KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 4 November 2013

MUHARAM 1435H TIBA

بسم الله الرحن الرحيم

Muharam tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan... Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

• Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharam, dan ganjaran orang memperingatkan tentang Muharam?

Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharam.
Antaranya, hijrah Rasulullah s.a.w. dikatakan berlaku pada 1 Muharam, doa awal tahun, dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

HIJRAH

Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat-sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabiulawal (lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri). Bukan bulan Muharam.

Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharam detik permulaan.... perpindahan nabi dan umat Islam..."

Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.

Muharam adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka Khalifah Umar al-Khattab r.a. memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah s.a.w. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiulawal, bukan dalam 1 Muharam.

DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)

Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmu ku, dan semakin baik amalan ku."

Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu tiga kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. Tiada dalam kitab-kitab hadis muktabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil. Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

CATATAN AMALAN

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijah, dan dibuka pada awal Muharam tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadis Nabi s.a.w. Hadis-hadis yang sahih / thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang).
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis).
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban (tetapi bukan Nisfu Syaaban - Hadis palsu juga banyak berkisar tentang nisfu Syaaban).

Hadis-hadis sahih / thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut:

1. Amalan diangkat / dibentangkan dua kali setiap hari:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yang menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu (walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya): “Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?” Jawab para malaikat: “Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat." (Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar) - Hadis Sahih - Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, “Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai." (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) - Hadis Sahih.

3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban (bukan Nisfu Syaaban)

عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?” Jawab Rasulullah s.a.w., "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekalian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa." (Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) - Hadis Hasan.

BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?

Tentang hadis anjuran supaya memperingatkan bulan Muharam, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadis itu.
Agak pelik bila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.

• "Barang siapa yg memperingatkan bulan Syaaban...."
• "Barang siapa yg memperingatkan bulan Zulhijah...."
• "Barang siapa yang memperingatkan bulan Rejab..."

Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadis palsu, dan jika kita biasa dengan hadis-hadis yang sahih, hadis ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadis itu). Sebarkanlah penjelasan tentangnya.

KESIMPULAN

Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadis sahih:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ "

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripada ku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas nama ku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka." (Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)

والله اعلم .

AAM 29 Zulhijah 1434, Madinah

(NOTA: Tulisan di atas telah disalin ke dalam MSWord dan dibuat pembetulan ejaan menggunakan Dewan Eja Pro, dengan beberapa pengecualian. Jika ada kesilapan dalam teks hadis Arab sila rujuk ke tulisan asal di Pages FB Dr Abu Anas Madani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...