KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Rabu, 19 Mac 2014

PASTI Jengka 14 dalam Pembinaan

Pembinaan Pasti  Jengka 14, di bawah kawasan Kuala Krau  insyaAllah awal tahun depan sesi kelas akan bermula..doakan..

Sebarang sumbangan untuk pembangunan PASTI boleh diberikan melalui akaun Tabung Kebajikan Pemuda Prihatin PAS Kawasan Kuala Krau


Posted via Blogaway

Ahad, 16 Mac 2014

Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber


Idris Haji Ahmad
13/3/14

Kejayaan satu usrah bergantung kepada kewibawaan naqib yang memenuhi ciri-ciri seorang naqib. Kegagalan usrah berpunca daripada naqib yang tidak memenuhi kriteria naqib. Naqib tidak boleh ditangkap muat begitu sahaja, walaupun dia seorang ustaz, belum tentu dia mampu meletakkan dirinya seorang naqib yang berjaya.

Ciri-Ciri Naqib

1. Berilmu.
Naqib mesti mempunyai ilmu, jika naqib kosong kepala macam mana beliau hendak menjelaskan kepada anak buah usrahnya. Sebagaimana pepatah Arab menyebut " Orang yang fakir macam mana beliau hendak memberi". Mereka yang ada ilmu akan menarik minat ahli usrahnya. Jika naqib tidak memiliki ilmu dan pengetahuan yang luas bagaimana ia hendak meyakinkan orang lain untuk memahami perjuangan. Naqib mesti bersedia untuk menimba pengetahuan tanpa jemu-jemu. Tidak ada istilah pencen untuk seorang naqib mendapat ilmu. Bukan sahaja mereka menguasai ilmu agama, malahan juga ilmu dunia, isu semasa dan isu-isu orgnisasi. Usrah sentiasa segar jika naqib memiliki mutiara-mutiara yang berharga untuk dibawa balik setelah menghadiri usrah. Mahu tidak mahu, naqib mesti memaksa dirinya untuk membaca dan membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan usrah.

2. Yakin Dengan Perjuangan

Naqib mesti yakin dengan perjuangan Pas yang berteraskan Islam. Landasan ini akan dipegang samaada sewaktu kalah atau menang. Beliau mesti yakin inilah akidah perjuangan yang tidak pernah luntur daripada batang tubuh perjuangan Pas. Islam membawa rahmat kepada semua. Beliau tidak boleh menjadi orang yang musta'jilun ( gopoh) untuk cepat menang sehingga mengenepikan soal prinsip perjuangan. Keyakinan ini yang ditanam di dalam diri ahli usrahnya.

3.Pernah Ikut Tarbiah

Hendak menjadi naqib usrah ia perlu juga mengikuti usrah baru ia boleh membawa usrah. Jika beliau tidak memahami usrah bagaimana beliau hendak membawa usrah kepada ahli usrah. Usrah mempunyai seni yang tersendiri, ia bukan ceramah umum, ia bukan kuliah maghrib. Tetapi ia adalah majlis meyakinkan fikrah perjuangan, membina peribadi ahli Pas, dan meniupkan semangat perjuangan. Lebih banyak muhasabah diri dan muhasabah dalaman, kurang mengkritik orang lain. Naqib yang biasa mengikuti program usrah sahaja yang mampu membawa usrah. Barulah akan lahir satu natijah kemanisan berusrah di kalangan ahli usrah. Program usrah dinanti-nanti kerana ia majlis yang menyeronokkan, bukan yang membosankan. Kenapa majlis usrah seronok? Jawabnya kerana naqib berpengalaman dan naqib berpengalaman di dalam usrah.

4.Suri Teladan Yang Baik

Naqib akan menjadi qudwah hasanah kepada anak buahnya. Izzahnya mesti dijaga di pandangan mata ahli. Jangan hilang thiqah ahli kepada naqib, apabila mereka melihat akhlak naqib tidak menepati piawai seorang yang berakhlak mulia. Naqib mesti bercakap serupa dengan perbuatan. Istilah, lihat apa yang saya cakap, bukan siapa yang bercakap tidak boleh digunakan oleh seorang naqib kepada ahli usrah. Peribadi naqib, isteri naqib, anak naqib, keluarga naqib semuanya menjadi perhatian di kalangan ahli usrah. Kesan yang mendalam akan dirasai oleh ahli usrah apabila memerhati peribadi naqib yang membuat apa yang dia cakap. Jika naqib sendiri tidak berjihad, macam mana ahli usrah hendak berjihad. Jika naqib kedekut macam mana ahli usrah hendak bersifat pemurah. Jika anak isterinya sendiri tidak terlibat dengan Pas macam mana orang lain bersemangat dengan Pas. Jika ahli keluarga naqib tidak menutup aurat macam mana anak buah hendak hormat dengan naqib. Semuanya tepat sepert kata-kata hukama' "Lisanul Hal lebih berkesan daripada kata-kata". Ahli psikollogi berkata manusia lebih senang memahami bahasa mata daripada bahasa lidah.

5. Mesti Terlibat Dengan Pas

Usrah bukan hanya memindah ilmu kepada pendengarnya, tetapi ia hendak membina fikrah ahli dan pembinaan parti. Macam mana naqib hendak membina parti jika beliau sendiri tidak melibatkan diri dengn Pas. Beliau sendiri tidak memahami struktur perjalanan parti. Jika ini berlaku untuk jangka panjang ia akan bertentangan dengan fikrah perjuangan parti. Lama kelamaan ia akan mewujudkan jamaah dalam jamaah. Naqib akan membawa fikrah peribadi, bukan fikrah jamaah. Segala keputusan parti tidak selari dengan apa yang beliau sampaikan dalam usrah. Misalnya dia tidak memahami Tahaluf Siasi yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura, tetapi beliau membuat pendekatan yang tersendiri, akhirnya menimbulkan masalah kepada parti.

6. Kesungguhan

Pepatah Arab bermaksud "Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat ". Kunci kejayaan segala amalan ialah sifat kesungguhan di kalangan naqib. Tanpa kesungguhan, usrah tidak akan berjaya. Biasalah, kadang-kadang kita sebagai naqib datang anak buah tidak datang. Kerana usrah di dalam Pas perlu ada kesungguhan. Tempatnya jauh, pendalaman terutama ahli Pas di kampung-kampung. Orang yang mempunyai kesungguhan sahaja yang boleh melaksanakan usrah.

7. Sabar

Di dalam perjuangan perlu kesabaran, begitu juga sebagai naqib perlu ada kesabaran. Bukan senang untuk memahamkan akidah perjuangan kepada ahli usrah. Penekanan kepada ahli usrah mengenai akidah perjuangan perlu kepada kesabaran. Penekanan diberi kepada ahli usrah ialah perkara sam'iyat, dosa dan pahala bukan perkara yang dapat dilihat. Perlu ada kesabaran untuk meyakinkan ahli usrah.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Ahad, 9 Mac 2014

Satu Usrah Satu Cawangan


Idris Hj Ahmad
6/3/14

Usrah merupakan satu nizam yang penting di dalam tarbiah Pas. Selain daripada usrah, ialah tamrin, liqa' al-Fikri, Majlis Ilmu, Daurah Tadribiah, Nadwah, Rehlah, Mukhayam, Qiamullail, Riadah. Kesemua program ini mesti digarap oleh semua ahli Pas supaya tidaklah mereka menyertai Pas hanya dari segi isi borang sahaja, sedangkan pemikiran dan tingkah laku tidak berubah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah apabila menjadi ahli Pas, dia perlu berubah dalam semua perkara, walau pun memakan masa yang lama.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Usrah mesti diwujudkan di dalam setiap cawangan untuk memastikan Pas dapat memenuhi ciri-ciri Gerakan Islam dan Gerakan Politik. Ini adalah satu kelainan dengan jamaah lain kerana Pas juga merupakan gerakan politik, dua perkara ini mesti diseimbangkan.

