Merujuk kepada Buletin TV3 jam 1.30 (22/8/2011 ), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) telah mengharamkan semua majlis tazkirah di masjid dan surau di negeri Pahang. Timbalan Pengarah MUIP telah mengatakan majlis tazkirah telah menggangu majlis ilmu.
Adakah pengharaman tazkirah ini hanya berdasarkan aduan seorang individu atau exco kerajaan negeri maka menyebabkan MUIP takut dan terus ikut telunjuk mereka? Lalu tanpa sebarang siasatan terus mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Janganlah kita menjadi penghalang kepada perkembangan agama Allah. Ingatlah peringatanNya di dalam surah al-Baqarah ayat 114: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang dari menggunakan masjid-masjid Allah utk sembahyang dan menyebut nama Allah (tazkirah)..."
Sepatutnya MUIP sebagai sebuah institusi agama yang besar bertindak lebih matang dan berakhlak dengan memanggil penyampai tazkirah utk menyiasat adakah benar beliau menyampaikan tazkirah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, BUKAN mengharamkan tazkirah dan menyekat majlis ilmu!
Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman.
Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Takkan lah seorang pentazkirah apabila menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang mengharamkan riba, rasuah, judi, haramnya bersalam antara lelaki dan perempuan, wajib pakai tudung dan sebagainya sudah dikira mengganggu ibadah orang ramai?
Kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila ajaran Islam cuba dihalang oleh orang Islam sendiri, apatah lagi yang menghalang itu sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga agama!. Tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al Quran dibaca ketika solat. Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia.
Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk.
Oleh itu, DPPNP membantah keras larangan ini dan mendesak supaya pihak MUIP menarik balik larangan tazkirah kerana ia akan menyebabkan orang jahil bertambah jahil dan orang alim membisu, maka ia akan memberi kesan kepada kehancuran sebuah negara.
Shahril Azman Abdul Halim
Ketua Pemuda PAS PAhang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan