Tuan Guru Haj Hashim Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Yahya Junid Padang Lumat Kedah, Tuan Guru Pak Man Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena Seberang Perai, Tuan Guru Abd Samad Noh Padang Rengas dan lain-lain lagi. Umno cuba untuk menaja ulamak supaya menyertai mereka, setakat hari ini masih gagal. Ulamak yang muttaqin tidak boleh berlakon dan berpura-pura di dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh terima perjuangan Umno kerana kontra dengan ilmu yang mereka pelajari. Tambahan pula dari segi rekod, Umno hanya menggunakan ulamak ketika berhajat untuk melawan Pas, selepas itu mereka akan ditinggal begitu sahaja seperti habis madu sepah dibuang. Di dalam Pas jika ada ulamak yang mempunyai agenda peribadi bukan agenda ummah, secara automatik mereka akan terpelanting daripada saf kepimpinan.

Bersama Pas akan melebarkan kenalan di serata dunia. Dalam erti kata yang lain, penyokong Pas akan berada di semua tempat, di mana ada bulan di situ ada orang Pas. Pas menitik berat soal ukhwah, yang menjadi agenda penting di dalam tarbiah Pas. Ukhwah yang merentasi sempadan dan daerah memberi keseronokan kepada kita yang bersama dengan Pas ketika senang atau susah. Pengalaman penulis sendiri, sewaktu penulis diarahkan bertukar daripada Intitut Teknogi Mara ( sekarang UITM) Shah Alam ke Melaka pada awal 1990. Ketika itu saya tidak mempunyai saudara mara yang terdekat untuk uruskan soal rumah dan kemudahan-kemudahan lain. Tetapi alhamdulillah berkat bersama Pas perkara ini begitu mudah diselesaikan dengan bantuan sahabat-sahabat Pas Melaka. Begitulah juga menjadi kelaziman sebagai penceramah yang menjelajah ke seluruh pelusuk kampung, kadang-kadang kenderaan buat hal di tengah jalan.Maka ketika inilah bantuan sahabat Pas yang berdekatan akan membantu. Memang terasa nikmat bersama dengan Pas, walaupun kadang-kadang memenatkan, namun inilah kemanisan perjuangan yang tidak dirasai oleh orang lain. Kemanisan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan harta. Jika hendak merasai nikmat maka marilah bersama dengan Pas.


Posted via Blogaway

Ahad, 19 Januari 2014

Ahli Pas Mesti Menjadi Pendakwah

Idris Hj Ahmad
17/1/14

Islam berkembang dengan dakwah. Tanpa dakwah Islam tidak sampai  ke negara kita. Kita tidak tahu apa  anutan agama kita pada masa ini. Besarnya jasa pendakwah yang telah mengharungi  lautan dan ombak yang bergelora semata-mata untuk menyampaikan risalah dakwah. Bayangkan sewaktu itu tidak mempunyai pengangkutan seperti hari ini. Namun atas arahan agama mereka sanggup sampai ke negara kita dan juga ke negara lain.

Sekarang Nabi dan Rasul tidak lagi diutuskan kepada manusia. Tetapi urusan manusia terus berjalan di atas muka bumi Allah SWT. Urusan manusia ada yang salah dan ada yang betul. Di sinilah perlunya dakwah sesama manusia.

Oleh yang demikian ahli Pas mesti menjadi duat ila Llah kerana ia adalah satu kewajipan yang tidak boleh dielakkan. Sabda Rasulullah SAW " Hendaklah kamu sampaikan ajaran aku walaupun satu ayat".

Ertinya disini tidak perlu untuk menjadi alim baru hendak memulakan dakwah. Jangan tunggu alim baru hendak berdakwah, sebaliknya berdakwahlah sehingga anda menjadi alim. Ertinya bermula dengan sedikit pengetahuan,lama kelamaan ia menjadi alim.

Ahli Pas mesti berdakwah sekadar kemampuan. Mewujudkan dakwah harakiah ialah dakwah yang berhubung kait dengan sekeliling dan masalah harian.

Mulakan lamgkah dengan ahli keluarga kita dahulu. Sebagaimana perintah Allah kepada Nabi kita Muhammad SAW "berikan inzar kepada ahli keluarga kamu yang terdekat"

Nabi SAW mengajak isterinya Siti Khadijah Binti Khuwailid, Saidina Ali yang dipelihara oleh nabi Muhammad SAW. Ertinya merekalah orang yang paling awal baginda seru untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mulakan dengan keluarga dahulu. Nanti orang ramai akan kata, kuman di seberang laut kamu nampak, gajah di hadapan mata kamu tidak nampak. Soal samaada mereka mahu menerima atau tolak, ini bukan perhitungan. Apa yang penting ialah usaha untuk berdakwah. Baginda tidak jemu- jemu di dalam menyampaikan seruan kepada ahli keluarganya. Baginda mengambil kesempatan ketika orang ramai ada untuk memberi penerangan. Tidak ada lorong di Makkah yang baginda tidak masuk untuk memberi tahu kepada orang ramai, terutama sewaktu orang Arab datang mengerjakan haji pada ketika itu. Baginda membuat kenduri, apabila orang ramai hadir baginda memperkenalkan Islam kepada hadirin.

Berikan kefahaman kepada anak isteri mengenai Islam dan penghayatannya. Galakkan mereka menuntut ilmu tanpa jemu. Suburkan ahli keluarga dengan budaya ilmu. Mempunyai perpustakaan peribadi di dalam rumah, sebagai langkah menggalak budaya membaca. Dakwah berkembang demgan ilmu dan  kefahaman. Tanpa kefahaman ia cepat luntur dan pudar.

Menggalak ahli keluarga hadir ke program ilmu di masjid, surau dan markaz. Di sinilah tumbuh kesedaran untuk berjuang dan bekorban. Kita tidak berjaya di dalam dakwah, jika anak isteri tidak bersama mendokong perjuangan suci ini. Cabaran yang paling besar kepada seorang pendakwah ialah cabaran yang datang daripada ahli keluarga sendiri. Jika ujian ini lulus maka ia boleh maju ke hadapan untuk membawa panji agama Allah. Pendakwah boleh berhadapan dengan musuh di luar kerana ia hanya pada waktu- waktu tertentu. Sedangkan ahli keluarga berlaku sepanjang waktu.

Berdakwah bukan satu perkara yang sukar, jika kita faham apa skop dan tanggungjawab sebagai ahli Pas. Apa yang penting kerja ini boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak orang silap faham menganggap bahawa hendak menjadi pendakwah mesti pandai berpidato dan petah bercakap. Ini satu tanggapan yang silap. Mereka boleh bekerjai di medan yang cukup luas. Mesti meletakkan diri di posisi yang mampu mereka lakukan. Mereka yang berkeahlian  dalam  bidang IT  perlu manfaatkan kemudahan yang sedia ada. Jangan biarkan kemudahan ini tidak diisi oleh aktivis Pas. Sebenarnya ruang ini hanya memerlukan komputer untuk melaksanakan dakwah. Gunakanlah ia sebagai medium untuk menerangkan Islam dan dasar perjuangan kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk bersemuka dengan kita tetapi boleh bertemu di alam maya. Amat beruntung siapa yang dapat kuasai teknologi maklumat pada masa kini.

Salah satu cara lagi cara untuk berdakwah yang tidak perlu ungkapan dan kata- kata, cuma perlu tenaga sahaja. Iaitu boleh letak akhbar Harakah yang sudah dibaca di kedai kopi. Atau pun edarkan keratan akhbar kepada orang ramai, jika ada artikel- artikel yang baik.

