KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Rabu, 8 Julai 2009

Kerajaan Pahang : Henti Perkosa Rakyat!

Walaupun mendapat mandat yang agak baik dalam Pilihanraya Umum yang lalu, rakyat Pahang seharusnya mengetahui bahawa kekuatan suara dan hak mereka sebagai rakyat dalam sebuah negari berdaulat semakin terhakis. Tindakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutama UMNO menjadikan Negeri Pahang laksana telaga menggali kekayaan demi kepentingan perut beberapa kerat mereka. Rakyat tidak lebih hanya seekor kuda tunggangan ataupun sisa-sisa busuk perut ikan yang menjadi umpan menjelang pilihanraya bagi mendapatkan mandat memerintah.


Penulis telah membangkitkan terdahulu bagaimana, kelemahan Kerajaan Barisan Nasional Pahang mentadbir negeri sehingga terpaksa berhadapan tindakan Mahkamah sehinggalah mengalami keadaan defisit yang meruncing. Kali ini pula, penulis akan membangkitkan satu isu yang hangat diperkatakan di Pahang iaitu berhubung pengambilan berleluasa tanah bagi tujuan pembangunan komoditi perladangan.


Tidak dapat dinafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang agak jitu kepada kerajaan untuk melakukan pengambilan tanah bagi tujuan kemajuan. Alasan ini jugalah digunakan secara berleluasa untuk menghalalkan "rampasan" tanah terhadap rakyat. Saya tidak berniat mencabar perkara ini apatah lagi perundangan membenarkannya. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi soal terutama di Pahang adalah berhubung dengan tindakan kerajaan negeri melalui beberapa anak syarikat Kerajaan Pahang yang bertindak membuka ladang-ladang tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah secara berleluasa. Penerokaan hutan dan ditanam dengan komoditi tersebut melibatkan ribuan hektar dan semakin bertambah keluasannya dari masa ke semasa.


Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mempunyai ladang kelapa sawit dan getah di seluruh Pahang berjumlah hampir 54 ribu hektar. Begitu juga penerokaan tanah hampir 30 ribu ekar tanah di Rompin oleh YP Plantation Holdings Sdn Bhd iaitu salah sebuah anak syarikat subsidiari Kerajaan Pahang iaitu Yayasan Pahang bagi tujuan tanaman kelapa sawit. Malahan saya difahamkan sebanyak 15 ribu ekar lagi akan dibuka di daerah yang sama. Itu belum dikira jumlah pembukaan tanah-tanah baru bagi tujuan yang sama oleh syarikat swasta dimana kerajaan Pahang mempunyai kepentingannya seperti di Pekan, Bera, Rompin dan Kuantan mencecah hampir 15 ribu hektar sehingga tahun 2004 sahaja untuk pelbagai tujuan seperti perladangan kelapa sawit dan lain-lain tanaman komersil.


Apa yang lebih malangnya, pembukaan tanah ini turut melibatkan UMNO sebagai parti pemerintah yang mempunyai proksi-proksi dalam pelbagai syarikat yang ditubuhkan. Ini terbukti apabila puluhan ribu hektar tanah diterokai di daerah Rompin. Isu penerokaan tanah di Pekan juga diheret ke Mahkamah (No kes: 21-9-2002. Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang). Semua keuntungannya pasti mengalir ke kantung UMNO. Sekali pandang, isu ini seolah-olah kerajaan Pahang membangunkan tanah untuk tujuan kemajuan. Namun, saya ingin menjemput pembaca semua untuk menganalisa secara saintifik disebalik pengambilan tanah ini. Ribuan hektar tanah yang diteroka oleh kebanyakannya anak syarikat kerajaan negeri mahupun kerajaan negeri berkepentingan di dalam syarikat persendirian menyebabkan rakyat Pahang terhimpit dengan masalah ketiadaan tanah sehingga terpaksa menumpang dan meneroka tanah haram. Rakyat yang memohon tanah bertahun-tahun lamanya sehingga ada di kalangan pemohon yang meninggal dunia, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan. Usah bercakaplah fasal pemilikan tanah kepada golongan belia yang sudah pastinya tidak memiliki tanah selain dari membeli ataupun memperolehinya secara keturunan ataupun sekiranya mereka ada "kabel"!


