KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 26 Mac 2012

PANAH PAHANG : INTERNET JADI MEDIA PENENTU.

Fokus Panah-UBAH Pahang yang panelnya terdiri
daripada pimpinan tertinggi PAS Pahang akan berbicara setiap dua minggu sekali khusus mengenai suasana dan
isu-isu semasa politik negeri Pahang Darul Makmur.

Ahli-ahli panel
terdiri daripada:


Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan PJ Pahang 1, Ustaz Yusof Embong
Timbalan PJ Pahang 2, Ustaz Hamzah Jaafar
Timbalan PJ Pahang 3, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan kepada ahli-ahli panel kita, sila emailkan kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini mereka berbicara mengenai topik berikut:

Adakah rakyat Pahang sudah bersedia berubah pada pandangan anda? Beza mood perubahan di kawasan berinternet dengan tidak berinternet dan cara nak tingkatkan mood perubahan rakyat Pahang.

Ustaz Tuan Ibrahim:

Secara umumnya rakyat Pahang dilihat tidak ghairah untuk membuat perubahan, khususnya di kawasan luar bandar dan di kalangan golongan tua. Mereka dilihat masih kekal dengan sokongan kepada UMNO-BN, tetapi keadaan ini agak berbeza di kalangan masyarakat bandar dan pinggir bandar dan di kalangan generasi muda di kawasan Felda dan luar bandar.

Keghairahan untuk berubah dari tinjauan umum adalah daripada kalangan golongan bermaklumat, khususnya orang bukan Melayu dan mereka yang ada membaca dan menganalisa berita daripada sumber alternatif dan yang bersifat intelektual.

Rakyat Pahang umumnya berhadapan dengan isu utama iaitu isu Lynas di kalangan masyarakat intelek dan isu penyenaraian Felda bagi kawasan Felda. Kedua-dua isu ini besar tapi agak teknikal jika dibandingkan dengan isu lembu National Feedlot Corporation.

Namun, secara keseluruhannya pandangan agak berbeza ini dipengaruhi oleh media baru atau media alternatif. Persoalan utama ialah fokus perubahan kepada pengundi sasaran iaitu generasi 40an ke bawah yang membentuk 52 peratus pengundi Malaysia.

Seandainya mood perubahan di kalangan generasi muda dapat ditingkat 7-10 peratus dari pencapaian PRU yang lalu, maka InsyaAllah perubahan akan turut berlaku di Pahang dalam PRU akan datang.

Ustaz Yusof Embong:

Saya yakin pasti akan berlaku perubahan di Pahang terutamanya di kawasan Felda. Isu-isu hangat yang menjejaskan nasib dan masa depan peneroka seperti isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH), tuntutan harga perah sawit yang kini ada kes di mahkamah dan kawasan tanah yang diberi kurang daripada 10 ekar seperti yang berlaku di Panching Selatan.

Masyarakat di pinggir bandar dan bandar mempunyai mood perubahan yang tinggi kerana mereka terdedah kepada konsep good governance yang dicanangkan PAS dan PR. Golongan ini mempunyai akses internet dan boleh membuat perbandingan sendiri antara pentadbiran BN and PR di negeri yang dikuasai masing-masing.

Disebabkan itu, masyarakat di bandar, pinggir bandar terutamanya Kuantan dilihat lebih memihak kepada PR.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai internet, PAS perlu tingkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat melalui risalah dan ceramah kepada golongan ini kerana mereka hanya bergantung kepada suratkhabar dan TV yang dikuasai media perdana sebagai sumber maklumat.


Ustaz Hamzah Jaafar:


Rakyat Pahang sememangnya mempunyai tahap kesediaan yang tinggi untuk berubah. Keinginan untuk berubah ini pada pandangan saya lebih didorong oleh beberapa faktor :

1. Perasaan meluat dengan korupsi pemimpin UMNO yang didedahkan sendiri oleh agensi kerajaan seperti laporan audit dan diperjelaskan lagi tahap seriusnya korupsi itu oleh pihak pembangkang.

2. Selain daripada itu, penyelewengan dan korupsi pemimpin dan juak-juak UMNO di peringkat bawahan juga turut dapat disaksikan sendiri oleh rakyat di kampung-kampung.

3. Sikap ingin membuat perubahan juga didorong oleh tawaran PAS dan Pakatan Rakyat terutamanya tawaran menurunkan harga minyak dan menyediakan tapak rumah serta penempatan generasi kedua dan ketiga felda.

Manakala pengaruh internet atau sebaliknya memberi kesan yang berbeza. Di tempat yang ada kemudahan internet sudah tentu mereka mendapat maklumat yang cepat dan tepat. Justeru itu, sokongan mereka yang tinggal di tempat yang ada kemudahan internet kepada PAS / PR lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempat yang tidak terdedah dengan kemudahan internet.

Pun begitu, anak-anak muda yang bermaklumat turut mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memberi saham dalam melakukan perubahan politik khususnya dalam PRU ke 13 nanti dengan mempengaruhi keluarga mereka yang berada di luar bandar.


Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi:


Perubahan adalah suatu yang positif. Justeru itu tiada siapa yang enggan melakukan perubahan jika perubahan itu adalah ke arah kebaikan atau ke arah yang lebih baik. Namun gerakan perubahan asasnya bermula dari sebuah kesedaran dan keinsafan.

Perubahan mesti digerakkan kemudian dipimpin ke arah yang betul. Malah perubahan menjadi suatu tuntutan mendesak tatkala berdepan dengan kemungkaran, penindasan dan kezaliman.

Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang luas dan saya bahagikan kepada tiga kategori kawasan. Pertama ialah kawasan bandar, kedua kawasan kampung tradisi dan ketiga ialah kawasan tanah rancangan Felda. Sebahagian besarnya adalah kawasan tanah rancangan Felda.

Keupayaan dan kesedian rakyat Pahang untuk berubah banyak bergantung kepada maklumat yang berkesan dan berkemampuan untuk membangkitkan kesedaran politik dan keinsafan terhadap masa depan rakyat yang kabur diurus oleh sebuah kerajaan yang korup, tiris dan boros.

Pakatan Rakyat sering dibatasi dari segenap arah. Tidak mudah untuk maklumat disampaikan kepada rakyat. Banner di conteng, poster dikoyak, ceramah diganggu, aktivis dipukul dan 1001 lagi halangan dan sekatan. Maklumat Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada akhbar yang menjadi lidah rasmi parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket.

Memanfaatkan teknologi terkini, Pakatan Rakyat menguasai alam cyber untuk menjadikannya medan saluran maklumat alternatif kepada rakyat. Namun pastinya ia terhad kepada rakyat yang memiliki keupayaan akses internet.

Justeru itu, saya sangat yakin bahawa individu dan masyarakat atau rakyat keseluruhannya yang memiliki upaya untuk akses internet mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan bersedia untuk melakukan perubahan. Lantaran mereka mempunyai maklumat kedua atau ketiga berbanding hanya bergantung kepada media arus perdana yang menyalurkan maklumat sebelah pihak.

Mewujudkan mood perubahan menyeluruh dari kalangan rakyat negeri Pahang ini memerlukan kerja gigih semua peringkat petugas parti samaada pimpinan ataupun anggota biasa melalui gandingan pelbagai kemahiran yang dimiliki untuk memastikan maklumat dan risalah atau mesej perjuangan sampai kepada setiap pintu rumah dan pintu hati rakyat.

Gabungkan kaedah tradisi seperti ceramah umum, ceramah kelompok dan edaran risalah dengan kaedah kontemporary melalui facebook, twitter, vilog, filem pendek dan sebagainya. Asasnya kita perlukan kreativiti yang tinggi untuk mencipta mood perubahan disamping memiliki kegigihan dan sentuhan berkesan dalam pendekatan.

Saya sangat tidak bersetuju menggunakan pendekatan caci maki dalam ceramah dan cela nista dalam ucapan serta fitnah dan tohmah dalam kenyataan sekalipun terhadap lawan politik kita. Justeru elemen terpenting dalam perjuangan ini ialah kebenaran dan keberkatan.


Ustaz Suhaimi Saad:


Pada dasarnya, saya melihat rakyat Pahang sudah bersedia untuk berubah. Dalam Himpunan Hijau 2.0 baru-baru ini, kita boleh melihat mood perubahan rakyat Pahang itu dengan jelas.

Mendapat maklumat mengenai kepincangan kerajaan dalam pengurusan kewangan dan laporan audit yang menyatakan prestasi Pahang tidak memuaskan juga membantu menyemarakkan lagi semangat berubah rakyat Pahang.

