KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, 19 Februari 2013

BUKAN HARAM UNDI PAS BAHKAN WAJIB

Pengenalan

Menurut sistem politik Islam/siasah syar`iyyah, sumber rujukan tertinggi dalam negara ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber tersebut menggariskan prinsip pentadbiran yang menjadi teras kepada tercapainya keadilan dan ketelusan pentadbiran negara. Sebaliknya tanpa al-Quran dan al-Sunnah, maka pentadbiran yang dijalankan akan menjadi pentadbiran yang cacat dan lemah, kerana dipergunakan oleh golongan pemimpin untuk mengaut keuntungan diri serta menindas pihak lain. 

Dalam ayat al-Quran di atas, Allah Taala menetapkan dua prinsip politik Islam yang sangat utuh iaitu; Menunaikan amanah/tanggungjawab dan melaksanakan keadilan. Bertolak dari situ, kerajaan Kelantan, di bawah kepimpinan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, dengan beraninya telah menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran sejak tahun 1990 lagi bagi memandu kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan diri di atas penderitaan rakyat. Pihak kerajaan telah mengisytiharkan dasar keislaman secara terbuka, melalui slogan “Membangun Bersama Islam”. Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dalam sistem politik dan pentadbiran di Malaysia

Peranan al-Quran dan al-Sunnah dalam Pentadbiran Kelantan

Menteri Besar Kelantan mengakui bahawa banyak sekali pengajaran yang terdapat dalam al-Quran yang dilaksanakan melalui program pembangunan Islam, dakwah dan pembangunan insan di Kelantan. Contohnya, mengajak orang Islam menghayati solat iaitu Kerajaan Negeri menganjurkan program Bulan Sembahyang. Begitu juga Kerajaan Negeri meluluskan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan.

Dalam perkara-perkara yang tidak dinyatakan al-Quran dan al-Sunnah secara langsung, maka kerajaan Kelantan menggunakan kaedah ijtihad untuk menyelesaikan perkara tersebut. Banyak pembaharuan yang dilakukan berlandasakan kaedah ijtihad ini seperti mengadakan papan tanda berunsurkan Islam, menambah cuti bersalin kepada 60 hari dan sebagainya.

Di antara petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang dilaksanakan dalam pentadbiran Kelantan ialah:

Pertama: Menghidupkan Prinsip Kedaulatan Syariah, Prinsip Syura, Prinsip Amanah/Mas’uliah, Prinsip Keadilan.

i: Prinsip kedaulatan Syariah Islamiyyah

Kerajaan Kelantan menjadikan Syariah Islamiyyah sebagai landasan utama dalam urusan pentadbiran, berpandukan Firman Allah, maksudnya: 

“... dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah : ayat 44)

Dasar ini dikira sebagai asas akidah atau kepercayaan (usul i`tiqadiyyah ) bagi kerajaan. Dengan itu kerajaan menolak teori dan kaedah yang bercanggah dengan Islam. 

ii: Prinsip Syura

Kerajaan Kelantan menetapkan sesuatu keputusan melalui perbincangan berbagai pihak yang memiliki kepakaran, tanpa melanggar prinsip Islam, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah Taala, bermaksud:

“...dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran : ayat 159)

Prinsip Syura ini amat penting kerana dapat mengelakkan daripada pemerintahan secara kuku besi. Sebaliknya syura dapat melahirkan sikap tanggungjawab bersama yang tinggi, kerana masing-masing mengetahui bahawa keputusan yang diambil itu adalah keputusan bersama. Semangat dan roh syura merupakan perkara pokok dalam kegiatan pentadbiran Kelantan..

iii:Prinsip menunaikan amanah/mas’uliyyah

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan bukanlah suatu anugerah untuk mengaut keuntungan diri sendiri. Sebaliknya kepimpinan merupakan amanah dan mas’uliyah yang berat terhadap Allah dan masyarakat sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Pemimpin akan menghadapi soal jawab di akhirat dan sentiasa terdedah kepada kritikan orang ramai di dunia, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. 

Prinsip ini menekankan supaya pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tanpa menyeleweng, kerana segala perbuatan mereka akan disoal oleh rakyat dan disoal oleh Allah di akhirat. Menurut Ibn Taymiyyah, prinsip amanah ini amat penting kerana dapat menjamin pihak berkuasa benar-benar menjalankan siasah yang adil, berpegang kepada sistem dan peraturan, etika dan nilai yang mulia. Dengan itu dapat menghindarkan daripada kegiatan rasuah, penyelewengan, kronisme dan sebagainya. 

iv: Prinsip menegakkan keadilan

Kerajaan Kelantan mendokong dasar keadilan sejagat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik berpandukan Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Oleh itu, kerajaan Kelantan menentang keras sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas rakyat. 