Perusahaan ladang komoditi secara sewenang-wenangnya ini telah mengakibatkan tiada manfaat dinikmati oleh penduduk setempat di mana kawasan ladang tersebut dibuka kecuali beberapa pekerja asing yang dibawa masuk bekerja di situ. Ketiadaan kilang memproses produk berasaskan sawit mengakibatkan rakyat setempat hanyalah menjadi penonton.

Saya percaya bahawa kerajaan negeri akan berhujah bahawa pembukaan ladang adalah bersifat jangka masa panjang dan keuntungannya akan diagihkan secara saksama kepada rakyat. Sekali pandang, kita boleh bersetuju. Tetapi apabila dinilai keseluruhan pendapatan jika dicongak dari ladang seluas ratusan ribu hektar di seluruh negeri yang diteroka oleh kerajaan negeri, layak Pahang diangkat negeri mempunyai pendapatan yang paling progresif. Namun, secara perangkaannya satu demi satu anak syarikat kerajaan Pahang mengalami kerugian seperti yang menimpa Mentiga Corporation. Begitu juga saban tahun dan terkini, pendapatan kerajaan Pahang berada di tahap defisit! Kemana perginya pendapatan hasil dari pembukaan ladang yang maha luas ini?

Saya difahamkan bahawa terdapat kepentingan kerajaan dalam beberapa buah syarikat yang dianugerahkan kontrak pembukaan ladang kelapa sawit ini yang bertukar tangan kepada pegangan bukan bumiputra sebagai majoriti. Apa sudah jadi kepada kerajaan Pahang? Adakah itu petanda bahawa "State Government of Pahang is for sale?"..Petaka inilah yang harus disedari oleh rakyat Pahang bahawa tiada lagi hendak dibanggakan dengan kegagahan Tok Gajah, Dato' Bahaman ataupun Mat Kilau apabila rakyat merempat di bumi sendiri. Kita juga mengetahui bahawa permohonan pindahmilik tanah di Pahang adalah antara yang paling sukar di muka bumi ini apatah lagi sekiranya permohonan kepada bukan bumiputra. Tetapi bagaimana pula dengan perlantikan syarikat bumiputra yang hanya minoriti untuk membuka ladang-ladang dan tanah-tanah di Pahang?


Saya ingin mencadangkan agar kerajaan Pahang mengambil ikutan langkah kerajaan Kelantan yang memperkenalkan skim Ladang Rakyat dimana rakyat diberikan pemilikan tanah yang diusahakan oleh sebuah badan dilantik kerajaan negeri dengan pelbagai jenis tanaman komersil. Keuntungan berbentuk dividen dan bonus diberikan kepada rakyat yang merupakan pemegang saham dalam skim tersebut. Rakyat akan terasa mereka sebahagian dari pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan. Berbeza di Pahang, tanah diteroka, ladang dibuka, keuntungan tidak tahu kemana dan akhirnya diistiharkan kerajaan Pahang rugi dan anak syarikat yang mengusahakannya terpaksa gulung tikar.


Oleh yang demikian, kerajaan Pahang harus menghentikan pembukaan tanah dengan alasan kemajuan pertanian sedangkan yang untung beberapa kerat golongan tertentu dan rakyat terus-terusan diperbodohkan. Rakyat Pahang juga harus menginsafi nasib masing-masing. Sampai bila kita harus berbangga dengan Projek Rumah Murah, Projek Pembangunan Rakyat Termiskin yang kita ada? Sedangkan hak kita terus dirobek..

Atau, kerajaan Barisan Nasional Pahang berhadapan tindakan diberhentikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...