Mungkin kita tidak pandai bercakap, tetapi kita boleh panggil orang bercakap. Ini juga merupakan satu usaha dakwah. Sabda Rasulullah SAW  bermaksud "Siapa yang menunjuk jalan kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan". Jelas kepada kita, dakwah bukan sahaja untuk orang yang petah bercakap, tetapi ia adalah tugas untuk semua. Jika semua ahli Pas berperanan di dalam berbagai medan maka fajar Islam cepat kelihatan.

Isnin, 6 Januari 2014

Tanggungjawab Pas Kepada Ahlinya

Oleh : Ustaz Idris Hj Ahmad

Kewujudan Pas sebagai sebuah Harakah Islamiah dan Siasah mempunyai matlamat yang jelas seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas. Perjuangannya menuntut kepada semua pendokong memahami perjuangan yang dibawa. Pas tidak mahu ahli yang tidak faham erti perjuangan Pas. Pas bukan parti untuk orang menumpang dan berehat di R&R di lebuh raya, setelah hajat ditunai maka ia cabut lari. Ia bukan platform sementara untuk mencari matlamat duniawi tetapi ia adalah jamaah yang mesti mempunyai ahli dan pimpinannya faham erti mereka berintima' dengan perjuangan Pas. Kita tidak mahu ahli yang tidak faham, sebab apa mereka bersama dengan perjuangan Pas. Allah marah jika bersikap demikian. Firman Allah SWT " Jangan kamu berpendirian pada perkara yang kamu tidak ketahui".

Pas sebagai jamaah Islam mempunyai malamat untuk Membentuk Peribadi Muslim. Ini adalah asas yang perlu ada kepada ahli Pas. Menjadi tugas Pas mendidik ahli supaya mempunyai peribadi Muslim yang unggul. Kerana ini adalah asas kepada Gerakan Islam. Mengambil manhaj yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat pada peringkat permulaan dakwah baginda di rumah al Arqam bin Abi Arqam. Penekanan kepada kefahaman akidah yang benar, menjadi tunjang kepada manhaj tarbiah. Apa makna perjuangan jika tidak ada kefahaman akidah yang benar. Penilaian amal bermula daripada akidah yang benar.Akidah sebagai penggerak utama dalam segala perkara. Keyakinan untuk menentang kezaliman kerana akidah yang merupa tuntutan agama. Perjuangan tidak boleh berpaksi kepada kebendaan terlebih dahulu. Benda datang kemudian, jika benda yang didahulukan sampai bila kita tidak boleh berjuang. Mana ada sejarah Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah dan perjuangan bila kaya. Kekayaan dan kebendaan datang kemudian apabila kemantapan akidah dan keyakinan perjuangan telah dilaksanakan. Ada orang berpandangan biar kaya baru hendak berjuang. Kalau kaya, akidah tidak mantap tetap tidak berjuang juga kerana takut hendak tinggal kekayaan, akhirnya bertemu Allah dalam keadaan tidak berjuang.

Pas mesti memastikan ahlinya mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi dan unggul. Biarlah ketika ahli Pas berada di mana-mana tempat, kehadiran mereka dirasai dan kehilangan mereka dikenang. Kita mahu ahli Pas ketika berada dengan orang ramai, seolah-olah mereka ialah individu yang berjalan menaiki bukit sedangkan orang lain berada di tanah rata. Ertinya akhlak mereka dikagumi dan diikuti kerana ada kelainan. Ahli Pas ketika bekerja di mana- mana sektor samaada awam atau swasta mesti menunjukkan profesional mereka sebagai penjawat yang baik. Selesaikan tugas dan amanah dengan baik. Jangan curi tulang. Jangan biarkan fail bertimbun di atas meja, sehingga menjejaskan kepentingan orang ramai yang berurusan dengan kita. Walaupun mereka tidak melilit bendera di kepala, tetapi tingkah laku mereka boleh diperhati dan dinilai oleh orang lain.