Dasar keadilan kerajaan Kelantan sangat menekankan jaminan perlindungan hak-hak warganegara yang beragama Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek kehidupan. Menurut Ibn Khaldun, kezaliman akan mendedahkan negara kepada kemusnahan. 

Kedua: Merealisasikan Konsep Kepimpinan Ulama

Kepimpinan Ulama telah diangkat menjadi peneraju kepada Kerajaan Kelantan. MB Kelantan menyatakan bahawa beliau adalah pemikul amanah Allah untuk melaksanakan segala perintah-Nya dalam Negeri Kelantan. Beliau berpegang kepada peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:

”Sesiapa yang menjadi pemimpin masyarakat Islam, kemudian dia meninggal dunia dalam keadaan mengkhianati mereka itu, maka diharamkan syurga baginya.” (Hadis Imam al-Bukhari)

Beliau faham bahawa seorang pemimpin dikira melakukan ibadat sewaktu mentadbir negeri mengikut panduan Islam. MB menegaskan bahawa, beliau tidak boleh mengubah atau lari daripada dasar Islam, kerana dasar yang bercanggah dengan Islam akan membawa kerosakan

Kepimpinan Ulama di Kelantan sangat menekankan ciri-ciri dan kelayakan yang tinggi dari segi ketakwaan, ketinggian akhlak, kemampuan ilmu dan kemahiran mengurus.

Tanpa kelayakan tersebut, pemimpin tidak mampu melaksanakan tugasnya untuk mendaulatkan Islam dan membangunkan negara. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yakin bahawa pemimpin yang bersih jiwa dan hartanya sahaja akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mampu menjaga kepentingan rakyat jelata. Sebaliknya para pemimpin yang kotor hati dan hartanya akan sentiasa tenggelam dalam gelombang keduniaan yang merasuk jiwa dan akhirnya rakyat menjadi mangsa dan korban kerakusan serta kezaliman mereka itu. 

Para pemimpin kerajaan dijaga daripada perlakuan buruk seperti rasuah. Beliau yakin dengan janji Allah untuk mengangkat tinggi kedudukan orang berilmu dan yang beriman.

Ketiga : Mencetuskan Pembaharuan Yang Hebat

Antara pembaharuan yang berjaya dilakukan ialah :

i. Menyelamatkan wang rakyat daripada unsur riba dengan memindahkan simpanan tetap Kerajaan Negeri daripada bank yang mengamalkan sistem konvensional (Bank Bumiputra Malaysia Berhad) ke Bank Islam Malaysia Berhad. Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) mulai tahun 1992 dan mengarahkan semua pajak gadai yang beroperasi menggunakan kaedah riba ditukar kepada sistem Islam mulai tahun 1993. Sistem ini kemudiannya ditiru oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia dan Bank Rakyat. 

Menjadi satu kesalahan besar menurut al-Quran dan al-Sunnah apabila kerajaan membiarkan rakyat bergelomang dengan gejala riba dan maksiat. 

ii. Menguatkuasakan etika berpakaian menutup aurat kepada kakitangan kerajaan sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran. Malah Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan papan iklan yang memperagakan wanita yang mendedahkan aurat.

iii. Mengharamkan terus perjudian pada 1 Januari 1992 berpandukan nas al-Quran dan hadith Nabi yang jelas mengharamkan judi. Firman Allah Taala, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah : ayat 90)

MB Kelantan menyatakan bahawa pengharaman judi ini adalah selaras dengan prinsip semua agama kerana terdapat unsur-unsur tipu muslihat 

iv. Menghidupkan amalan Solat Sebagai Instrumen Siasah dan pentadbiran

Sebenarnya kedudukan solat sebagai instrumen penting dalam kehidupan telah ditegaskan oleh al-Quran melalui ayat berikut, maksudnya:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah : ayat 45)

Allah SWT menjadikan solat sebagai mekanisme yang hebat untuk membantu manusia menyelesaikan berbagai persoalan hidup. Manusia perlu menggunakan solat untuk melicinkan hidup mereka.