Setiap cawangan Pas mesti menjalankan aktiviti Usrah, ia boleh dilakukan rumah ahli Pas secara bergilir. Buat permulaan laksanakan sebulan sekali. Kenapa buat di rumah ahli tidak di markaz?. Jawapannya supaya program usrah dan ziarah boleh disekalikan. Maklumlah semua di kalangan ahli Pas sentiasa sibuk, tidak ada masa untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain. Apabila usrah dibuat di rumah setiap ahli, maka secara tidak langsung program ziarah berjalan secara serentak. Tujuannya supaya kita dapat memerhati suasana rumah ahli Pas. Kadang-kadang ahli Pas yang kita temui di markaz tidak sama dengan hakikat yang sebenar. Ada di kalangan ahli Pas yang cukup dhaif, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang kental. Wajahnya tidak menunjukkan beliau seorang yang susah, sentiasa ceria dalam hidup. Tidak pernah ponteng program parti. Tidak pernah mengeluh apabila di beri arahana. Dengan kehadiran ahli Pas ke rumahnya, terutama pemimpin, wakil rakyat Pas, secara tidak langsung akan menyentuh kalbu kita apabila melihat rumah ahli Pas yang dhaif tetapi istiqamah di dalam perjuangan.

Kebaikan usrah buat di rumah, kita juga dapat memerhatikan rumah tangga ahli Pas, samaada menepati dengan rumah tangga Islam atau tidak. Kita boleh perhatikan anak isterinya menutup aurat atu tidak. Setengahnya kita berjumpa di luar rumah lain dengan keadaan beliau berada di rumah. Kita mungkin terkejut apabila melihat isteri dan anaknya tidak menutup aurat, sedangkan suaminya berjubah dan berserban. Semuanya tidak akan kita ketahui melainkan apabila kita ziarah rumah sahabat secawangan.

Perlu kita sedar bahawa kekuatan Pas terletak di cawangan, bukan di kawasan, negeri atau pusat. Hebat macam mana sekali pun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak ada makna, jika di peringkat akar umbinya lemah. Dua Tuan Guru tidak tahu secara ditil kekuatan atau kelemahan Pas, begitu juga kekuatan atau kelemahan parti lawan. Maklumat ini hanya boleh disampai oleh cawangan kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan tertinggi tidak boleh merancang strategi jika tidak mempunyai maklumat yang disampai oleh ahli peringkat cawangan. Apabila usrah berjalan di peringkat cawangan maklumat ini senang diperolehi, contohnya cula setiap lokaliti hanya akan diketahui oleh ahli cawangan.

Kita boleh lihat cawangan yang aktif mengadakan usrah, ahlinya hidup damai dan bersatu padu. Masalah dalaman dapat dikurangkan, kerana sering bertemu. Anasir-anasir yang tidak baik untuk meruntuhkan jamaah dapat dihindarkan. Motivasi ahlinya tinggi kerana sering diberi semangat di dalam usrah. Inilah sebenarnya matlamat usrah, selain daripada membina peribadi dan fikrah. Menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri. Biasalah, manusia yang hidup di dalam kelalaian mesti hidup di dalam suasana nasihat menasihati antara satu sama lain, maka usrah adalah salah satu caranya.

Saya yakin apabila usrah berjalan di peringkat cawangan, masalah kewangan akan dapat diatasi. Idea supaya setiap ahli Pas infaq setiap bulan seorang seringgit masih belum menjadi kenyataan. Kalau projek ini berjalan maka Pas akan dapat mengumpul hampir satu juta sebulan. Kenapa? Jawapannya ialah bagaimana mekanisme hendak dibuat. Jika hendak buat arahan potongan secara bulanan melalui bank agak tidak praktikal, kerana kos pengurusan tinggi. Lebih-lebih lagi bukan semua ahli Pas mempunyai akaun bank. Sudah tentulah usrah merupakan salah satu caranya.

