KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 11 November 2013

Pegawai Jabatan Agama Dibunuh Kejam. Malaysia Masih Aman ?

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan takziah buat keluarga Allahyarham Tuan Haji Ahmad Rafli Abdul Malek yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan melahirkan rasa sedih dan kesal dengan kejadian tembak bunuh yang kejam ini. Kejadian dahsyat yang berlaku di kediaman Allahyarham, merupakan satu lagi bukti bahawa insiden jenayah berat khususnya yang melibatkan senjata api semakin tidak terkawal dan telah menjadi lebih menggerunkan. Untuk makluman, Allahyarham adalah abang kepada seorang petugas di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dengan rentetan kes jenayah tembak dan culik sejak kebelakangan ini, maka apakah Malaysia kita ini masih aman?

Pemuda PAS tegas mengutuk insiden bunuh ini sebagai satu tindakan keji tidak berperikemanusiaan dan mendesak agar YAB Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kepimpinan tertinggi PDRM tidak berdiam diri dan memberi respon segera terhadap kejadian ini.

Kedamaian dan keamanan awam telah terancam. Hakikatnya, tidak ada mana-mana individu atau keluarga yang kini boleh terlepas dari jangkauan perilaku jenayah. Apa sahaja statistik dan indeks jenayah yang diangkat pemerintah untuk melukis gambaran-gambaran indah mengenai kesentosaan suasana cumalah angka kosong yang jauh dari realiti.

Cukuplah dengan sandiwara ini! Rakyat telah jemu dan kini Rakyat sedang hidup dalam kebimbangan.

Saya merasakan sudah tiba masanya untuk Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja campurtangan di dalam perkara ini di atas kesedaran bahawa keresahan rakyat sedang memuncak.

Kesimpulan pemerintah dan PDRM mengenai situasi jenayah di dalam negara sudah menjadi bahan politik semata-mata dan tidak boleh dipercayai lagi. Maka suatu penilaian jujur diperlukan yang hanya boleh dicapai menerusi campurtangan Majlis Raja-Raja.

Selagimana situasi jenayah ini tidak diperjelaskan secara jujur, maka selama itulah kita akan terus terperangkap di dalam polemik debat tidak berkesudahan dan penyelesaian yang jitu tidak dapat dicapai.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...