Atas dasar itu, kerajaan Kelantan menjadikan solat hajat beramai-ramai sebagai cara menghadapi masalah yang besar, contohnya dalam krisis Pergau 1992. Melalui solat hajat beramai-ramai, pihak kerajaan pusat bersedia menyelesaikannya, malah jumlah pampasan yang diberikan adalah melebihi daripada jumlah yang dituntut. Apabila Umno mencadangkan perkataan Islam dibuang daripada parti politik, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah menganjurkan solat hajat peringkat negeri pada 8 Disember 1994. Semasa krisis dengan S46 juga solat hajat telah diadakan pada bulan Mei 1996 di padang SMU(A) Maahad Muhammadi. 

v. Menghapuskan kegiatan pelacuran bagi menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran. 

vi. Menggubal undang-undang Islam yang diberi nama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

vii. Menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa riba untuk kakitangan kerajaan negeri kerana riba adalah haram, walaupun kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM123,000 setahun. 

Kelebihan Pentadbiran Al-Quran dan Al-Sunnah Kepada Masyarakat

Antara kelebihannya ialah:

Pertama: Mengawal kerajaan daripada dipengaruhi perkara negatif.

Penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran dapat mengawal daripada berlakunya gejala penyelewengan, rasuah, pecah amanah dan khianat. Oleh itu, didapati dalam tempoh 20 tahun kerajaan Kelantan telah mencatatkan rekod bersih tanpa kes rasuah yang didakwa di mahkamah yang melibatkan para pemimpin Kerajaan.

Kedua: Meningkatkan sokongan masyarakat 

Berpandukan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, kerajaan berjaya memperkenalkan banyak produk pentadbiran Islam yang dapat memenuhi cita rasa masyarakat, terutamanya produk keislaman dan kebajikan. Masyarakat sentiasa menanti-nanti program keislaman tanpa jemu-jemu, Mereka senang hati kepada kerajaan dan percaya kepada keberkatan dalam amalan politik Islam seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT, bermaksud: 

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Araf : 96) 

Ketiga: Mengubah Persepsi buruk terhadap Islam dalam pentadbiran

Apabila Tuan Guru Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar, beliau dengan tegas menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran. Yang terjadi selepas itu ialah tidak ada huru hara yang berlaku, tiada kegagalan ekonomi, tiada penyelewengan, tiada perbalahan kaum dan agama, sebaliknya wujudnya keharmonian, perkembangan ekonomi dengan penglibatan golongan pelabur yang sanggup menjalankan aktiviti perniagaan besar. Tambahan pula banyaknya peningkatan aktiviti dakwah dan kebajikan masyarakat dari semasa ke semasa. Hal ini telah membuka pandangan positif masyarakat terhadap kemampuan Islam dalam pentadbiran yang bergantung sepenuhnya kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad.

Keempat: Membentuk Pemikiran positif terhadap ulama sebagai peneraju Kerajaan

Umno dari awal lagi telah memperlekeh kepimpinan ulama kerana dianggap tidak tahu mengurus pentadbiran. Mereka berkata kerajaan Nik Aziz akan jatuh dalam masa tiga bulan atau tidak sampai setahun. Namun begitu segala tuduhan itu tidak benar, sebaliknya kepimpinan Nik Aziz telah bertahan sekian lama dengan rekod pembaharuan dan bersih. Akhirnya membuka mata masyarakat bahawa ulama sebenarnya golongan yang berwibawa dalam pentadbiran kerajaan

Penutup
Al-Quran dan al-Sunnah telah berjaya membawa berbagai kebaikan kepada masyarakat apabila kedua-dua sumber itu dijadikan rujukan utama dalam kerajaan. Namun, harus diingat bahawa penghayatan al-Quran dan al-Sunnah itu hendaklah diterajui oleh golongan ulama yang bertakwa dan tidak menjadi hamba abdi kepada dunia. Inilah intipati sistem pemerintahan yang bernaung di bawah bayangan al-Quran dan al-Sunnah seperti yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. 

Beliau telah berjaya merubah landskap politik tanah air. Melalui penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran menjadikan aktiviti kerajaan terpimpin dan selamat daripada penyelewengan, mendapat sokongan padu masyarakat, mengubah persepsi buruk terhadap Islam sama ada daripada orang Islam sendiri atau bukan Islam, mencetus sikap baru terhadap kebaikan Islam dalam pemerintahan, memperkasakan amalan Islam dalam perbankan dan skim gadaian Islam, menyuburkan minat golongan bukan Islam untuk mengenali Ajaran Islam.

Shukeri bin Mohamad berasal dari Kg Kuala Nipah, Bachok, Kelantan. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah. -  Shahril Azman Al-Hafiz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...