KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Khamis, 31 Oktober 2013

Jangan guna media sosial untuk meruntuhkan Jamaah.

Oleh USTAZ IDRIS AHMAD (23oct2013)

Zaman langit terbuka, siapa pun tidak boleh menghalang maklumat sampai kepada kita, kecuali Allah SWT. PAS sebagai sebuah gerakan Islam tidak dapat lari daripada perkara tersebut. Kedudukan PAS diperhatikan semua pihak. 

PAS tidak boleh lari daripada orang ramai. Segala gerak-geri diperhati. Media sosial adalah salah satu medium yang boleh digunakan untuk menaikkan imej PAS di alam maya supaya orang ramai mengetahui perjuangannya. Oleh itu media sosial harus berperanan membawa kebajikan dan memperjuangkan yang lebih baik, bukan sebaliknya. Ia mesti menjadi alat menyebarkan fikrah perjuangan, bukan alat menyebarkan fitnah sesama ahli dan pimpinan. 

Media baru seperti Facebook, Twitter, wasap dan blog yang semakin menjadi pilihan bagi mendapat maklumat dan berjaya membentuk persepsi dalam masyarakat dan jemaah. Ahli PAS mesti bijak menilai sebarang maklumat yang disebarkan menerusi media sosial dengan dipastikan faktanya tidak tersasar. Jangan kita mengguna media sosial sebagai medan untuk fitnah sesama ahli. Ingat, jika fitnah diulang berkali-kali akhirnya menjadi kepercayaan dalam jemaah. 

Paling kasihan ialah mangsanya yang tidak bersalah. Ahli PAS apabila menerima maklumat dan laporan daripada media sosial, hendaklah teliti dan selidik bagi mengelak terpengaruh dengan fitnah. 

Allah mengajar kita dalam Surah al-Hujurat ayat 6, bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu berita yang dibawa oleh orang fasik maka hendaklah kamu selidik kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Ingat fitnah dan perkhabaran yang tidak betul tidak boleh menjadi budaya walaupun dengan musuh. Apatah lagi sesama ahli jemaah. Mereka yang bersikap demikian tidak layak bersama dengan PAS. 

Apabila kita bertanya kenapa mereka memburukkan PAS melalui media sosial, jawapan mudahnya, pimpinan PAS tidak ambil perhatian teguran mereka. Jawapan saya mudah, apa tujuan kita masuk PAS? Kita tidak boleh kecewa teguran yang tidak diambil peduli pimpinan. Pemimpin seperti ini tidak kekal lama dalam PAS jika dia bersikap demikian. Orang yang seperti itu nafas tidak panjang dalam perjuangan. Mereka ini akan keluar sendiri atau dikeluarkan. Kita perlu sabar atas setiap teguran kita kepada parti dan pimpinan. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman hendaklah kamu sabar dan bersabarlah dan bertakwalah kepada Allah." Tidak perlulah kita paksa jemaah ikut kehendak kita. Kadang-kadang pimpinan melihat lebih luas daripada apa yang kita nampak. Orang seperti ini kita bimbang dipengaruhi nafsu, atau menjadi alat musuh yang bertopengkan ahli PAS. Atau pun jenis hobi mereka ialah mengkritik kerana itu ialah profesion mereka. Orang seperti ini dia tidak ada cawangan. Celik mata terus buka komputer hentam PAS dan pimpinan PAS yang bekerja. Sepatutnya kita gunakan media sosial untuk mengukuhkan PAS dan berikan maklumat perjuangan untuk orang lain. Kita tidak kisah jika yang buat kerja ini bukan ahli PAS. Kita tidak boleh halang mereka berkelakuan demikian. 

Nasihat ini saya tuju juga pada diri saya, supaya tidak menjadikan media sosial sebagai medium untuk memburukkan parti yang saya sayang. Sekarang zaman baru, kita mesti mencari pendekatan baru selain pendekatan konvensional seperti ceramah, kuliah iaitu teknik bersemuka. Mungkin dengan suasana kehidupan masyarakat hari ini yang sibuk dengan kehidupan dan kesuntukan masa untuk hadir program PAS, maka penggunaan media sosial menjadi jalan untuk menembusi tembok pemisah antara orang PAS dengan orang yang berminat dengan PAS. Terutama di kalangan golongan terpelajar dan elit pertengahan. Mereka merupakan penggunaan tegar media sosial. 

PAS mesti mengambil peluang dengan ramainya rakyat Malaysia, iaitu 13,085,000 pengguna Facebook mengikut statistik Februari 2013. Jumlah itu lebih separuh daripada jumlah penduduk seramai 28,859,154 juta orang sehingga ke tarikh 18 Januari 2013 mengikut data World Bank. Jumlah pengguna Facebook di Malaysia sudah mendekati 50 penduduk penduduk. Golongan belia berumur 18-24 tahun dan 25-34 tahun merupakan dua kategori umur paling ramai menggunakan Facebook di Malaysia. Dari segi ukuran jantina golongan lelaki merupakan pengguna Facebook paling ramai, iaitu 54%, manakala selebihnya (46%) adalah perempuan. 

Ahli PAS perlu sedar perkembangan teknologi maklumat terlalu pantas. Jika kita tidak mengambil peluang, PAS akan ketinggalan medium ini. Sebagai pimpinan pula perlu aktif dan agresif menjawab tohmohan di dalam media sosial jika ia merupakan fakta yang tidak betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...