KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 23 Disember 2013

BN GUNA KELEMAHAN PENGUNDI MELAYU UNTUK TERUS MENGEKAL KUASA

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

(23 Disember 2013)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana kerajaan Barisan Nasional  menggunakan kelemahan pengundi Melayu untuk membolehkan mereka terus berkuasa dan menguasai negara. Strategi dan taktik ini sudah sebati dengan jiwa mereka dengan menjadikan kelemahan pengundi Melayu luar bandar serta masyarakat felda sebagai senjata dan sasaran mereka.

BN memahami bahawa politik masyarakat Melayu yang mudah lupa dan sejuk hanya dengan insentif dan janji yang ditawarkan menjelang 6 bulan sebelum pilihanraya umum. Selama 4 tahun lamanya rakyat menderita dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang begitu tinggi, namun menjadi lupa hanya dengan kehadiran gula-gula pilihanraya beberapa bulan menjelang pru. Jika hari ini rakyat cukup sengsara dengan kenaikan harga gula, tarif elektrik, kadar tol, memperkenalkan cukai GST dan lain-lain lagi DPPM yakin beberapa bulan menjelang Pru kerajaan BN akan bersikap lunak dengan beberapa pendekatan politik termasuk menurunkan beberapa harga barangan dengan tujuan membeli jiwa rakyat.

Selain itu, BN memahami bahawa masyarakat Melayu mudah dipengaruhi melalui ancaman isu perkauman dan masa depan orang Melayu. Oleh itu, seringkali propaganda murahan ditaburkan bahawa kuasa orang Melayu semakin terancam dan masa depan orang Melayu tidak menentu tanpa pemerintahan Umno-BN. Bagi Umno, hanya mereka mampu selamatkan bangsa dan negara ini manakala parti lain  terutama pembangkang bakal memusnahkan negara.

Mereka juga tampil mengubat luka orang Melayu yang begitu terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup dengan bantuan seperti Brim sedangkan Brim diketahui tidak mampu menampung bebanan hidup yang ditanggung rakyat.

DPPM bertekad menjadikan halangan ini sebagai suatu cabaran bagi menghadapi pru ke 14.  Masyarakat Malaysia terutama orang Melayu di luar bandar termasuk felda perlu disedarkan bahawa BN  tidak berjuang membela nasib rakyat. BN hanya hadir tatkala pru bagi meraih simpati dan sokongan rakyat dan melupai mereka selepas pru berlangsung.

Rakyat juga perlu disedarkan bahawa isu perkauman adalah sekadar retorik dan propaganda kosong yang dimainkan untuk menakut-nakutkan masyarakat. Politik perkauman sudah ditinggalkan oleh masyarakat bermaklumat dan rakyat mahukan politik perpaduan yang bersih  dan amanah lebih dari politik perkauman.

DPPM percaya pendidikan politik yang berterusan mampu memecahkan dakyah songsang ini. Pakatan Rakyat wajib menerobos masuk kampung ke kampung dan felda dan mengubah persepsi terhadap PR.

DPPM juga bertegas menjadikan pendidikan politik agenda penting dan pelan bertindak bagi mengubah landskap politik negara menjelang pru ke 14. Pendidikan politik berterusan mampu mengubah mentaliti dan menyelamatkan masyarakat Melayu dari terus tertipu dan terpedaya oleh politik Umno.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...