Sebenarnya ahli Pas bukan kedekut hendak memberi kepada Pas. Kalau kedekut maka sudah pasti tidak ada markaz yang didirikan oleh ahli Pas dengan wang sendiri. Cuma mekanismanya yang tidak ada untuk pungut. Jika hendak suruh bendahari pergi memungut ke setiap rumah juga tidak praktikal. Kadang- kadang bendahari pergi ke rumah ahli, tetapi ahli tidak ada di rumah. Tetapi jika usrah berjalan, insyaAllah perkara ini dapat diatasi. Setiap ahli Pas akan bawa wang sewaktu mereka hadir ke usrah dan diberi kepada bendahari cawangan. Jika mereka terlupa mereka akan gandakan untuk bulan berikutnya. Jika usrah berjalan, idea untuk memungut sejuta sebulan menjadi kenyataan dengan setiap ahli infaq satu ringgit sebulan.

Lajnah ekonomi juga dapat menambahkan pendapatan cawangan. Contohnya setiap ahli diwajibkan membeli satu tiub ubat gigi dan satu kotak sabun basuh Hilal setiap bulan. Ini adalah barang keperluan yang mesti diguna oleh setiap ahli Pas. Jika hasil jualan dua barang ini memberi keuntungan seringgit, maka berapa banyak wang tabung cawangan akan diperolehi. Diandaikan ada 30 orang ahli Pas, maka cawangan akan memperolehi RM30 sebulan, setahun RM360, lima tahun RM1800. Apabila pilihanraya tidak timbul lagi masalah kewangan di setiap lokaliti dan Unit Peti Undi. Jom buat usrah sekarang.

Jika usrah berjalan soal menambah ahli akan dapat dilakukan. Misalnya setiap ahli Pas diarahkan mencari setahun seorang ahli baru. Ertinya setiap bulan sebelum memulakan usrah, naqib akan meminta borang keahlian daripada siapa yang membawa. Bulan hadapan akan diminta lagi. Secara tidak langsung ahli Pas akan berlumba-lumba untuk mencari ahli baru sebagaimana diarahkan oleh naqib. Begitu juga dengan daftar pemilih. Naqib akan pastikan nama anak-anak ahli yang cukup umur 21 tahun akan dimonitor di dalam usrah supaya mereka mendaftar anak dengan SPR.

Paling penting ialah kebajikan ahli akan terjamin. Perlu diingat politik orang kampung, politik masyarakat. Jika Pas boleh pastikan kenduri, sakit , meninggal mereka terbela maka mereka akan berani untuk mendekati Pas. Sebab itu kita lihat di tempat yang kuat Umno, Pas mendapat undi secara senyap kerana takut di pulau oleh Umno jika diketahui secara terang. InsyaAllah dengan usrah ada di cawangan soal kebajikan akan terpelihara. Apabila ada berita seorang ahli sakit, meninggal dan hendak buat kenduri terus dimaklum di dalam majlis usrah. Semua ahli akan mengambil perhatian dan tindakan untuk membantu. Inilah pentingnya usrah di dalam jamaah kita.

Timbul persoalan, bagaimana jika tidak ada naqib di dalam cawangan tersebut, atau naqib tidak datang apa yang perlu dilakukan?. Program usrah mesti diteruskan. Ketiadaan naqib jangan menjadi alasan untuk tidak ada usrah. Ahli boleh membaca Yasin, tahlil kemudian buat tazkirah. Bahan tazkirah boleh baca terus daripada penulisan Tuan Guru di dalam Harakah atau mana- mana buku yang difikir sesuai. Kemudian bincang program yang akan dilaksanakan di cawangan atau kawasan. Hebahkan kepada semua ahli jika ada majlis kenduri yang memerlukan pertolongan daripada ahli cawangan. Atau makluman mengenai ahli yang sakit untuk diziarahi samaada di hospital atau di rumah.

Makanan biarlah disediakan oleh cawangan, bukannya oleh tuan rumah. Pengalaman yang saya perhatikan usrah di cawangan mati, apabila tuan rumah tidak sanggup menyediakan jamuan. Tetapi apabila cawangan sendiri yang menyediakan jamuan, insyaAllah semuanya sanggup untuk menyediakan rumahnya sebagai tempat usrah. InsyaAllah jika usrah dijalankan di peringkat cawangan Pas akan kukuh samaada dari segi pembinaan fikrah, peribadi dan jamaah. Jom kita buat usrah di cawangan masing-masing. Setelah buat mesti ada kelainanya. Cuba dulu baru tahu.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...