Pas kena mendidik ahlinya supaya jangan bersikap adu domba dan menyebarkan fitnah sesama ahli. Mereka jangan berlakon menjadi ahli Pas, tetapi tidak berakhlak sebagai mana tuntutan seorang ahli. Kita sebagai ahli Pas kena awas jika ada yang mengaku ahli Pas, tetapi mengadu domba di dalam jamaah. Mereka ini kita kena hazar, mungkin ini adalah talibarut yang hendak musnah daripada dalam. Jika ahli Pas yang tulin mereka tidak tergamak berkelakuan demikian rupa.

Pas mesti mendidik ahlinya memelihara aurat dan pergaulan sesama sendiri. Memakai pakaian yang menurut syariat bukan adat adalah asas utama yang mesti diberi keutamaan. Perkara ini tidak perlu tunggu ada negara Islam. Tidak perlu tunggu hukum hudud, kerana ia menjadi tanggungjawab kepada semua ahli walaupun kita tidak ada negara. Pakaian ialah cermin keperibadian seorang, di dalam hati Allah SWT sahaja yang tahu. Kita tidak boleh biarkan ahli Pas melakukan dosa sepanjang ia mendedahkan aurat apabila berhadapan dengan bukan mahramnya. Lebih malang lagi kita telah melakukan dosa kering, kerana membiarkan orang lain turut berdosa kerana memerhati aurat kita. Biarlah pakaian menjadi "lisanul hal" kepada orang ramai untuk medekati perjuangan Pas. Biarlah pakaian menjadi pembeza antara ahli Pas dengan orang lain. Jika pakaian ahli Pas tidak menepati syarak macama mana orang lain mahu mendekati Pas. Mereka akan mendakwa jika perkara mudah seperti ini pun orang Pas gagal laksanakan, macam mana perkara yang lebih besar hendak diharapkan.

Pas mesti mendidik ahlinya bersikap benar di dalam urusan hidup mereka. Jangan sama sekali menipu di dalam muamalat. Mesti jujur di dalam berurusan. Tidak boleh kita membiarkan diri memungkiri janji dengan orang ramai. Akhlak ini menjadi tinjauan orang ramai kepada kita. Sekiranya perlakuan ini dilakukan ia akan tersebar keburukan aklak ahli Pas kepada orang ramai. Akhirnya, Pas jua yang terpalit. Ingatlah Sabda Rasulullah SAW bermaksud
"Bercakap benar itu akan membawa kepada kebaikan dan bahawasanya kebaikan itu membawa kepada syurga, bahawa seorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang ang benar, dan bahawa pembohongan itu membawa kepada kecelakaan dan kecelakaan ini membawa ke dalam api neraka, seorang itu sentiasa berbohong, sehingga ditulis di sisi Allah sebagai pembohong"

Pas mesti mendidik ahlinya untuk menjauhkan diri daripada beramal dengan amalan ribawi. Tidak sepatutnya kita sebagai anggota Harakah Islamiah yang membawa cita-cita suci di negara ini terlibat dengan amalan riba. Sekarang tidak boleh menjadi alasan kepada kita untuk mengelak daripada terlibat dengan muamalat riba. Wajib kita berurusan dengan bank yang melaksanakan perbankan Islam dan takaful. Ahli dan pimpinan Pas wajib membeli kereta, motor menggunakan sistem perbankan Islam. Wajib mengambil takaful dalam semua urusan kereta bermotor. InsyaAllah di sana ada keberkatan hidup jika kita mengamalkan muamalat selaras dengan Islam.

Allah telah menyebut di dalam al-Quran
"Allah menghapuskan keberkatan riba dan memelihara sedekah"

Amat tidak molek jika sebagai pejuang Islam bergelumang dengan amalan riba. Sebenarnya untuk membentuk peribadi Muslim ahli Pas tidak perlu menunggu adanya negara. Cukuplah perkara ini mesti diamalkan dahulu, sebelum kita mendapat negara. Sebagaimana yang pernah disebut oleh Hasan Hudhaibi pemimpin Ikhwan Muslmin"Tegakkan Islam di dalam diri kamu, sebelum kamu tegakkan Islam di negara kamu"


Posted via Blogaway

Sabtu, 4 Januari 2014

TARBIYAH DAN PAS

Oleh : Us Idris Ahmad

‪#‎Tarbiyah‬ merupakan kekuatan PAS.

Unsur kekuatan tarbiah:

# DASAR
* Dasar PAS ialah Islam. sentiasa subur mengikut waktu.
* Bab agama, akhirat dan ketuhanan tidak akan lapuk ditelan zaman.
* PAS mahu mengajak semua untuk fanatik dan taassub kepada Islam spya menjadi pegangan yg kuat.
* Semata-mata untuk melihat masyarakat faham Islam.
* Perlu faham perlembagaan PAS dahulu dan perlu diusrahkan supaya tidak lari dari dasar.
* Kita duduk dalam PAS sebab PAS bawa Islam.
* Faham bab aqidah untuk memeruskan perjuangan PAS.
* PAS didik ahli untuk faham Islam bukan faktor individu.
* Kita lawan UMNO dengan sebab dasar.

‪#‎MANHAJ‬
* Menentukan hala tuju fikrah ahli menuju wehdatul fikr wa wehdatul amal supaya ikut Al Quran dan Hadis.
* Selalu berjumpa dengan sahabat sefikrah untuk murnikan fikrah sesama kita.
* Tegur dan bertanya kepada pimpinan, ikut saluran parti.

‪#‎KEPIMPINAN‬
* Jemaah yang berjaya bila pimpinannya suka dan seronok dengan program tarbiyah.
* Pemimpin yang suka tarbiyah akan mendapat pendukung yang kuat dan cekal.
* Kepimpinan yang berkesan bila pemimpinnya cakna soal tarbiyah.

‪#‎MURABBI‬
* Murabbi yang sentiasa mendampingi anak buah.
* Perlu merai dan mudah untuk ditemui dan berbincang.
* Mesti tunjuk suri teladan yang baik.
* Para sahabat bersemangat bila melihat Rasulullah.

‪#‎PERSEKITARAN‬
* Biah solehah pemangkin tarbiyah yang berkesan.
* Terapkan suasana perjuangan dalam rumah.
* Berkawan dengan kawan yang suka tarbiah.

‪#‎MESTI‬ SANGKA BAIK DENGAN ALLAH
* Kerja kita Allah akan bantu walau kalah atau rebah.
* Uslub dakwah kena jaga dan bersabar dengan mad’u yang lama dalam UMNO.
* Hidayah milik Allah dan kita hanya mampu berusaha.

‪#‎UKHUWWAH‬
* Kita akan rasa seronok dalam jemaah bila kita kuatkan ukhuwah sesama ahli jemaah.
* Sahabat sesama jemaah mesti eratkan ukhuwah.
* Mesti kuatkan ukhuwwah bile bersama dengan orang UMNO untuk tunjukkan ukhuwah islam yg sebenar.
* Jaga ukhuwah sentiasa.
* Kena bagi tumpuan kepada mereka yang lemah.

‪#‎TAAT‬
* Tidak akan berkesan jika tidak ada ketaatan.

‪#‎SABAR‬
*Kesan tidak boleh berkesan dalam masa singkat.
#‎KESUNGGUHAN‬
* Mesti ada kesungguhan untuk.menjalankan tugas tarbiyah.
* Bersungguh dalan.tarbiah, akan berjaya apa jua program.

# KEHENDAK SENDIRI
* Semua perkara mesti bermula dengan diri sendiri.
______________________________
* Tidak kira siapa pun masuk PAS,wajib untuk ikut prinsip PAS.
* PAS sebagai harakatul ummah, perlu beri ubat atau terbiyah kepada mereka yang berada di dalam PAS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...