Idris Hj Ahmad
17/1/14
Islam berkembang dengan dakwah. Tanpa dakwah Islam tidak sampai ke negara kita. Kita tidak tahu apa anutan agama kita pada masa ini. Besarnya jasa pendakwah yang telah mengharungi lautan dan ombak yang bergelora semata-mata untuk menyampaikan risalah dakwah. Bayangkan sewaktu itu tidak mempunyai pengangkutan seperti hari ini. Namun atas arahan agama mereka sanggup sampai ke negara kita dan juga ke negara lain.
Sekarang Nabi dan Rasul tidak lagi diutuskan kepada manusia. Tetapi urusan manusia terus berjalan di atas muka bumi Allah SWT. Urusan manusia ada yang salah dan ada yang betul. Di sinilah perlunya dakwah sesama manusia.
Oleh yang demikian ahli Pas mesti menjadi duat ila Llah kerana ia adalah satu kewajipan yang tidak boleh dielakkan. Sabda Rasulullah SAW " Hendaklah kamu sampaikan ajaran aku walaupun satu ayat".
Ertinya disini tidak perlu untuk menjadi alim baru hendak memulakan dakwah. Jangan tunggu alim baru hendak berdakwah, sebaliknya berdakwahlah sehingga anda menjadi alim. Ertinya bermula dengan sedikit pengetahuan,lama kelamaan ia menjadi alim.
Ahli Pas mesti berdakwah sekadar kemampuan. Mewujudkan dakwah harakiah ialah dakwah yang berhubung kait dengan sekeliling dan masalah harian.
Mulakan lamgkah dengan ahli keluarga kita dahulu. Sebagaimana perintah Allah kepada Nabi kita Muhammad SAW "berikan inzar kepada ahli keluarga kamu yang terdekat"
Nabi SAW mengajak isterinya Siti Khadijah Binti Khuwailid, Saidina Ali yang dipelihara oleh nabi Muhammad SAW. Ertinya merekalah orang yang paling awal baginda seru untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mulakan dengan keluarga dahulu. Nanti orang ramai akan kata, kuman di seberang laut kamu nampak, gajah di hadapan mata kamu tidak nampak. Soal samaada mereka mahu menerima atau tolak, ini bukan perhitungan. Apa yang penting ialah usaha untuk berdakwah. Baginda tidak jemu- jemu di dalam menyampaikan seruan kepada ahli keluarganya. Baginda mengambil kesempatan ketika orang ramai ada untuk memberi penerangan. Tidak ada lorong di Makkah yang baginda tidak masuk untuk memberi tahu kepada orang ramai, terutama sewaktu orang Arab datang mengerjakan haji pada ketika itu. Baginda membuat kenduri, apabila orang ramai hadir baginda memperkenalkan Islam kepada hadirin.
Berikan kefahaman kepada anak isteri mengenai Islam dan penghayatannya. Galakkan mereka menuntut ilmu tanpa jemu. Suburkan ahli keluarga dengan budaya ilmu. Mempunyai perpustakaan peribadi di dalam rumah, sebagai langkah menggalak budaya membaca. Dakwah berkembang demgan ilmu dan kefahaman. Tanpa kefahaman ia cepat luntur dan pudar.
Menggalak ahli keluarga hadir ke program ilmu di masjid, surau dan markaz. Di sinilah tumbuh kesedaran untuk berjuang dan bekorban. Kita tidak berjaya di dalam dakwah, jika anak isteri tidak bersama mendokong perjuangan suci ini. Cabaran yang paling besar kepada seorang pendakwah ialah cabaran yang datang daripada ahli keluarga sendiri. Jika ujian ini lulus maka ia boleh maju ke hadapan untuk membawa panji agama Allah. Pendakwah boleh berhadapan dengan musuh di luar kerana ia hanya pada waktu- waktu tertentu. Sedangkan ahli keluarga berlaku sepanjang waktu.
Berdakwah bukan satu perkara yang sukar, jika kita faham apa skop dan tanggungjawab sebagai ahli Pas. Apa yang penting kerja ini boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak orang silap faham menganggap bahawa hendak menjadi pendakwah mesti pandai berpidato dan petah bercakap. Ini satu tanggapan yang silap. Mereka boleh bekerjai di medan yang cukup luas. Mesti meletakkan diri di posisi yang mampu mereka lakukan. Mereka yang berkeahlian dalam bidang IT perlu manfaatkan kemudahan yang sedia ada. Jangan biarkan kemudahan ini tidak diisi oleh aktivis Pas. Sebenarnya ruang ini hanya memerlukan komputer untuk melaksanakan dakwah. Gunakanlah ia sebagai medium untuk menerangkan Islam dan dasar perjuangan kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk bersemuka dengan kita tetapi boleh bertemu di alam maya. Amat beruntung siapa yang dapat kuasai teknologi maklumat pada masa kini.
Salah satu cara lagi cara untuk berdakwah yang tidak perlu ungkapan dan kata- kata, cuma perlu tenaga sahaja. Iaitu boleh letak akhbar Harakah yang sudah dibaca di kedai kopi. Atau pun edarkan keratan akhbar kepada orang ramai, jika ada artikel- artikel yang baik.
Mungkin kita tidak pandai bercakap, tetapi kita boleh panggil orang bercakap. Ini juga merupakan satu usaha dakwah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Siapa yang menunjuk jalan kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan". Jelas kepada kita, dakwah bukan sahaja untuk orang yang petah bercakap, tetapi ia adalah tugas untuk semua. Jika semua ahli Pas berperanan di dalam berbagai medan maka fajar Islam cepat kelihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan