KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Memaparkan catatan dengan label usrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label usrah. Papar semua catatan

Ahad, 27 April 2014

Matlamat Tarbiah Parti Islam Semalaysia


Oleh Hj. Idris Hj Ahmad
24/4/14

Sebagai sebuah jamaah Islam, tarbiah menjadi asas kepada perjuangan Pas. Inilah kelainan daripada parti politik yang lain. Walau pun luaran masyarakat lebih kenali Pas sebagai parti politik sahaja, sedangkan Pas merentasi perenggan parti politik di dalam perjuangannya. Hasilnya Pas mampu berada dipersada politik negara sehingga menjangkau usia 63 tahun. Dalam masa yang sama parti yang seangkatan dengannya telah berkubur dimamah usia.

1. Membina Peribadi Muslim

Orang yang menyertai Pas sudah pasti ia tahu sebab apa ia sertai Pas. Sudah tentu kerana dasar Pas ialah Islam. Menjadi tugas Pas untuk mentarbiah ahlinya supaya memahami Islam dan menghayati Islam. Sebelumnya mereka memahami Islam dalam konteks ritual sahaja, yakni hubungan dengan Allah semata-mata maka menjadi tanggungjawab kepada Pas memberi kefahaman Islam yang syumul. Islam yang merangkumi Din Wa Daulah. Tarbiah Pas mesti memastikan ahlinya menutup aurat mengikut syariat, bukan adat. Tarbiah Pas memastikan ahlinya bermuamalat dengan amalan Islam, menjauhkan amalan riba ketika membeli kenderaan, rumah dan sebagainya. Pas berusaha untuk memastikan setiap ahlinya me njadi Insan Rabbani, sebagai mana yang Allah telah jelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud,

"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta`ala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya." Al Imran:79)

Antara aspek tarbiah yang penting ialah membina akidah yang soheh. Tanpa perkara ini semua amalan dianggap sebagai lagha dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Sekiranya akidah rosak maka tidak ada nilai ibadah yang lain. Sebenarnya lonjakan yang menjadi motivasi untuk terus bekerja berpunca daripada kekuatan akidah yang sebenar. Sebab itu pemahaman akidah yang soheh menjadi perkara awal di dalam nizam tarbiah Pas. Kita tidak boleh cerita tahaluf siasi dahulu sebelum seorang itu memahami aspek akidah, jika tidak ia akan menjadi kecelaruan di dalam aspek tarbiah kita.

2. Membina Usrah Muslimah (Keluarga Islam)

Setelah membina fardu Muslim, tarbiah mesti menjurus kepada pembinaan keluarga Islam. Kerana ia adalah batu bata kepada pembinaan daulah Islamiah. Bagaimana kita hendak membina negara jika institusi keluarga rosak. Tarbiah keluarga, Ia bermula daripada pemilihan jodoh sehinggalah kepada kerukunan dalam rumah tangga. Ada orang yang hebat di dalam parti tetapi ia gagal mentarbiah ahli keluarganya sendiri, sehingga kehebatannya terlidung dan cacat di pandangan ahli dan juga orang ramai. Apabila keluarganya lemah dari segi penghayatan Islam orang akan memikirkan apa yang boleh diharap untuk membawa agenda yang lebih besar di dalam sebuah negara. Apabila beliau gagal membentuk qudwah yang baik di dalam rumah tangga beliau, bagaimana beliau hendak meyakinkan ahli yang lain kepada perjuangan Pas. Beliau sendiri gagal untuk hendak pastikan anak isteri bersama berjuang, bagaimana ia hendak mengajak anak isteri orang lain untuk turun berjuang.

3. Membina Masyarakat Muslim.

Manusia ialah makhluk bersosial dan berhajat antara satu sama lain. Mereka tidak boleh hidup bersendirian tanpa kawan dan berpasangan. Pas mentarbiah ahlinya supaya ahlinya sentiasa evergreen di dalam semua keadaan. Watak kita diperhati oleh kawan dan lawan. Tingkahlaku kita di dalam masyarakat sentiasa menjadi fokus kepada orang ramai. Biarlah kehadiran kita dinanti, pemergian kita diingati. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW "Jadilah kamu sebagai orang yang menarik perhatian di kalangan manusia". Kerana masyarakat merupakan medan sebenar untuk kita mengembangkan pengaruh dan fikrah perjuangan. Kita jangan menjadi pemusnah di dalam jamaah. Diharapkan tingkahlaku kita akan menjadi aset, bukan bebanan jamaah. Kita mahu masyarakat yang diduduki oleh ahli Pas memaparkan akhlak Islam yang menjadi contoh dan daya tarikan kepada orang awam yang menjadi mad'u kita. Biarlah sejuk mata memandang apabila orang luar masuk di kampung yang majoritinya orang Pas. Wanitanya tidak kira muda atau tua memakai pakaian yang menutup aurat. Suraunya hidup dengan solat berjamaah, masjidnya diimarah dengan majlis ilmu. Semangat gotong royong antara masyarakat, berusaha mencegah kemungkaran dan kebatilan. Walau pun daulah belum lagi tertegak, tetapi masyarakat telah berjaya mewujudkan biah solehah ( persekitaran yang baik) yang akan menjadi batu bata kepada kewujudan daulah Islamiah.

