KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, 12 Mac 2013

Penduduk kesal janji PRK Kerdau tidak ditepati


Mohamed (kanan) menunjukkan barang-barang yang tertimbus.

TEMERLOH: Penduduk Kampung Bakah, Kerdau dekat sini tampil dengan bukti bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya sekadar pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Wakil penduduk Mohamed Deris, 81, berkata janji pembinaan jalan tar ke tanah perkuburan kampung berkenaan telah dibuat pihak kerajaan semasa kempen Pilihan raya Kecil (PRK) Kerdau pada 2011 lalu.

Dakwanya, kontraktor telah dianugerahkan projek membina jalan tar ke tanah kubur kampung berkenaan sepanjang 880 meter di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh.

“Malangnya kontraktor yang hanya mementingkan diri itu hanya menyiapkan kerja-kerja sepanjang 200 meter saja sebelum ditinggalkan terbengkalai. Bukan itu saja, sebahagian barang yang sepatutnya digunakan untuk projek itu seperti culvert habis dipunggah untuk projek yang lain.

“Kami penduduk kampung yang tidak berpuas hati, telah pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah dan didapati kontraktor telah menerima bayaran kontrak sebanyak RM60,000 serta wang tambahan,” katanya kepada Harakahdailyyang dibawa melihat jalan berkenaan.

Beliau turut menunjukkan sisa-sisa simen yang telah keras membeku, batu kuari dan batu bata sudah berlumut terkambus dalam semak samun di sepanjang projek jalan terbengkalai itu.

Kata Mohamed, kegagalan kontraktor tersebut dan ketiadaan pemantauan daripada pihak kerajaan menyebabkan kerugian kepada wang rakyat dan menyusahkan orang kampung yang mahu berziarah kubur.

“Sekarang akhirnya yg rugi rakyat juga kerana wang kerajaan dikeluarkan tetapi projek gagal dilaksana sepenuhnya. Penduduk kampung juga tidak dapat menziarahi kubur orang tua mereka termasuk datuk nenek Ahli Parlimen Kuala Krau kerana semak.

“Kolam ikan penduduk kampung juga dimasuki lumpur akibat longkang yang gagal disiapkan kontraktor,” ujarnya.

Mohamed yang juga pesara kerajaan berkata, kontraktor yang sama juga membiarkan projek membina longkang sepanjang satu kilometer sehingga menimbulkan pelbagai kerumitan dan masalah kepada penduduk terutama apabila musim hujan.

Selain daripada itu, penduduk juga mengadu tiang-tiang lampu dan tiang telefon di kampung tidak diselenggarakan sejak tahun 2001 sehingga menyebabkan dipenuhi semak samun.

Sementara itu Penyelaras PAS Dun Kerdau, Kamal Ashaari yang turut hadir, berkata beliau kesal dengan pembaziran sehingga merugikan wang rakyat.

“Akibat pihak kontraktor dan kerajaan tidak betanggungjawab boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kepada penduduk sehingga menyusahkan mereka untuk ziarah dan tahlil ke kubur orang-orang tua mereka.

“Mana slogan 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta janji ditepati jika projek untuk orang kampung macam ini pun tak boleh dikendalikan?” soalnya. - HarakahDaily

Tiada ulasan:

Catat Komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...