KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Ahad, 27 Oktober 2013

BAJET 2014 UNTUK RAKYAT DARI RAKYAT


ولو أن اهلى القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون 

Artinya “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Bajet tahunan kerajaan (annual budget) adalah instrumen utama dalam urustadbir fiskal negara yang memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan kerajaan bagi tahun mendatang.

Komponen utama sesebuah belanjawan adalah sumber pendapatan (cukai, bukan cukai, pinjaman) dan agihan perbelanjaan (pengurusan, pembangunan, pembayaran hutang) demi mencapai objektif utama dasar ekonomi negara iaitu memacu pertumbuhan (growth), mengawal kenaikan harga (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment).

Justeru, setiap instrumen di dalam belanjawan dirangka mengikut keutamaan dan matlamat sosio-ekonomi negara dengan mengambil kira keperluan dan pertimbangan faktor dalaman dan luar negara semasa.

Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan (negara) atau seorang Bapa yang mengetuai sebuah keluarga (isi rumah), iaitu “berbelanja ikut kemampuan dan keperluan, bukan ikut kemahuan”.

Sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri (Nota: Malaysia mencatat defisit berturut-turut sejak format penjawatan CEO dan CFO kerajaan dipegang oleh individu yang sama bermula 1998), kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM264.2 bilion untuk dibelanjakan pada tahun 2014 (2013: RM261 bilion, 2012: RM252 bilion), dibiayai dengan sumber hasil berjumlah RM224.1 bilion (2013: RM220 bilion, 2012: RM207 bilion), dengan kurangan pendapatan berjumlah RM37.1 bilion atau 3.5% defisit daripada KDNK (2013: 4.0%, 2012: 4.5%)

Ke mana RM264.2 bilion ini diperuntukkan? Sebanyak RM217 bilion (83%) diperuntukkan untuk tujuan pengurusan (2013: RM216 bilion, 2012: RM205 bilion). Perbelanjaan emolumen sebanyak RM63 bilion kekal sebagai komponen terbesar (2014: 29%, 2013: 28%, 2012: 29%) bagi menanggung gaji 1.4 juta penjawat awam serta imbuhan berkaitan, diikuti peruntukan subsidi bernilai RM39 bilion (2014: 18%, 2013: 21%, 2012: 21%) dan perbekalan bernilai RM36 bilion (2014: 17%, 2013: 16%, 2012: 15%). Manakala RM46.5 bilion (17%) diperuntukkan untuk tujuan pembangunan (2013: RM45 bilion, 2012: RM47 bilion) meliputi projek fizikal dan inisiatif tranformasi NKRA dan NKEA dalam sektor ekonomi, sosial dan keselamatan. Nisbah perbelanjaan pembangunan yang rendah (17% daripada keseluruhan bajet, 4% daripada KDNK), adalah satu nisbah yang kurang sihat untuk sebuah negara membangun untuk memacu pembangunan masa depan yang mampan.

Dari mana RM264.2 bilion ini diperolehi? Sebanyak RM224 bilion hasil dijangka dipungut manakala defisit RM37 bilion akan dibiayai oleh pinjaman dalam dan luar negeri. Sejumlah RM133 bilion cukai langsung dan RM39 bilion cukai tidak langsung (duti, eksais, cukai jualan dan perkhidmatan) dijangka dipungut manakala sejumlah RM52 bilion hasil bukan cukai (dividen, royalti) dijangka diperolehi pada 2014.

Memandangkan regim cukai GST 6% hanya akan berkuatkuasa pada 1 April 2015. Sebahagian besar pinjaman kerajaan adalah daripada sumber dalam negeri (2013: 97%, 2012: 96%) berbanding sumber luar negeri (2013: 3%, 2012: 4%). Namun, angka hutang ini adalah jauh lebih tinggi jika dicampur dengan jumlah tanggungan liabiliti luar-jangka (contingent liability) yang mencecah puluhan bilion.

Melihat secara makro angka berbilion ini membawa kepada konklusi awal bahawa bajet 2014 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri (Nota: Juga merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang menyelit ucapan bajet di dalam Dewan Rakyat seumpama berucap di Perhimpunan Agung UMNO), ia adalah manifestasi janji ‘balas budi’ oleh kerajaan yang memenangi 60% kerusi tetapi hanya menguasai 48% undi pada PRU13, jika dibandingkan dengan bajet 2010 hingga 2013 yang dipenuhi pelbagai pemberian dan imbuhan untuk meraih sokongan rakyat.

Cukai dikutip daripada pendapatan dan perbelanjaan rakyat (cukai pendapatan >20%, duti & eksais, GST 6%), simpanan dan caruman rakyat dipinjam untuk membiayai defisit kerajaan (pembelian bon dan sekuriti kerajaan oleh KWSP, BSN serta institusi perbankan dan insurans). Defisit terus menjerut hutang kerajaan ke paras 55% KDNK (2013: 54.8%, 2012: 53.3%), manakala inflasi dan kos sara hidup kian menghambat pendapatan, perbelanjaan dan hutang rakyat (>80% KDNK). Inilah sebuah bajet, untuk rakyat dari rakyat.

Syahir Sulaiman
Pengarah Kajian Polisi DPPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...