Mood perubahan juga diamati lebih tinggi di kawasan bandar dan pinggir bandar. Di kawasan kampung pula, penghalang kepada gelombang mood perubahan ialah kepayahan untuk maklumat sampai ke kumpulan sasaran, kampung tradisi dan kawasan Felda.

Orang Islam-Melayu di kampung sememangnya bersifat baik, namun malangnya mereka ditipu kerana hanya mempunyai satu saluran infomasi ialah TV media kerajaan.

Di kawasan-kawasan ini, rangkaian internet pula kurang, rangkaian 3G untuk kegunaan smartphone untuk mendapat maklumat tinggi pun tiada. Ini ditambah pula dengan budaya orang-orang generasi tua yang lebih suka berbicara di kedai kopi dan tidak ingin mendekati kemudahan internet.

PAS perlu giatkan lagi penerangan kepada orang muda dan generasi kedua dan ketiga Felda yang pemikiran mereka lebih terbuka kerana terdedah kepada teknologi maklumat yang canggih.

Bagi generasi yang tua, PAS berdepan dengan cabaran yang rumit kerana mereka terasa terhutang budi kepada kerajaan kerana merasakan kehidupan mereka sekarang dah dikira baik jika dibandingkan dengan masa mereka susah dahulu ketika mula-mula menjadi peneroka. Namun begitu, saya yakin dengan penerangan dan maklumat yang cukup, golongan ini turut akan dijangkit mood perubahan demi masa depan generasi kedua dan ketiga mereka yang lebih baik. - HarakahDaily.

Jumaat, 6 Januari 2012

60 peneroka Jengka 15 terima bantuan "Kembali Ke Sekolah"





6 Jan 2012, Jengka 15 - Seramai 60 peneroka di Jengka 15 telah menerima sumbangan awal persekolahan menerusi program "Sumbangan Kembali Ke Sekolah" yang dianjurkan oleh PAS Cawangan Jengka 15 dengan kerjasama PAS Kawasan Kuala Krau.

Program yang dianjurkan itu telah disampaikan sumbangannya kepada peneroka oleh Al-Fadhil Ustaz Shahril Azman Bin Abdul Halim Al-Hafiz, Ketua Pemuda PAS Pahang yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau.

Turut serta menyampaikan sumbangan ialah Ketua Muslimat PAS Kawasan Kuala Krau Ustazah FAtimah Muhamad. Selain itu, turut hadir menjayakan program sumbangan ini ialah Ustaz Abdul Rahim (Ketua Cawangan PAS Jengka 15), Engku Amizahar (Exco Dewan Pemdua PAS KAwasan Kuala Krau), beberapa AJK Muslimat KAwasan Kuala Krau dan Jawatankuasa Pemuda CAwangan Jengka 15.

Kebanyakan penerima sumbangan ini ialah dikalangan peneroka yang sangat memerlukan bantuan untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

Mereka sangat berterima kasih kepada pihak PAS kerana mengambil berat nasib mereka yang sangat memerlukan bantuan.

Inilah yang dianjurkan oleh Islam, "bertolong bantu dalam perkara kebajikan."

Dalam ucapan Us Shahril, sebenarnya program seperti ini adalah rutin Parti PAS dan Pakatan Rakyat. Kita akan sentiasa mencari dana untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Walaupun media arus perdana tidak hadir untuk mengambil berita program-program PAS, namun PAS tetap meneruskan agenda kebajikan kepada ahli dan masyarakat tidak kira dari parti mana asalkan mereka memerlukan bantuan. Kami akan turun membantu. Biarlah apa orang kata, PAS tetap terus dengan agendanya.

Lagi gambar : http://www.facebook.com/medi/set/?set=a.348629131817646.96250.100000116851866&type=1

Khamis, 22 Disember 2011

Kemuncup Dalam Perjuangan Dan Dasar PAS Yang Dijamin Majlis Syura

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulLah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumrah dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri, kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi- nabi (para sahabat) dan mereka yang mengikuti dibelakangnya ( tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tartib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis syura ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dan timbalannya Dato' Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agong adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agong dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.

PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin'.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruangtamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah 'rahmatal lil a'lamin' telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat diseluar atau stokin; teruskan permainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.


Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.


Salam perjuangan.


Ustaz Dato'Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...