KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, 26 Februari 2013

Manifesto PR: Sejuta peluang kerja, gaji minima RM1,100 antara ditawar


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat hari ini mengemukakan beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat dalam manifesto mereka berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Manifesto ini dibacakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pagi ni.

Berikut antara yang diumumkan:

1-Mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan mengurangkan kebergantungan buruh asing secara berperingkat.

2-Memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan.

3-Melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran.

4- Membina 5 universiti dab 25 sekolah vokasional

5- Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat- kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.

6- Henti operasi Lynas, kaji semula RAPID dan kaji undang-undang pembalakan.

7- Memperuntukkan RM500 juta untuk Tabung Usahawan Kecil Prajurit, kenaikan caruman LTAT dari 15% ke 20%, dividen RM2000 setahun kepada bekas prajurit tidak berpencen.

8- Memberi permit terus kepada pemandu teksi

9- Pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya, tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.

10- Memecah monopoli dengan mewujudkan Suruhanjaya Anti Monopoli, Suruhanjaya Kontrak Awam untuk menilai perjanjian awam seperti IPP dan konsesi berat sebelah, tender terbuka, membubar 1MDB, melupuskan pegangan kerajaan dalam GLC. - HarakahDaily

Isnin, 25 Februari 2013

500 profesional muda berkumpul bincang bantu PAS


(Antara peserta dan pemimpin yang berkumpul)

MARANG: Hampir 500 profesional muda berkumpul di Qurrata Inn Riverside Resort bagi membincangkan sumbangan mereka kepada Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 ini.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS itu turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
(Ustaz Hadi yang memberikan uacapan penting untuk golongan profesional ini)

Tuan Guru Abdul Hadi telah memberikan amanat dan panduan kepada mereka bagi mempastikan perjuangan Islam di negara ini terus diterima rakyat.

Program yang di namakan Xpresi Profesional Muda 2.0 hari ini berlangsung dengan jayanya.

Ia disertai oleh para jurutera, doktor, akauntan, peguam dan pelbagai profesion lagi yang bersedia memberikan komitmen untuk membantu rakyat.

Turut berucap adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (gambar kanan).

Kejayaan mengumpul mereka membuktikan komitmen golongan profesional untuk mempastikan agenda pembangunan Terengganu selepas pilihan raya umum berjalan dengan baik.

Antara program besar yang dicadangkan PAS jika menang PRU ini adalah membina lebuhraya pesisir pantai dari Kemaman ke Besut.

Lebuhraya ini bakal mempunyai lima pusat hentian pelancongan yang akan dijadikan pusat pertumbuhan baru untuk negeri Terengganu.

Ia juga disasarkan bakal menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu. - HarakahDaily

Ahad, 24 Februari 2013

PAS kini sedia mengatasi Umno - Raja Nazrin


KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Perak, Tuanku Raja Nazrin Shah bertitah, PAS kini berada dalam satu tahap keyakinan diri yang amat tinggi akan kekuatan politiknya.

PAS kini mempercayai pengaruh parti tersebut tidak lagi terbatas di kalangan Melayu tetapi yakin bahawa perjuangan mereka semakin difahami oleh bukan Melayu.

"PAS kini  berada dalam psyche pemikiran bahawa kekuatan dari segi gerakan politiknya telah mengatasi UMNO, malah menganggap bahawa secara relatif, kekuatan politik UMNO semakin rapuh kerana UMNO telah terlalu lama selesa bergantung pada jentera dan sumber kerajaan.

"Suara PAS menyentuh isu urus tadbir negara secara telus, memerangi rasuah, sistem kehakiman yang bebas lagi adil,  penguatkuasaan undang-undang secara saksama, membasmi kemiskinan, menangani keruntuhan moral dan jenayah, masalah kos sara hidup yang tinggi, adalah isu-isu popular yang memberikan kelebihan retorik untuk digunakan oleh PAS sebagai senjata ofensif menyerang lawan," titah Raza Nazrin.

Baginda bertitah demikian dalam Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Februari lepas bertajuk “Perpaduan ummah; harapan, realiti dan cabaran". Harakahdaily diberikan ucapan penuh baginda. Ia akan disiarkan selepas ini.


PAS, titah baginda, telah melalui pahit maung  perjuangan, era jatuh dan bangun.
"Bermula dari sebuah organisasi, terdiri dari kumpulan ulama di dalam UMNO, kemudiannya keluar dari UMNO, memilih untuk mewujudkan entiti politik sendiri," titahnya.

PAS telah melakukan pelbagai anjakan untuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruh.

"Dari organisasi yang amat daif, menumpang ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama UMNO, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden, di dokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari," titahnya.

Bagi menyahut cabaran ummah, baginda membuat  lima cadangan.

Pertama: Tidak salah untuk bangsa berada dalam pelbagai kabilah asalkan bangsa mencapai kata sepakat, bersatu pendirian, mempertahan, melindungi dan mengurus perkara-perkara menyentuh hak, maruah serta martabat bangsa Melayu dan Agama Islam, yang sama sekali tidak harus dikompromikan. Bagi usaha meraih sokongan politik bukan lesen membolehkan status bangsa digadaikan, titah baginda.

Kedua: Ummah wajib disedarkan bahawa mereka sudah terlalu lama selesa sebagai penduduk majoriti, sudah terlalu lama selesa bersandarkan kekuatan politik, sudah terlalu lama selesa dinaungi kerajaan; hingga ummah tidak lagi memiliki pertubuhan yang bebas lagi berkecuali, secara berani lagi tegas lantang menyuarakan tuntutan ummah.

Ketiga: Badan Kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan hendaklah mengamalkan budaya profesionalisme yang tidak partisan, menyempurnakan tugas secara amanah, adil dan saksama, berpaksikan undang-undang dan peraturan; tegas menegakkan kebenaran – cekal menentang kemungkaran, tidak bersekongkol merestui berlakunya penyelewengan terutama dalam mengurus khazanah, sumber kekayaan dan sumber kewangan negara.

Keempat: meningkatkan kegiatan keilmuan dan menambah komponen pengetahuan di kalangan ummah terutama dari segi penghayatan dan amal, agar ummah memiliki iman yang kukuh, yakin berpegang bahawa rezeki, jawatan, pangkat dan kuasa datangnya dari ILAHI, lantas tidak gentar menyuarakan nasihat yang betul dan tidak goyah menyampaikan fakta yang benar, meskipun berhadapan dengan jeneral yang bengis atau menteri yang berkuasa.

Kelima: Memahami dan mendalami konsep federalisme berasaskan Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Sifat kesetiaan kepada Raja hendaklah dicerminkan melalui sifat kesetiaan menyempurnakan tugas kepada Kerajaan yang telah diperkenankan penubuhannya, kata baginda. - HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...