4. Membina Daulah Islamiah.

Walau pun bukan senang, usaha ke arah itu perlu dilakukan dengan baik dan teratur. Inilah matlamat tarbiah Pas yang terakhir. Pas mengambil pendekatan muwajahah silmiah iaitu melalui demokrasi. Platform inilah yang digunakan sejak 13 kali pilihanraya berlangsung di negara ini. Jatuh bangun Pas di pentas demokrasi memang hebat sehingga menjadi perhatian pengkaji sains politik tentang keunikan Pas. Walau pun berbagai tektik dan strategi untuk mematikan perjuangan Pas, namun semuanya gagal, malahan Pas tetap segar dan menarik sokongan orang ramai. Islam yang syumul tidak boleh ditegakkan jika tidak mempunyai daulah. Rasulullah SAW tidak akan berhijrah dan meninggalkan kampung halaman baginda di Makkah jika Islam yang baginda bawa ialah solat, puasa, zakat dan haji. Di Makkah baginda hanya boleh berdakwah, jika ada pelanggaran hukum baginda tidak boleh buat apa-apa. Kecantikan Islam hanya terdapat di dalam tulisan yang disusun indah di dalam maktabah sahaja. Ianya tidak boleh dipraktikkan sepenuhnya. Keadilan syariat Allah tidak dapat dibuktikan jika tidak ada daulah yang mendokongnya. Keadilan Islam tidak boleh dilihat dan dihayati di dalam krangka sekular. Malahan kadang-kadang menimbulkan fitnah kepada keindahan Islam.
Firman Allah yang bermaksud
"(Iaitu orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang munkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan". ( al-Haj, 22:41)

Ahad, 16 Mac 2014

Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber


Idris Haji Ahmad
13/3/14

Kejayaan satu usrah bergantung kepada kewibawaan naqib yang memenuhi ciri-ciri seorang naqib. Kegagalan usrah berpunca daripada naqib yang tidak memenuhi kriteria naqib. Naqib tidak boleh ditangkap muat begitu sahaja, walaupun dia seorang ustaz, belum tentu dia mampu meletakkan dirinya seorang naqib yang berjaya.

Ciri-Ciri Naqib

1. Berilmu.
Naqib mesti mempunyai ilmu, jika naqib kosong kepala macam mana beliau hendak menjelaskan kepada anak buah usrahnya. Sebagaimana pepatah Arab menyebut " Orang yang fakir macam mana beliau hendak memberi". Mereka yang ada ilmu akan menarik minat ahli usrahnya. Jika naqib tidak memiliki ilmu dan pengetahuan yang luas bagaimana ia hendak meyakinkan orang lain untuk memahami perjuangan. Naqib mesti bersedia untuk menimba pengetahuan tanpa jemu-jemu. Tidak ada istilah pencen untuk seorang naqib mendapat ilmu. Bukan sahaja mereka menguasai ilmu agama, malahan juga ilmu dunia, isu semasa dan isu-isu orgnisasi. Usrah sentiasa segar jika naqib memiliki mutiara-mutiara yang berharga untuk dibawa balik setelah menghadiri usrah. Mahu tidak mahu, naqib mesti memaksa dirinya untuk membaca dan membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan usrah.

2. Yakin Dengan Perjuangan

Naqib mesti yakin dengan perjuangan Pas yang berteraskan Islam. Landasan ini akan dipegang samaada sewaktu kalah atau menang. Beliau mesti yakin inilah akidah perjuangan yang tidak pernah luntur daripada batang tubuh perjuangan Pas. Islam membawa rahmat kepada semua. Beliau tidak boleh menjadi orang yang musta'jilun ( gopoh) untuk cepat menang sehingga mengenepikan soal prinsip perjuangan. Keyakinan ini yang ditanam di dalam diri ahli usrahnya.

