KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, 12 Mac 2013

Penduduk kesal janji PRK Kerdau tidak ditepati


Mohamed (kanan) menunjukkan barang-barang yang tertimbus.

TEMERLOH: Penduduk Kampung Bakah, Kerdau dekat sini tampil dengan bukti bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya sekadar pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Wakil penduduk Mohamed Deris, 81, berkata janji pembinaan jalan tar ke tanah perkuburan kampung berkenaan telah dibuat pihak kerajaan semasa kempen Pilihan raya Kecil (PRK) Kerdau pada 2011 lalu.

Dakwanya, kontraktor telah dianugerahkan projek membina jalan tar ke tanah kubur kampung berkenaan sepanjang 880 meter di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh.

“Malangnya kontraktor yang hanya mementingkan diri itu hanya menyiapkan kerja-kerja sepanjang 200 meter saja sebelum ditinggalkan terbengkalai. Bukan itu saja, sebahagian barang yang sepatutnya digunakan untuk projek itu seperti culvert habis dipunggah untuk projek yang lain.

“Kami penduduk kampung yang tidak berpuas hati, telah pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah dan didapati kontraktor telah menerima bayaran kontrak sebanyak RM60,000 serta wang tambahan,” katanya kepada Harakahdailyyang dibawa melihat jalan berkenaan.

Beliau turut menunjukkan sisa-sisa simen yang telah keras membeku, batu kuari dan batu bata sudah berlumut terkambus dalam semak samun di sepanjang projek jalan terbengkalai itu.

Kata Mohamed, kegagalan kontraktor tersebut dan ketiadaan pemantauan daripada pihak kerajaan menyebabkan kerugian kepada wang rakyat dan menyusahkan orang kampung yang mahu berziarah kubur.

“Sekarang akhirnya yg rugi rakyat juga kerana wang kerajaan dikeluarkan tetapi projek gagal dilaksana sepenuhnya. Penduduk kampung juga tidak dapat menziarahi kubur orang tua mereka termasuk datuk nenek Ahli Parlimen Kuala Krau kerana semak.

“Kolam ikan penduduk kampung juga dimasuki lumpur akibat longkang yang gagal disiapkan kontraktor,” ujarnya.

Mohamed yang juga pesara kerajaan berkata, kontraktor yang sama juga membiarkan projek membina longkang sepanjang satu kilometer sehingga menimbulkan pelbagai kerumitan dan masalah kepada penduduk terutama apabila musim hujan.

Selain daripada itu, penduduk juga mengadu tiang-tiang lampu dan tiang telefon di kampung tidak diselenggarakan sejak tahun 2001 sehingga menyebabkan dipenuhi semak samun.

Sementara itu Penyelaras PAS Dun Kerdau, Kamal Ashaari yang turut hadir, berkata beliau kesal dengan pembaziran sehingga merugikan wang rakyat.

“Akibat pihak kontraktor dan kerajaan tidak betanggungjawab boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kepada penduduk sehingga menyusahkan mereka untuk ziarah dan tahlil ke kubur orang-orang tua mereka.

“Mana slogan 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta janji ditepati jika projek untuk orang kampung macam ini pun tak boleh dikendalikan?” soalnya. - HarakahDaily

Ahad, 3 Mac 2013

Lahad Datu: Kerajaan digesa bentang kertas putih

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membentangkan kertas putih berhubung krisis di Lahad Datu, Sabah yang mengakibatkan dua anggota komando negara terkorban.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, berkata kertas putih tersebut perlu dibentangkan bagi rakyat mengetahui keadaan sebenar insiden tersebut.

"Ia juga bagi mengelakkan orang awam dari terus membuat pelbagai spekulasi berkenaan krisis ini," tegas Mahfuz pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga komando yang terkorban dalam serangan di Lahat Datu itu.

Pada 9 Februari lalu, kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung dan berlabuh di Kampung Tandaou, 100 kilometer dari Lahat Datu.

Pihak keselamatan negara bertindak mengepung perkampungan itu sejak 11 Februari lalu, dengan melakukan beberapa siri rundingan dengan kumpulan tersebut. - HarakahDaily

Jumaat, 1 Mac 2013

Pencerobohan: PAS desak Najib panggil sidang tergempar

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan di Sabah yang didakwa kini telah menumpahkan darah.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata, Najib perlu bertindak segera ekoran perkembangan terbaru menunjukkan keadaan keselamatan negara dalam bahaya.

"Saya mendesak perdana menteri memanggil sidang tergempar parlimen berhubung isu keselamatan negara yang kini sangat serius.

"Kita desak beliau menjelaskan kepada parlimen, apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana perairan negara boleh diceroboh," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian, berikutan laporan terbaru bahawa dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina hari ini.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Sementara itu, Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan dari pihak polis berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, rakyat kini menunggu dengan penuh persoalan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya terdapat bayak versi cerita yang akhirnya mewujudkan kekeliruan dan meletakkan rakyat dalam ketakutan.

"Rakyat Malaysia perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya. - HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...