KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Khamis, 6 Ogos 2009

Pas terus bantah bina kilang simen

TEMERLOH – Pas bimbang tahap kesihatan 300,000 penduduk di tanah rancangan Jengka dan kampung-kampung tradisional sepanjang 50 kilometer ke Temerloh akan terjejas jika kerajaan negeri meneruskan usaha membuka kilang simen di Gunung Jebak Puyuh.

Naib Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, taraf ekonomi penduduk terutama yang bergantung pada hasil kelapa sawit juga akan terjejas jika usaha itu diteruskan.

Menurutnya, lebih 3,000 penduduk di sekitar Jengka 21, 22, 23, 24 dan kampung-kampung tradisional akan menerima kesan jangka pendek akibat pembukaan kilang simen itu.

“Kesan jangka panjang pula akan melibatkan keseluruhan penduduk tanah rancangan Jengka, kampung tradisional sekitar 50 kilometer dari Rumpun Makmur ke Seberang Temerloh,” katanya kepada media semasa mengadakan tinjauan dan bantahan pembukaan kilang simen terbabit.

Turut hadir Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Krau Suhaimi Saad dan Ketua Penerangan Pas Kawasan Temerloh Hashim Abdullah.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Pas dukacita dengan sikap kerajaan negeri yang tidak prihatin dengan alam sekitar kerana selain menjejaskan kesihatan debu yang terhasil daripada kilang simen itu nanti akan mengurangkan kadar pengeluaran hasil kelapa sawit antara 10 hingga 30 peratus.

Beliau berkata, Pas juga bimbang pembukaan kilang simen itu nanti akhirnya akan menjadi milik syarikat korporat dan bukannya memberi pendapatan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri menjangkakan keuntungan mencecah RM40 bilion tetapi kami bimbang kilang simen ini akan menerima nasib sama seperti kilang simen di Bukit Sagu yang akhirnya dijual terus kepada syarikat Yeoh Teong Lai (YTL).

“Kerajaan negeri pernah bantah pembukaan kuari di Gua Kota Gelanggi jadi perkara sama sepatutnya boleh dilakukan di Jebak Puyuh kerana ia juga melibatkan gangguan sektor pelancongan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan negeri hanya mendapatkan pan�dangan beberapa jabatan tertentu dalam kajian pembukaan kilang simen terbabit namun tidak daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain yang sepatutnya lebih arif.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh menggunakan sumber lain yang boleh memberi pendapatan seperti pasir sungai dan industri hiliran pelancongan dan bukan hanya bergantung pada kilang simen terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...