KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sabtu, 13 Oktober 2012

Warga estet dakwa kehidupan terpinggir

KUALA LIPIS: “55 tahun merdeka nasib warga estet tidak terbela, janji BN gagal ditepati”, demikian bunyi ayat yang
 terpampang pada banner semasa menyambut kedatangan konvoi ‘PAS Cakna ke kawasan Parlimen Lipis’ di Ladang Benta dekat sini baru-baru ini.

Rombongan PAS Pahang itu hadir bagi mendengar sendiri keluhan masyarakat berketurunan India pekerja estet yang mendakwa tiada pihak yang menitikberatkan kebajikan mereka selama ini.

Seorang penduduk, R Krishnan, 62 menceritakan, majoriti warga estet khususnya buruh ladang masih tercicir daripada menikmati peluang kehidupan lebih baik dan selesa berbanding pekerja sektor lain.

“Kami menyumbangkan tenaga untuk kemajuan ladang dan ekonomi negara. Namun peluang kami untuk memiliki rumah sendiri masih samar-samar begitu juga dengan pendidikan lebih terjamin,” katanya.

Jelasnya, banyak kali pihak kerajaan turun berjanji untuk membela nasib mereka yang mencurahkan bakti kepada pendapatan pertanian negara sepanjang hayat, namun semuanya sekadar tinggal janji.

Estet Benta dikatakan antara ladang getah terawal di negeri Pahang yang dibuka oleh saudagar Inggeris manakala pekerja-pekerjanya dibawa dari India oleh penjajah Inggeris ketika itu.

Menurut penduduk, setelah ratusan tahun berlalu dan 55 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang diperolehi penduduk manakala anak-anak yang berjaya menghuni di luar.

Seorang lagi penduduk, M Rajma, 55, berkata kebanyakan penduduk masih mendiami rumah bersaiz kecil dan tidak selesa yang disediakan oleh pengurusan estet.

Lebih menyedihkan katanya, mereka terpaksa mencari rumah lain jika ketua keluarga berhenti daripada menjadi pekerja ladang.

“Kami menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan untuk membeli rumah sendiri kerana ketiadaan jaminan daripada majikan. Kami juga tiada apa-apa boleh dicagarkan.

“Kami sukar untuk menyertai mana-mana skim perumahan mampu milik tajaan kerajaan walaupun keluhan kami sudah disuarakan sejak sekian lama,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mencanangkan kemajuan rakyat di serata negara namun nasib kami yang berada di negeri Perdana Menteri sendiri jauh terpinggir daripada arus kemajuan.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuia konvoi berkenaan, turut menerima memorandum (gambar di atas) berhubung nasib warga estet yang memerlukan pembelaan dan perumahan lebih baik itu.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Pakatan Rakyat (PR) mengambil serius mengenai aduan berhubung nasib pekerja ladang swasta itu yang seolah-olah tidak pernah dibela.

“Sekiranya PR berjaya mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang, kita akan menyediakan perancangan khusus bagi membela nasib mereka,” ujarnya. Via - HarakahDaily

Sabtu, 22 September 2012

Batal kilang simen kemenangan rakyat


Gambar: Tuan Ibrahim (tengah) pada satu ketika bersama penduduk menunjukkan tanda bantahan di pintu masuk kawasan rekreasi Gunung Senyum.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang menganggap pembatalan projek pembinaan kilang simen di Gunung Jebak Puyuh yang terletak satu kilometer dari Hutan Lipur Gunung Senyum, sebagai kemenangan rakyat.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim (kiri)berkata, PAS sejak tahun 2009 konsisten menyertai penduduk perkampungan yang terlibat membantah projek bernilai RM2 bilion usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Syarikat Yeoh Teong Lay (YTL) itu.

Tambahnya, ini disebabkan PAS menyedari projek tersebut tidak membawa apa-apa manfaat atau keuntungan kepada penduduk tiada manfaat bahkan hanya akan menyebabkan mereka yang terlibat akan menanggung penderitaan dan ekonomi merosot ekoran pencemaran teruk alam sekitar.

“Jadi keputusan membatalkan projek tersebut kami anggap tepat dan itulah buktinya pembangkang yang kuat akan menyebabkan suara rakyat didengari pemerintah apabila bangun membantah sesuatu yang tidak menguntungkan,” katanya.

Akhbar baru-baru ini menyiarkan berita projek yang telah dirancang di gua batu kapur dan kuari itu dibatalkan apabila wakil kerajaan negeri datang menemui penduduk.

Ura-ura kerajaan negeri yang mahu membina kilang simen di kawasan tersebut telah digazetkan pada 2009 iaitu yang kedua kepada syarikat yang sama selepas kilang simen Bukit Sagu, Kuantan.

Rata-rata berpendapat, jika kilang tersebut beroperasi, akan memusnahkan industri pelancongan di Gunung Senyum sekarang dan tanah tersebut akhirnya bakal terlepas kepada syarikat perniagaan bukan Melayu sebagaimana berlaku sebelumnya di Bukit Sagu.

Gunung Jebak Puyuh merupakan gunung tercantik antara lima gunung yang terdapat di Hutan Lipur Gunung Senyum. Selain Jebak Puyuh ialah Gunung Senyum, Gunung Terus, Gunung Balik Oi dan Gunung Che Ngah yang dikatakan memiliki khazanah alam yang telah terbina sejak jutaan tahun lalu termasuk nilai gua batu kapur yang dikatakan paling mahal di dunia.

Di situ juga merupakan kawasan tadahan air dan kawasan berpayanya pula pernah menjadi pusat tanaman padi dan kawasan pengeluaran ikan darat tersohor pada satu ketika dahulu.

Setiap tahun, dianggarkan 50,000 pelancong mengunjungi kawasan rekreasi Hutan Lipur Gunung Senyum. Dengan pembinaan kilang simen tersebut sudah tentu akan merosakkan kawasan itu termasuk melenyapkan flora dan fauna yang banyak di situ.

Sekali gus merugikan wang rakyat kerana kerajaan telah mengeluarkan jutaan ringgit untuk membangunkan kawasan rekreasi di situ.

Kilang tersebut jika beroperasi, ia terlalu hampir dengan kediaman penduduk menyebabkan debu daripada projek berkenaan sudah pasti akan berterbangan mengganggu kesihatan mereka. Bala itu akan menjejaskan hasil tanaman penduduk sekali gus mencemarkan Sungai Senyum dan Sungai Pahang.
Kesan awal pencemaran akan diterima ialah penduduk yang berdekatan dengan tapak projek iaitu sekitar Kampung Gunung Senyum, Batu Sawar, Pulau Pasir Mandi Jengka 21, 22, 23 dan 24. Tetapi akhirnya seluruh perkampungan di sepanjang 50 kilometer Sungai Pahang dari Kuala Krau ke Temerloh dan Felda Gugusan Jengka yang melibatkan 300,000 penduduk akan terlibat.

Bencana tersebut akan berlaku apabila loji air berdekatan iaitu Loji Air Lubuk Kawah akan terdedah kepada kesan pencemaran. Hasil pertanian dan perusahaan ikan air tawar iaitu sumber utama pendapatan penduduk juga akan terjejas.

Kawasan tersebut termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau dan Parlimen Kuala Krau.

Shahril yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Krau berkata, sebab itulah PAS bersama penduduk membantah keras pembinaan kilang simen di Gua Jebak Puyuh.

“Projek seperti ini pernah dibina di kilang simen Bukit Sagu. Walaupun pada mulanya dirancang untuk menjana ekonomi negeri tetapi akhirnya dijual kepada syarikat besar kita rasa masalah ini akan berlaku perkara yang sama

“Mungkin kerajaan negeri mahu menambah pendapatan, tetapi tidak seharusnya terpaksa mengorbankan manusia, haiwan dan alam. Saya difahamkan kerajaan negeri tidak merujuk kepada pakar-pakar sejarah tempatan, Jabatan Pelancungan, Perhilitan, Felda, Felcra, JBA dan persatuan penduduk tidak pula ditemui. Sebenarnya merekalah yang akan menerima kesannya nanti”.

“Carilah sumber pendapatan lain sebab Pahang banyak sumber semula jadi seperti perusahaan balak, pasir, pelancongan selain berusaha membangunkan industri hiliran daripada projek-projek besar,” tegasnya.

Ahad, 9 September 2012

MAJLIS HARI RAYA PERANTAU PAHANG

" Semua Dijempu Hadir "


.:: Selamat Menghadikan Diri ::.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...