3.Pernah Ikut Tarbiah

Hendak menjadi naqib usrah ia perlu juga mengikuti usrah baru ia boleh membawa usrah. Jika beliau tidak memahami usrah bagaimana beliau hendak membawa usrah kepada ahli usrah. Usrah mempunyai seni yang tersendiri, ia bukan ceramah umum, ia bukan kuliah maghrib. Tetapi ia adalah majlis meyakinkan fikrah perjuangan, membina peribadi ahli Pas, dan meniupkan semangat perjuangan. Lebih banyak muhasabah diri dan muhasabah dalaman, kurang mengkritik orang lain. Naqib yang biasa mengikuti program usrah sahaja yang mampu membawa usrah. Barulah akan lahir satu natijah kemanisan berusrah di kalangan ahli usrah. Program usrah dinanti-nanti kerana ia majlis yang menyeronokkan, bukan yang membosankan. Kenapa majlis usrah seronok? Jawabnya kerana naqib berpengalaman dan naqib berpengalaman di dalam usrah.

4.Suri Teladan Yang Baik

Naqib akan menjadi qudwah hasanah kepada anak buahnya. Izzahnya mesti dijaga di pandangan mata ahli. Jangan hilang thiqah ahli kepada naqib, apabila mereka melihat akhlak naqib tidak menepati piawai seorang yang berakhlak mulia. Naqib mesti bercakap serupa dengan perbuatan. Istilah, lihat apa yang saya cakap, bukan siapa yang bercakap tidak boleh digunakan oleh seorang naqib kepada ahli usrah. Peribadi naqib, isteri naqib, anak naqib, keluarga naqib semuanya menjadi perhatian di kalangan ahli usrah. Kesan yang mendalam akan dirasai oleh ahli usrah apabila memerhati peribadi naqib yang membuat apa yang dia cakap. Jika naqib sendiri tidak berjihad, macam mana ahli usrah hendak berjihad. Jika naqib kedekut macam mana ahli usrah hendak bersifat pemurah. Jika anak isterinya sendiri tidak terlibat dengan Pas macam mana orang lain bersemangat dengan Pas. Jika ahli keluarga naqib tidak menutup aurat macam mana anak buah hendak hormat dengan naqib. Semuanya tepat sepert kata-kata hukama' "Lisanul Hal lebih berkesan daripada kata-kata". Ahli psikollogi berkata manusia lebih senang memahami bahasa mata daripada bahasa lidah.

5. Mesti Terlibat Dengan Pas

Usrah bukan hanya memindah ilmu kepada pendengarnya, tetapi ia hendak membina fikrah ahli dan pembinaan parti. Macam mana naqib hendak membina parti jika beliau sendiri tidak melibatkan diri dengn Pas. Beliau sendiri tidak memahami struktur perjalanan parti. Jika ini berlaku untuk jangka panjang ia akan bertentangan dengan fikrah perjuangan parti. Lama kelamaan ia akan mewujudkan jamaah dalam jamaah. Naqib akan membawa fikrah peribadi, bukan fikrah jamaah. Segala keputusan parti tidak selari dengan apa yang beliau sampaikan dalam usrah. Misalnya dia tidak memahami Tahaluf Siasi yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura, tetapi beliau membuat pendekatan yang tersendiri, akhirnya menimbulkan masalah kepada parti.

6. Kesungguhan

Pepatah Arab bermaksud "Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat ". Kunci kejayaan segala amalan ialah sifat kesungguhan di kalangan naqib. Tanpa kesungguhan, usrah tidak akan berjaya. Biasalah, kadang-kadang kita sebagai naqib datang anak buah tidak datang. Kerana usrah di dalam Pas perlu ada kesungguhan. Tempatnya jauh, pendalaman terutama ahli Pas di kampung-kampung. Orang yang mempunyai kesungguhan sahaja yang boleh melaksanakan usrah.

7. Sabar

Di dalam perjuangan perlu kesabaran, begitu juga sebagai naqib perlu ada kesabaran. Bukan senang untuk memahamkan akidah perjuangan kepada ahli usrah. Penekanan kepada ahli usrah mengenai akidah perjuangan perlu kepada kesabaran. Penekanan diberi kepada ahli usrah ialah perkara sam'iyat, dosa dan pahala bukan perkara yang dapat dilihat. Perlu ada kesabaran untuk meyakinkan ahli usrah.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...